Home Artikel PAS Melaka

Rencana | Bazar Ramadan dan Aidilfitri nyawa ekonomi rakyat

272
SHARE
Kredit foto : GOOGLE

Oleh IBNU JANIE

BARU-BARU ini kerajaan negeri Kelantan terpaksa menarik balik kebenaran untuk menjalankan program bazar Ramadan dan bazar Aidilfitri sepanjang bulan puasa ini.

Keputusan ini terpaksa dibuat memandangkan peningkatan terhadap wabak Covid-19 di dalam negeri Kelantan dan atas nasihat daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Kerajaan Kelantan juga telah mengambil inisiatif untuk memberikan saguhati atas kerugian yang ditanggung oleh peniaga-peniaga ini yang telah membuat persediaan awal tetapi tidak boleh berniaga.

Di negeri penulis, negeri Melaka Bandar Raya Bersejarah contohnya, setakat ini kerajaan membenarkan bazar Ramadan dan Aidilfitri beroperasi. Namun masalah yang dihadapi ialah sikap sesetengah pengunjung bazar yang mengabaikan prosedur operasi standard (SOP) untuk Covid-19.

Beberapa video yang diambil dan ditularkan oleh orang ramai yang prihatin baru-baru ini menunjukkan kejadian di beberapa bazar Ramadan di mana orang ramai berpusu-pusu dan bersesak-sesak membeli juadah tanpa menghiraukan SOP.

Ini juga telah menyebabkan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Utama (Dr.) Sulaiman Md Ali terpaksa memberi amaran untuk menarik balik kebenaran sekiranya SOP tidak dipatuhi. Dan beliau sendiri telah turun padang untuk melihat sendiri suasana di beberapa bazar Ramadan di sekitar Melaka.

Peniaga bazar Ramadan dan Aifilfitri

Peniaga bazar ini terbahagi kepada dua iaitu bazar Ramadan dan bazar Aidilfitri. Bazar Ramadan ini merujuk kepada mereka yang menjual juadah berbuka puasa. Biasanya bazar Ramadan ini bermula dari jam 3 petang sehingga sampai waktu berbuka.

Kredit foto : GOOGLE

Bazar Aidilfitri pula biasanya perniagaan yang menjual barang-barang keperluan hari raya biasanya bersifat barang kering seperti pakaian dan produk-produk kegunaan hari raya. Biasanya mereka beroperasi dari petang hingga tengah malam.

Biasanya bazar Aidilfitri ini akan bermula lewat sedikit. Biasanya paling awal dibuka pada minggu kedua Ramadan. Selalunya akan mula meriah dua minggu sebelum menjelang hari raya Aidilfitri.

Samada peniaga-peniaga bazar Ramadan atau bazar Aidilfitri ini, sebenarnya kebanyakan mereka menjadikan perniagaan sepanjang bulan Ramadan sebagai aktiviti utama. Ini adalah kerana perniagaan di bulan Ramadan untuk produk-produk yang bersesuaian ini memang adalah sesuatu yang mereka tidak akan rasai pada bulan-bulan lain.

Sebagai orang yang pernah berniaga di bazar Aidilfitri memang penulis sangat faham apa yang dihadapi oleh peniaga-peniaga ini. Penulis banyak berkawan dengan peniaga-peniaga pakaian bazar Aidilfitri daripada kaum Melayu Kemboja Melaka. Mereka mempunyai kaedah mereka dalam perniagaan di bazar Aidilfitri ini.

Tempah stok awal

Biasanya mereka akan menempah stok pakaian dengan jumlah yang besar. Untuk baju Melayu biasanya mereka akan membeli kain ela daripada pembekal kain dan menghantar kepada tukang jahit mereka. Dan biasanya mereka akan mendapat kemudahan kredit daripada pembekal kain dan tukang jahit. Mereka akan membayarnya selepas selesai berniaga di bazar Ramadan.

Katalah mereka membuat 5000 helai baju Melayu dengan kos RM50 sehelai. Ini bermakna mereka berhutang sebanyak RM250 ribu daripada pembekal kain dan tukang jahit.

Kredit foto : GOOGLE

Untuk memudahkan pengiraan, kita andaikan harga jualan adalah sekali ganda daripada kos iaitu RM100. Ini bermakna jika mereka berjaya menjual kesemuanya mereka akan mendapat jualan sebanyak RM500 ribu dan untung kasar sebanyak RM250 ribu.

Kemudian mereka pun berniaga. Katalah mereka berjaya menjual sebanyak 4000 unit baju-baju Melayu itu. Ini bermakna mereka akan mendapat jualan sebanyak RM400 ribu.

Daripada jualan sebanyak RM400 ribu itu mereka akan melangsaikan hutang pembekal kain dan tukang jahit sebanyak RM250 ribu. Katalah kos sewa tapak dan gaji pekerja semuanya berjumlah RM50 ribu. Maka mereka akan mendapat untung bersih sebanyak RM100 ribu.

Mereka bukan sahaja untung RM100 ribu malah mereka masih ada stok baju yang masih tidak terjual sebanyak 1000 unit lagi dengan nilai kos sebanyak RM50 ribu. Biasanya ini mereka panggil ‘untung barang’ kerana stok ini sudah tiada hutang lagi.

