Home Rencana PAS Melaka

Rencana | Bangga dengan kerjaya sebagai pendidik

620
SHARE

Oleh IBNU JANIE

BARU-BARU ini seorang bekas pelajar penulis semasa di Kolej Profesional MARA dahulu kritikal kerana dijangkiti Covid-19. Penulis telah dijemput oleh bekas-bekas pelajar batch ini yang mengadakan majlis bacaan Yasin secara dalam talian untuk mendoakan kesihatan bekas pelajar tadi.

Di situ penulis dapat bertemu semula dengan bekas-bekas pelajar penulis yang lain semasa penulis menjadi pensyarah di kolej itu dahulu secara dalam talian.

Ia mengingatkan penulis kepada kenangan sewaktu menjadi pendidik satu masa dahulu. Semuanya bermula sekitar Oktober 2001 apabila penulis ditawarkan untuk jawatan pensyarah selepas mencuba nasib melalui proses temuduga.

Sebenarnya pada masa itu penulis memang tidak meminati kerjaya itu. Memang penulis menerima jawatan itu hanya untuk bekerja semata-mata. Pada masa itu penulis berharap agar suatu masa penulis dapat memasuki sektor korporat sebagai eksekutif sesuai dengan kelulusan akademik penulis dalam bidang pengurusan perniagaan.

Semenjak dari kecil memang ada dua pekerjaan yang penulis tidak minat untuk ceburi iaitu doktor perubatan dan guru. Namun pada masa itu ditakdirkan tuhan penulis tercebur juga ke bidang pendidikan ini.

Pada masa itu penulis tidak bangga untuk memberitahu rakan-rakan tentang pekerjaan penulis. Lebih-lebih lagi pada masa itu sebagai graduan yang baru memasuki alam pekerjaan masing-masing sibuk membanding-bandingkan pendapatan dan gaji yang mereka perolehi.

Pada masa itu juga mereka yang dapat tawaran bekerja di LHDN, Bank Negara, KWSP adalah antara yang dipandang tinggi. Organisasi-organisasi ini memberi gaji yang tinggi kepada graduan baharu. Ini menambahkan rasa rendah diri penulis lebih-lebih lagi dengan gaji dan kerjaya dalam bidang perguruan ini.

Sehinggalah pada satu masa penulis menghadiri satu kursus yang telah mengubah pendirian penulis terhadap kerjaya yang sedang penulis ceburi itu. Penulis pun tidak berapa ingat apa yang berlaku di dalam kursus itu, namun ia benar-benar telah mengubah pendirian penulis.

Rencana ini juga disiarkan di Harakah cetak bertarikh 8 Oktober 2021

 

Selepas itu penulis sudah mampu untuk memberitahu rakan-rakan apa pekerjaan yang penulis lakukan ini dengan rasa bangga. Walau pun penulis dan mereka tahu bahawa gaji penulis ketika itu jauh lebih rendah daripada gaji mereka.

Apabila kita sudah faham tentang falsafah dan tanggungjawab kita terhadap kerjaya kita maka mudah untuk kita mewujudkan semangat yang tinggi untuk menjalankan tanggungjawab itu dan menimbulkan minat yang tinggi terhadap pekerjaan itu.

Minat terhadap apa yang kita lakukan akan membuatkan kita gembira melakukan perkara itu walau bagaimana rumit atau sukar sekali pun. Seperti kata pujangga ‘kejayaan bukan kunci kebahagiaan, tetapi kebahagiaan itulah kunci kejayaan’.

Jika kita gembira dan bahagia dengan apa yang kita lakukan ia akan menyebabkan kita melakukan sesuatu perkara itu dengan bersungguh-sungguh sehingga menghasilkan kejayaan.

Apa yang utama sebenarnya ialah ganjaran yang diperolehi oleh seseorang guru yang mengajar sesuatu ilmu yang bermanfaat itu sangat besar. Ia termasuk di dalam sedekah jariah yang pahalanya berkekalan dan berterusan. Kerana itu kerjaya ini dipanggil sebagai kerjaya paling mulia di atas muka bumi.

Namun setelah hampir lapan tahun mencurah bakti, penulis akhirnya meletakkan jawatan untuk menceburi satu lagi bidang yang juga penulis minati iaitu bidang perniagaan selain menjadi penulis sepenuh masa.

Meletak jawatan bukan kerana sudah tidak suka menjadi pendidik. Namun kerana penulis berhasrat menyediakan diri untuk bersama dalam perjuangan jemaah siasah Islam ini secara sepenuh masa.

Berkhidmat sebagai penjawat awam menyukarkan penulis untuk bergerak dalam PAS. Sementelah pada waktu itu PAS adalah pembangkang, jadi tekanan sebagai penjawat awam sangat kuat.

Sebenarnya sehingga sekarang pun penulis masih rasa rindu untuk mendidik pelajar-pelajar seperti dahulu. Namun penulis teringat kata-kata Almarhum Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat bahawa menjadi guru tidak semestinya secara formal.

Kita masih boleh menjadi pendidik mencurah ilmu secara tidak formal kepada orang ramai dengan pelbagai cara. Menulis juga adalah salah satu caranya. Sekali-sekala penulis dijemput menjadi jurulatih untuk program-program latihan turut menjadi ruang ‘melepas gian’ untuk mengajar!

Penulis adalah Ketua Editor Berita PAS, Jabatan Penerangan PAS Pusat dan Ketua Unit Berita Jabatan Penerangan PAS Melaka