Home Berita PAS Melaka

1258 pelajar dijangkiti Covid-19 : 11 sekolah Negeri Melaka ditutup

1341
SHARE

Oleh IBNU JANIE

AYER KEROH, 18 Feb: Sebanyak 11 buah sekolah dalam Negeri Melaka ditutup akibat kes jangkitan Covid-19 yang tinggi berpandukan saranan yang diberikan oleh pihak berkuasa kesihatan negeri, kata Exco Pendidikan dan Teknologi Negeri, Datuk Rais Yasin.

Menurut beliau, data terkini pada 17 Februari menunjukkan jumlah pelajar sekolah yang telah dijangkiti Covid-19 adalah seramai 1258 orang.

“Syukur ke hadrat Ilahi kerana setakat ini tiada kes kritikal yang dilaporkan dalam kalangan pelajar sekolah di Melaka. Akan tetapi, isu penularan wabak Covid-19 di sekolah sentiasa diberikan perhatian penuh dan amat dititikberatkan oleh Jawatankuasa Pendidikan dan Teknologi Negeri Melaka.

“Justeru, langkah penutupan telah dilakukan terhadap 11 buah sekolah. Setakat ini tempoh penutupan sekolah adalah dalam lingkungan lima hingga ke tujuh hari, bergantung kepada keadaan dan tahap penularan Covid-19 di sekolah-sekolah tertentu,” kata beliau.

Katanya, antara sekolah yang terlibat ialah SK Kampung Tun Razak, SJKC Yu Ning, SK Paya Redan, SK Batu Berendam, SK Pulai, SK Chinchin, SMK Tun Tuah, SK Tun Syed Ahmad Shahabudin, SK Duyung, SK Bukit Rambai dan SK Taman Bukit Rambai.

“Sesi kelas di sekolah-sekolah tersebut tetap diteruskan melalui kaedah PdPR. Ini adalah amat penting bagi memastikan kelangsungan pembelajaran murid-murid.

“Pastinya pihak Jawatankuasa Pendidikan dan Teknologi akan memantau dan memastikan keberkesanan pembelajaran pelajar agar mengelakkan keciciran berlaku dalam kalangan pelajar,” ujar beliau lagi.

Tambah beliau dalam kenyataan itu, antara langkah-langkah pencegahan utama atau SOP yang dilaksanakan oleh Jabatan Pendidikan Negeri ialah melaksanakan langkah-langkah di bawah SOP 3.0 daripada pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

“Keduanya ialah dengan memastikan saringan suhu dilakukan sebelum masuk dan semasa di sekolah. Malah ujian saringan RTK juga akan dilakukan secara bersasar terhadap pelajar pada setiap hari.

“Malah juga JPN (Jawatankuasa Pendidikan Negeri) telah mengarah pihak sekolah untuk sentiasa memantau penjarakan sosial pelajar-pelajar semasa aktiviti persekolahan. Kaedah penggiliran kehadiran pelajar juga dilakukan bagi mengelakkan kesesakan di sekolah,” ujar beliau.

Menurut Rais, pihak JPN juga sentiasa bekerjasama dengan Pejabat Kesihatan Daerah dalam aspek pencegahan dan khidmat nasihat kesihatan.

“Malah perkhidmatan pihak bomba juga sentiasa diperlukan dalam membantu mensanitasikan bilik darjah atau sekolah,” ujar beliau dalam.satu kenyataan yang dikeluarkan pagi tadi.