Home Berita PAS Melaka

Rencana: Belasungkawa Almarhum Abdul Ghapar, perginya tokoh besar PAS Melaka

551
SHARE

Oleh : Siti Salwani Mohd Kassim

TANGGAL 28 Januari 2021 bukanlah satu tarikh yang tenang buat penulis kerana seharian menangani urusan rawatan ahli keluarga di klinik, sementara melakukan persediaan untuk rawatan sendiri pada keesokan harinya di Pusat Perubatan Mahkota.

Lelah pulang dari pasaraya seusai urusan di klinik, penulis merebahkan badan sementara menunggu azan Asar dan seterusnya segera ke dapur menyediakan juadah berbuka puasa. Ketika itulah bunyi kemasukan mesej di applikasi WhatsApp telefon pintar bertalu-talu, agak lebih banyak dari biasa. Penulis membiarkan sahaja memandangkan tidak mendengar nada khusus atau private message.

Hanya selepas Maghrib baru penulis dapat melihat mesej-mesej tersebut. Allahu Rabbi! Terasa seolah degupan jantung terhenti apabila membaca berita pemergian yang Dipertua PAS Kawasan Kota Melaka. Allah menjemput seorang lagi pemimpin PAS Kota Melaka kembali ke sisi-Nya selepas Ketua Muslimat kami, Almarhumah Noorfazilah pada pagi 1 Syawal tahun lalu!

Mengenali YDP PAS Kawasan Kota Melaka selama enam tahun, Almarhum Tuan Hj Abdul Ghapar Hj Abd Wahab yang berwajah tenang adalah seorang yang berpandangan jauh, tegas dengan prinsip dan merupakan seorang ketua yang penyayang tetapi kekal merendah diri dan sentiasa mendengar pandangan orang lain.

Almarhum dilahirkan pada 25 Ogos 1940 di Kampung Pernu, Melaka. Ayahnya Haji Abd Wahab Haji Sulaiman adalah seorang peniaga kedai runcit di Pernu dan ibunya Hajah Jahara Md Said adalah seorang suri rumah.

Kesungguhan menuntut ilmu

Merupakan anak keenam daripada 10 adik beradik, Abdul Ghapar mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Pernu sehingga darjah empat. Pada masa itu sistem Pendidikan Malaysia menggunakan sistem ‘Remove Class’ atau Kelas Peralihan yang mensyaratkan pelajar yang berumur 10 tahun mengambil peperiksaan khas iaitu Special Class Examination.

Disebabkan beberapa kekangan pada masa itu, Almarhum hanya menduduki peperiksaan khas tersebut pada tahun seterusnya iaitu semasa berusia 11 tahun. Walaupun lulus tetapi syarat umur telah melebihi lalu beliau tidak diterima memasuki Kelas Peralihan di sekolah menengah.

Melihatkan anak ke enam ini menyerlah di bidang pelajaran, maka ayahanda beliau memasukkan beliau ke Methodist English School, sebuah sekolah Mubaligh persendirian di Jalan Kubu, Melaka. Almarhum ke sekolah dengan menaiki basikal setiap hari sehingga tingkatan tiga dan lulus peperiksaan Lower Certificate of Education atau LCE.

Dengan berbekalkan sijil tersebut Almarhum memasuki Day Training Center atau DTC iaitu sebuah Kolej Perguruan di Bukit Baru, Melaka selama tiga tahun.

Setelah lulus dengan sijil perguruan, maka bermulalah profesion Abd Ghapar sebagai seorang guru. Sekolah pertama dia mengajar adalah Sekolah Kebangsaan Tambak Paya pada tahun 1960.

Selama lima tahun bergelar guru, minat untuk belajar masih menebal di dalam hatinya. Almarhum bertekad untuk belajar sendiri dan mengikuti kelas tusyen bagi mempersiapkan diri menduduki peperiksaan Malaysia Certificate of Education atau MCE.

Almarhum lulus cemerlang dengan pangkat satu serta berjaya memperoleh sijil MCE dan SC iaitu Senior Cambridge. SC adalah sijil yang dianugerahkan bersama-sama sijil MCE hanya jika calon menjawab peperiksaan dalam Bahasa Inggeris.

Minat belajar tidak berhenti di situ. Bersama beberapa rakan, Abdul Ghapar meneruskan pembelajaran sendiri serta mengikuti tusyen untuk menghadapi peperiksaan Higher School of Certificate atau HSC.

Ketekunan dan kesungguhan dalam mencari ilmu membuahkan hasil apabila Almarhum lulus HSE dengan sijil penuh pada tahun 1965. Dengan keputusan itu beliau berjaya mendapat tempat belajar di Universiti Malaya dalam jurusan Ekonomi Luar Bandar di peringkat Ijazah.

