Home Berita PAS Melaka

Jenazah Almarhum Abdul Ghapar dikebumikan sebelah makam isteri

1045
SHARE

Oleh : Abu Anas
Foto : Haniff Abd Rahim

KOTA MELAKA, 29 Jan : Jenazah Yang Dipertua PAS (YDP) Kawasan Kota Melaka, Almarhum Abdul Ghapar Abd Wahab, 81, yang meninggal dunia petang semalam selamat dikebumikan bersebelahan dengan makam isterinya di Tanah Perkuburan Islam Pernu, Kampung Ketapang, di sini, malam tadi.

Beliau yang merupakan YDP PAS Kawasan Kota Melaka semenjak tahun 2015 itu menghembuskan nafas terakhir pada jam 3.15 petang semalam di rumah anaknya, Dato’ Dr Mohd Asri Abd Ghapar, di Kampung Medan, Teluk Panglima Garang, Selangor.

Menurut Dr Mohd Asri, Almarhum ayahnya itu memang pernah menyuarakan hasrat agar Almarhum dapat dikebumikan di kampung halamannya di Pernu.

“Semasa hayatnya dia sebut nak dikuburkan di Pernu ini. Alhamdulillah urusan ini dipermudahkan. Terima kasih banyak semua.

“Syukur alhamdulillah. Itu hajat kami agar disedekahkan Al Fatihah, dan doa-doa agar rohnya tenang di sana, dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama dengan orang beriman, orang soleh dan para Anbiya,” ujar beliau ketika ditemui Wartawan Rakyat Melaka (WARM) seusai majlis pengebumian itu malam tadi.

Dato’ Dr Mohd Asri Abd Ghapar

Dr Mohd Asri yang juga merupakan seorang Pakar Bedah Ortopedik di Prince Court Medical Centre, Kuala Lumpur itu berkata, kematian ayahanda tercintanya itu adalah berkaitan dengan masalah jantung dan paru-paru di samping telah disahkan tiada sebarang jangkitan Covid-19.

Jenazah Almarhum tiba di Masjid Pernu dari Selangor pada jam 10.15 malam untuk disembahyangkan dengan disambut oleh lebih 200 orang saudara-mara, pimpinan masyarakat, sahabat handai dan penduduk-penduduk sekitar.

Solat jenazah telah diimamkan oleh Imam-1 Masjid Al-Aziz, Kampung Pernu, Norhanudin Kassim sebelum jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Pernu, bersebelahan makam isterinya yang meninggal dunia pada tahun 2001.

Selain Dr Mohd Asri yang merupakan anak kedua, Almarhum meninggalkan empat orang lagi anak, iaitu anak sulungnya, Dato’ Dr Abd Kahar, seorang pakar jantung dan Ketua Jabatan Kardiologi di Hospital Serdang; anak ketiga, Dr Aida seorang doktor vaterinar; anak ke empat, Mohd Fikri adalah seorang peguam berkelulusan dari Universiti Islam Antarabangsa dan yang terakhir anak bongsunya Nur Amirah berkelulusan IT dari Universiti Multimedia Melaka.

Almarhum memegang kelulusan tertinggi Post Graduate di dalam jurusan Pengurusan Kewangan dari Universiti of Connecticut, Hartford, Amerika Syarikat di bawah tajaan Program Pembangunan Bangsa-Bangsa Bersatu selain Ijazah Sarjana Muda Ekonomi Luar Bandar yang diperolehi daripada Universiti Malaya pada tahun 1969.

Almarhum telah mencurah bakti selama 25 tahun di FELDA dengan jawatan terakhir sebagai Pengarah Perancang dan Belanjawan.

Turut hadir di majlis pengebumian Almarhum ialah Pesuruhjaya PAS Melaka, Datuk Ustaz Kamarudin Sidek, Pengerusi Badan Pimpinan Bersatu Melaka, YB Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen, Ketua Umno Bahagian Kota Melaka, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman, Timbalan Pesuruhjaya PAS Melaka, Muhamat Puhad Bedol dan pimpinan-pimpinan PAS tempatan.