Jika mereka menjual stok ini selepas Aidilfitri dengan harga diskaun, mereka akan mendapat wang lagi dalam keadaan stok itu tidak ada hutang pembekal lagi. Jadi semua jualan baki stok ini akan masuk dalam poket mereka tanpa perlu risau untuk membayar hutang pembekal.

Dan sebenarnya dalam kalangan rakan-rakan peniaga Kemboja yang penulis kenali di negeri Melaka ini, jualan antara RM300 ribu hingga RM500 ribu pada satu-satu musim Ramadan adalah biasa untuk masa-masa normal (bukan Covid-19). Jumlah untung bersih sebanyak RM150 ribu ke RM250 ribu untuk sebulan berniaga di bazar Aidilfitri juga biasa. Itu belum lagi peniaga-peniaga di bandar-bandar besar seperti Kuala Lumpur.

Kredit foto : GOOGLE

Seperti yang penulis katakan sebelum ini bazar Ramadan dan bazar Aidilfitri ini sangat penting kepada peniaga-peniaga kerana pada masa inilah mereka boleh mendapat jualan yang sangat banyak.

Malah sesetengah mereka menggunakan keuntungan besar mereka itu untuk menjelaskan ansuran kereta mereka untuk beberapa bulan. Bergantung kepada jumlah keuntungan yang mereka dapat. Ada yang mampu menjelaskan ansuran kereta selama setahun. Jadi mereka tidak perlu risau sekiranya bulan-bulan mendatang mereka tidak ada jualan.

Sesetengah yang lebih ekstrem akan berehat lama selepas mengaut keuntungan sepanjang bulan Ramadan. Kadang-kadang mereka bercuti selama enam bulan. Bergantung kepada jumlah keuntungan mereka.

Secara kasar mereka membuat pengiraan begini. Katalah mereka mendapat untung bersih sebanyak RM120 ribu. Ini bermakna jika dibahagikan selama 12 bulan maka setiap bulan mereka akan mendapat gaji sebanyak RM10 ribu sebulan.

Sekiranya jumlah perbelanjaan bulanan mereka lebih rendah, katalah RM5000 sahaja sebulan maka mereka memang layak untuk bercuti selama setahun dengan keuntungan bersih sebanyak RM120 ribu yang mereka dapat daripada bazar Aidilfitri tadi.

Namun memang realiti perniagaan pakaian hanya ‘meletup’ pada musim perayaan. Masa itu sahajalah orang ramai akan membeli pakaian dalam jumlah yang besar. Pada bulan-bulan lain memang ada tetapi tidak sebanyak musim perayaan. Jadi jika mereka menumpukan pada bulan Ramadan dan berehat pada bulan-bulan lain masuk akal juga.

Apa yang penulis cuba sampaikan di sini ialah tentang betapa pentingnya bazar Ramadan dan Bazar Aidilfitri ini kepada para peniaga seperti ini. Berniaga di bazar Ramadan atau Aidilfitri barat jantung kepada perniagaan mereka.

Sebagaimana yang kita tahu pada Ramadan tahun lepas semua peniaga tidak dapat berniaga samada di bazar Ramadan atau bazar Aidilfitri kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pada masa itu memang ramai antara peniaga ini sudah pun membuat persiapan awal menyediakan stok. Peniaga-peniaga pakaian contohnya sudah pun menghantar kain untuk dijahit oleh tukang-tukang jahit mereka.

Dan baju-baju itu sudah pun siap. Namun mereka tidak dapat menjualnya. Mereka juga menanggung hutang yang banyak dengan pembekal kain dan tukang jahit.

Dilema kerajaan dan batu api

Kerajaan juga sebenarnya sangat memahami apa yang dihadapi oleh rakyat. Namun situasi ini sebenarnya umpama ‘ditelan mati emak, diluah mati bapa, dikemam matilah nak…’

Kita perlu juga memahami situasi kerajaan yang juga menghadapi masalah untuk membuat keputusan. Ia bukan satu perkara yang boleh dijangka. Penularan ini boleh tiba-tiba naik mendadak.

Realitinya jika berlaku tindakan seperti itu maka akan ada batu api dan tukang sorak yang akan menyalak-nyalak memburuk-burukkan kerajaan yang terpaksa melakukan tindakan tegas dan drastik.

Namun sekiranya kerajaan bersikap longgar sehingga akhirnya menyebabkan penularan wabak ini maka akan ada juga batu api dan tukang sorak yang akan memaki hamun kerajaan kerana tidak tegas.

Dan yang menariknya kedua-dua batu api dan tukang sorak yang memaki kerajaan kerana bertindak tegas dan juga yang memaki kerajaan kerana bersikap longgar adalah orang yang sama. Seronok jadi mereka ini. Apa pun yang kerajaan buat mereka tetap dapat ‘mileage’.

Penulis adalah Ketua Editor CPP-Berita PAS, Jabatan Penerangan PAS Pusat

Kredit foto : GOOGLE

Rencana ini juga disiarkan di Harakah (cetak) pada 19 April 2021.

Gggggggg

 

 

 

AKIKAH MAKKAH EMRANSYAH

 

.         SAMBAL IBU SARI        .