Kebanggaan orang Pernu

Pada tahun itu nama Abd Ghapar meniti di bibir penduduk Kampung Pernu sebagai anak Melayu kampung pertama menjejakkan kaki ke menara gading.

Setelah tamat pengajian pada tahun 1969, beliau menghabiskan baki kontrak mengajarnya di Sekolah Aminudin Baki, Kuala Lumpur. Pada tahun 1970 beliau memulakan tugasnya sebagai Pegawai Tadbir di Ibupejabat Felda, Jalan Maktab, Kuala Lumpur.

17 tahun kemudiannya, iaitu pada tahun 1987, Almarhum berangkat ke Amerika Syarikat bagi menjalani kursus Post Graduate di bawah tajaan United Nation Development Program atau Program Pembangunan Bangsa-Bangsa Bersatu di dalam jurusan Pengurusan Kewangan di Universiti of Connecticut, Hartford selama setahun.

Sekembalinya ke Malaysia, Abd Ghapar meneruskan tugasnya di Felda. Antara pengalaman berharga beliau adalah mengadakan rundingan kewangan bersama Bank Dunia, Dana Pembangunan Saudi dan Dana Pembangunan Ekonomi Kuwait.

Selama 25 tahun mencurah bakti, Almarhum telah melalui beberapa kenaikan pangkat sehinggalah bersara dari perkhidmatannya dengan jawatan terakhir sebagai Pengarah Perancang dan Belanjawan pada tahun 1995.

Penglibatan dalam PAS

Semasa di Universiti Malaya, Abd Ghapar telah berjinak-jinak dengan kumpulan pelajar yang berjuang menaikkan martabat bangsa Melayu. Tidak keterlaluan pada masa itu beliau boleh dikatakan mempunyai perasaan anti-kerajaan kerana keburukan perilaku pemimpin yang didapati daripada pembacaan dan berita televisyen seperti rasuah, pecah amanah dan pelbagai korapsi lain.

Hatinya lebih ke arah memilih satu gerakan yang berasaskan Islam. Pada beliau satu-satunya parti yang pemimpinnya bersih adalah PAS. Beliau mengkagumi beberapa pemimpin PAS pada masa itu iaitu (Dato’) Asri Muda dan Mohd Fikri sehingga menamakan dua anaknya dengan nama tersebut.

Bagaimanapun penglibatan beliau bersama rakan-rakan aktivis terhenti apabila mula bekerja. Namun semangat dan sokongan terhadap perjuangan memartabatkan Islam, bangsa Melayu dan tanahair oleh parti PAS tidak pernah lekang. Beliau terus mengikuti perkembangan politik semasa tanahair. Peluang melangkah ke dalam arena politik digunakan setelah bersara.

Abdul Ghapar pulang ke Pernu bersama isterinya Puan Hajah Normah Abdul Majid serta anak bongsunya Nur Amirah. Di kampung beliau bertemu beberapa rakan yang merupakan ahli PAS. Ukhuwah yang terjalin oleh kesamaan fikrah itu disusuli dengan kesediaan menyumbang bakti berupa tenaga dan buah fikiran di dalam PAS Cawangan Pernu sehinggalah tidak lama kemudian beliau dilantik menjadi ketua di cawangan tersebut.

Pada tahun 2015 ketika berlaku pergeseran dalaman parti yang menyebabkan 18 orang pemimpin di Peringkat Pusat ditolak oleh perwakilan Muktamar, PAS Kawasan Kota Melaka tidak terkecuali daripada tempias pergeseran tersebut.

Kira-kira sebulan sebelum Muktamar PAS Pusat, PAS Kawasan Kota Melaka telah bertindak menyelamatkan organisasi tersebut dengan mengangkat Abdul Ghapar sebagai Yang Dipertua yang baharu. Beliau kekal menjadi YDP sehingga beliau menghembuskan nafas terakhir.

Cinta ilmu jadi ikutan anak-anak

Sifat cintakan ilmu dan semangat juang yang tinggi untuk menggenggam segulung ijazah sehingga mendorong untuk berusaha belajar sendiri telah menjadi inspirasi kepada lima orang anak-anaknya. Abdul Ghapar selalu menceritakan keadaan pembelajarannya dahulu sebagai motivasi untuk mereka. Beliau bersyukur anak-anaknya berjaya di dalam pelajaran dan menjadi insan berguna.

Anak sulungnya, Dato’ Dr Abd Kahar adalah seorang pakar jantung dan Ketua Jabatan Kardiologi di Hospital Serdang. Anak keduanya pula, Dato’ Dr Mohd Asri merupakan seorang pakar Ortopedik di Hospital Prince Court Kuala Lumpur.

