Home Tadabbur Al-Quran

Tadabbur Surah Al-Anfal: Siri 7

243
SHARE

📓📓Tadabbur Al Quran📓📓
Surah Al-Anfal: Siri 7

Ayat: 17-19 : Perlindungan Allah yang Berterusan Buat Orang Beriman

🖋Firman Allah serta terjemahannya:

فَلَمْ تَقْتُلُوهُمْ وَلَكِنَّ اللَّهَ قَتَلَهُمْ وَمَا رَمَيْتَ إِذْ رَمَيْتَ وَلَكِنَّ اللَّهَ رَمَى وَلِيُبْلِيَ الْمُؤْمِنِينَ مِنْهُ بَلَاءً حَسَنًا إِنَّ اللَّهَ سَمِيعٌ عَلِيمٌ (١٧)

”Maka (yang sebenarnya) bukan kamu yang membunuh mereka, akan tetapi Allahlah yang membunuh mereka, dan bukan kamu yang melempar ketika kamu melempar, tetapi Allah-lah yang melempar. (Allah berbuat demikian untuk membinasakan mereka) dan untuk memberi kemenangan kepada orang-orang mukmin, dengan kemenangan yang baik. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.”

ذَ ٰ⁠لِكُمۡ وَأَنَّ ٱللَّهَ مُوهِنُ كَیۡدِ ٱلۡكَـٰفِرِینَ (١٨)

”Demikianlah (caranya nikmat yang dikurniakanNya kepada kamu), dan sesungguhnya Allah sentiasa melumpuhkan tipu daya orang-orang yang kafir.”

إِن تَسۡتَفۡتِحُوا۟ فَقَدۡ جَاۤءَكُمُ ٱلۡفَتۡحُۖ وَإِن تَنتَهُوا۟ فَهُوَ خَیۡرࣱ لَّكُمۡۖ وَإِن تَعُودُوا۟ نَعُدۡ وَلَن تُغۡنِیَ عَنكُمۡ فِئَتُكُمۡ شَیۡـࣰٔا وَلَوۡ كَثُرَتۡ وَأَنَّ ٱللَّهَ مَعَ ٱلۡمُؤۡمِنِینَ (١٩)

“Jika kamu minta pertolongan, sesungguhnya telah datang pertolongan itu kepadamu dan jika kamu berhenti lebih baik bagimu.Tetapi jika kamu kembali, Kami pun kembali pula. Tidak berguna bagimu jemaah kamu sedikit pun, sekalipun banyak bilangannya. Sesunguhnya Allah bersama orang-orang yang beriman.”

📖 Tafsir ringkas:

1. Allah SWT memberikan penjelasan mengenai alasan kaum muslimin dilarang melarikan diri dari medan perang sebagaimana dalam ayat sebelumnya, iaitu kerana hakikatnya Dialah yang membantu kaum muslimin dalam segala tindakan yang mereka lakukan dalam peperangan itu, termasuklah perbuatan memenggal kepala musuh, melemparkan tombak atau melemparkan kepalan tanah kepada musuh.

2. Allah SWT menerangkan keadaan yang menguntungkan bagi kaum muslimin ialah keyakinan bahawa perjuangan mereka akan menang, dan Allah SWT akan membantu mereka. Dia turut menjanjikan bahawa segala strategi dan tipu daya orang kafir pasti akan dikalahkan.

3. Jaminan Allah SWT dalam ayat 18, dikuatkan lagi dalam ayat 19, dimana Dia menyatakan kepada kaum kuffar bahawa sekiranya mereka berpihak kepada kebenaran Islam, mereka telah mendapat kemenangan dan jika mereka berhenti memerangi Islam itulah yang lebih baik. Namun mereka tetap menentang kebenaran.

4. Allah SWT turut memberikan amaran kepada orang kafir bahawa meskipun kekuatan dan bilangan mereka sangat besar, mereka tidak akan menang kerana Allah sentiasa ada bersama dan membantu kaum muslimin.

🎀 Pengajaran:

1. Ketahuilah bahawa Allah SWT sentiasa melindungi setiap perjuangan kaum muslimin dalam menegakkan agama tauhid serta akan melemahkan perjuangan orang-orang musyrikin pada setiap gerak dan langkah mereka yang ditujukan untuk memerangi orang-orang beriman.

2. Sesungguhnya pertolongan Allah SWT pasti datang kepada orang mukmin yang berjuang untuk menegakkan agama Allah SWT. Dia akan menghantar para malaikat-Nya untuk memberi bantuan tanpa diduga-duga.

3. Pastikan segala tindakan dalam perjuangan hendaklah berteraskan Al-Quran dan Sunnah Nabi SAW, dan persiapkan segala persediaan fizikal dan mental yang terbaik.

4. Berdoa dan bertawakallah kepada Allah SWT dan yakin dengan sepenuh hati bahawasanya tidak ada kekuatan melainkan kekuatan Allah SWT.

5. Jauhilah syirik dan maksiat kerana kegagalan dalam perjuangan adalah kerana kelalaian dan dosa kita kepada Allah SWT. Hayatilah pesanan Saidina Umar Al-Khattab kepada panglima tenteranya Saad bin Abi Waqas sebelum diutuskan untuk pembukaan Parsi, antaranya:

“Sesungguhnya aku memerintahkan kepada kamu wahai Saad … ! Dan juga mereka yang bersama-sama kamu supaya bertaqwa kepada Allah SWT dalam apa jua keadaan kerana sesungguhnya bertaqwa kepada Allah SWT adalah sebaik-baik persiapan untuk mengalahkan pihak musuh dan juga sekuat-kuat tipu daya dalam peperangan.

Aku memerintahkan kepada kamu dan mereka yang bersama-sama kamu supaya menjauhikan diri daripada maksiat kerana sesungguhnya dosa-dosa yang dilakukan oleh tentera Islam adalah lebih aku takuti daripada musuh-musuh Islam. Sesungguhnya orang-orang Islam telah mendapat pertolongan daripada Allah SWT disebabkan oleh kemaksiatan yang telah dilakukan oleh pihak musuh, jika bukan kerana hal itu, nescaya tidak ada bagi orang-orang Islam akan kekuatan.”

📚Rujukan:
1. Tafsir ibnu Katsir
2. Tafsir Al-Mukhtasar
3. Tafsir As-sa’di

Disusun oleh:
Lajnah Dakwah DMPM dengan kerjasama Ameerah Gombak dan Lajnah Dakwah DMPK Gombak
19 April 2021 / 7 Ramadhan 1442