Home Melaka

Rencana | Bila gaji minimum tidak menambah kuasa beli rakyat

146
SHARE
Gambar hiasan (Kredit Foto : Google)

Oleh IBNU JANIE

KATALAH pada masa ini anda bekerja dengan mendapat gaji minimum yang ditetapkan kerajaan iaitu sebanyak RM1100. Anda melihat seorang rakan anda yang merupakan seorang eksekutif bergaji RM3000 sekarang ini.

Rakan anda itu boleh membeli kereta yang bagus sedangkan anda hanya mampu menggunakan motosikal. Lalu anda terfikir alangkah baiknya jika dengan jawatan anda yang sama sekarang gajinya adalah sebanyak RM3000. Sudah tentu anda boleh membeli kereta yang bagus seperti rakan anda itu.

Kerana itu anda menuntut agar kerajaan memaksa majikan membayar gaji RM3000 sebagai gaji minimum. Anda berharap dengan kerajaan mewajibkan semua majikan membayar RM3000 sebagai gaji minimum maka kehidupan anda akan berubah dari segi kemampuan akan jadi sama seperti rakan anda yang mendapat gaji RM3000 tadi.

Pada tahun 1994, gaji seorang operator pengeluaran ialah sebanyak RM300 sebulan. Pada masa itu operator pengeluaran ini juga terfikir alangkah baiknya jika mereka dibayar gaji sebanyak RM1000 dengan jawatan yang sama, sudah pasti kehidupan mereka akan lebih senang.

Adakah dengan gaji seorang operator pengeluaran pada masa kini yang berada pada kadar minimum RM1100 berbanding RM300 pada tahun 1994 menjadikan operator pengeluaran hari ini menikmati kehidupan yang sama dengan mereka yang mendapat gaji RM1100 pada tahun 1994?

Kita gunakan harga Snack Plate KFC sebagai alat perbandingan mudah. Pada tahun 1994 ketika gaji operator pengeluaran ialah RM300 sebulan, harga sepinggan Snack Plate KFC ialah RM3.90 sepinggan. Jika dia menggunakan sebulan gajinya untuk membeli hidangan itu dia boleh membeli sebanyak 77 pinggan.

KFC Snack Plate (Kredit foto : Google)

Pada tahun 2022 dengan harga Snack Plate KFC RM15.49 sepinggan, seorang operator pengeluaran yang bergaji minimum RM1100 sebulan mampu membeli 71 pinggan dengan menggunakan seluruh gaji sebulannya itu! Dalam erti kata lain gaji sebenarnya turun walau pun naik dari segi nominal.

Perlaksanaan gaji minimum yang bermula pada tahun Januari 2014 memberi kesan besar pada kenaikan harga barang kerana ia bukan hanya untuk syarikat-syarikat besar sahaja, warung-warung di kampung yang mengambil pekerja juga perlu mengikut skim gaji minimum ini.

Kadar RM900 pada permulaan perlaksanaannya sebenarnya adalah satu kejutan besar kepada pemain-pemain industri. Pada masa itu gaji pekerja biasa dalam lingkungan RM450 ke RM600. Gaji minimum juga bukan hanya untuk syarikat-syarikat besar, warung di kampung yang mengambil pekerja juga perlu mengikut skim gaji minimum.

Ambil ilustrasi ini. Sebuah warung mendapat jualan sebanyak RM10,000 sebulan. Katalah kos barang mentah, utiliti, sewa dan sebagainya ialah RM6000 sementara kos gaji RM1500 (RM500 x 3 orang pekerja). Jadi jumlah kosnya ialah RM7500. Jadi jualan sebanyak RM10,000 tolak kos keseluruhan sebanyak RM7500 maka peniaga itu akan dapat untung RM2500.


Rencana ini disiarkan Harakah cetak pada 18 Februari 2022


Apabila gaji minimum tiba-tiba dikuatkuasakan pada Januari 2014, RM900 sebulan dia kini menanggung kos gaji sebanyak RM2700 sebulan (RM900 x 3 orang). Ini menyebabkan jumlah kosnya meningkat daripada RM7500 kepada RM8700 manakala untungnya merosot kepada RM1300 daripada RM2500.

Harus diingat untung pada peniaga adalah gaji mereka. Mereka juga perlu menggunakan untung itu untuk menanggung keluarga mereka dan membayar ansuran rumah dan kereta.

Bayangkan situasi ini dihadapi oleh semua syarikat, maka pada masa itu semua syarikat akan menghadapi kenaikan kos gaji yang mendadak dan akan menaikkan harga barang keluaran mereka.

Apa yang berlaku ialah apabila kos sara hidup meningkat rakyat akan menuntut kenaikan gaji minimum. Apabila gaji minimum meningkat maka kos pengeluaran syarikat akan meningkat. Apabila kos syarikat meningkat maka syarikat menaikkan harga.

Apabila harga barangan naik maka kos sara hidup meningkat. Maka pekerja menuntut kenaikan gaji lagi. Dan ini terus berulang dan berulang tanpa dapat menyelesaikan masalah sebenar kos sara hidup.

Dan tidak lama lagi gaji minimum bakal dinaikkan kepada RM1500. Adakah ia akan menjadikan pekerja lebih berkemampuan? Adakah kuasa beli pekerja akan meningkat?

Cabaran sebenar kita ialah bagaimana untuk meningkatkan gaji lebih tinggi daripada kenaikan harga barang. Kita bukan bercakap soal menentang skim gaji minimum, namun penetapannya harus realistik. Ia hanya boleh dilakukan jika kenaikan itu berpadanan dengan produktiviti.

Penulis adalah Editor Berita PAS Melaka dan Ketua Unit Berita Jabatan Penerangan PAS Melaka.