Manakala anak ke tiga, Dr Aida seorang doktor vaterinar yang telah memilih untuk berhenti kerja dan menguruskan keluarga. Anak ke empat Abdul Ghapar, Mohd Fikri adalah seorang peguam berkelulusan dari Universiti Islam Antarabangsa dan yang terakhir anak bongsunya Nur Amirah berkelulusan IT dari Universiti Multimedia Melaka.

Penambahbaikan dalam parti

PAS Cawangan Pernu pada tahun 90an telahpun dipimpin oleh pemimpin yang baik dan berintegriti. Kepulangan Abd Ghapar, anak jati Kampung Pernu lalu menyertai PAS Pernu amat dialu-alukan bagi menguatkan saff sedia ada.

Pada usia 55 tahun, berbekalkan pengalaman sebagai Pengarah Felda, Abdul Ghapar menekankan kepentingan sistem dokumentasi dan rekod yang teratur. Setiausaha dan bendahari dipastikan menggunakan sistem panggilan mesyuarat bernotis dan rekod kewangan menggunakan format yang betul.

Apabila dilantik sebagai YDP PAS Kawasan Kota Melaka, beliau membawa disiplin dan implimentasi yang sama.

Kini Kota Melaka mempunyai barisan Ahli Jawatankuasa yang kompeten dari kalangan profesional, penjawat awam, swasta, ahli perniagaan dan anak-anak muda lepasan universiti dalam dan luar negara.

Apabila dipilih sebagai YDP pada usia 75 tahun, Abd Ghapar tidak bercita-cita untuk menjadi calon. Niatnya cuma satu, menerajui PAS Kawasan Kota Melaka untuk menyatukan semula ahli PAS yang terkesan oleh hasutan dan fitnah golongan GHB pada masa itu.

Apabila berbicara tentang PAS, beliau optimis bahawa parti Islam ini akan kekal utuh di Malaysia dan mendapat sokongan dari rakyat.

“PAS adalah satu parti yang tersusun, berorganisasi lengkap dan berperlembagaan. Cawangan-cawangannya hidup, mempunyai infrastruktur, ada jadual pengisian serta ahli yang istiqomah dan ikhlas bekerja. Itu adalah kekuatan PAS,” jawapan Abdul Ghapar apabila ditanya tentang hal itu.

Manakala di dalam kerajaan pula, Almarhum melihat PAS menghadapi cabaran dalam mengubah sikap bangsa Melayu yang mengharap ganjaran dunia sejak era pemerintahan Barisan Nasional lagi, di mana setiap pekerjaan tidak akan berjalan tanpa upah yang menanti.

Pada beliau, memang agak sukar untuk memperbetulkan keadaan ini memandangkan senario ini telah menebal di kalangan rakyat Malaysia. PAS perlu bersabar dalam menangani perkara ini.

Almarhum amat mengharapkan ahli-ahli PAS yang telah dilantik untuk memegang jawatan di dalam komuniti samada JPKK, pengurusan masjid atau surau supaya melaksanakan tugas dengan sebaiknya kerana mereka mewakili parti PAS. Buruk dan baiknya sikap ahli akan membawa kepada imej PAS. Beliau juga sering menasihati ahli yang tidak terpilih supaya tidak terlalu memikirkan untuk mendapat lantikan kerana perjuangan ini adalah kerana Allah swt.

“Jawatan adalah satu tanggungjawab, ia bukan hadiah atau ganjaran’, inilah prinsip yang harus ada pada semua ahli PAS,” kata Almarhum.

Hobi

Hobi YDP PAS Kawasan Kota Melaka ini adalah memancing. Di ketika kelapangan hari cuti apabila anak-anak dan cucu pulang mengunjunginya, beliau sering menggunakan kesempatan itu untuk menghabiskan masa memancing di atas bot miliknya bersama keluarganya.

Almarhum disenangi ahli jawatankuasa dan ahli-ahli PAS Kawasan Kota Melaka. Tidak lokek dengan nasihat, susuk tubuh yang kecil ini sering menjadi tempat ahli-ahli meminta pandangan dalam menyelesaikan sesuatu persoalan.

Semoga Allah sentiasa memayungi beliau dengan RahmatNya. Semoga rohnya dicucuri rahmat dan segala amal bakti dan perjuangannya membantu menegakkan kalimah Allah swt di bumi Melaka ini diterima oleh-Nya sebagai jihad dan dibalas dengan syurga. Amin ya rabbal alamin.

Penulis adalah Setiausaha Jabatan Penerangan PAS Melaka, Penolong Setiausaha-2 PAS Kawasan Kota Melaka, dan ahli Grup Penulis PAS Melaka.