Home Artikel PAS Melaka

Rencana : Arwah Abang Mat Hashim Yang Saya Kenal

701
SHARE

Oleh : Ibnu Janie

NAMA di kad pengenalannya ialah Ahmad Bin Hasim. Itulah namanya. Tapi orang memanggilnya ‘Mat Hashim’. Oleh kerana dia lebih tua dari saya, maka saya biasa memanggilnya abang Mat Hashim.

Dia tidak pernah memegang jawatan di peringkat perhubungan negeri sekali pun, jauh sekali menjawat jawatan sebagai pimpinan pusat. Dia tidak terkenal. Dia hanya amilin. Namun, sosok kerdil ini telah menginfakkan diri dan keluarganya untuk perjuangan Islam tanpa berkira-kira.

Beliau sudah lama menghidap gout pada tahap yang kritikal sehingga kebanyakan jari-jari tangan dan kakinya membengkok dan membengkak. Ini menyukarkan pergerakan beliau. Beberapa tahun kebelakangan ini beliau sudah tidak boleh berjalan dan terpaksa berkerusi roda sepanjang masa. Ke mana sahaja dia pergi isterinya yang tercinta, Siti Aidah Bohari akan memandu kereta.

Dia dan isterinya mengusahakan sebuah PASTI di bawah cawangan PAS iaitu PASTI Annur di Kuala Sungai Baru. Isterinya yang saya panggil ‘kak Aida’ adalah guru di PASTI itu. Selain itu mereka biasa menerima tempahan makanan untuk program-pogram PAS untuk menyara keluarga. Bila menjelang Hari Raya mereka membuat kuih raya untuk dijual. Itulah antara sumber pendapatan mereka.

Jika hendak bercakap tentang perjuangan dan pengorbanan beliau, memang saya tidak tahu dari mana harus saya mulai penulisan ini. Atas, bawah, depan, belakang, kiri, kanan beliau adalah perjuangan dan pengorbanan untuk PAS. Jika diibaratkan seorang soldadu, maka tiada ruang di kulit badan beliau yang tiada parut kecederaan akibat peperangan.

Kerana kerajinan dan komitmennya, abang Mat Hashim sering dijadikan sebagai provokasi kepada mana-mana petugas PAS yang malas dan culas. Jika ada yang berat untuk keluar ke demonstrasi mereka akan digasak dengan ayat “Eh, Mat Hashim yang sakit tu pun pergi tau! Kau yang sihat ni malas!”.

Ayat-ayat ini juga digunakan buat mana-mana ahli jawatankuasa (AJK) yang malas ke mesyuarat. Maka abang Mat Hashimlah yang akan menjadi penanda aras. Bagi yang sedar diri sudah tentu akan malu untuk tidak menghadiri demonstrasi, program atau mesyuarat bila disandarkan kepada keadaan abang Mat Hashim yang sakit dan tidak ada keupayaan untuk bergerak tetapi tetap hadir.

Dia orang susah, tapi bila sebut tentang sumbangan wang untuk PAS dia macam tauke balak. Laju sahaja duitnya keluar. Saya ingat lagi sebelum PRU13 apabila PAS kawasan menetapkan setiap AJK Kawasan harus menyumbang wajib sebanyak RM200 seorang, dia antara orang terawal menunaikan tanggungjawab itu.

Malah, dia juga yang saban hari menghantar sms kepada semua AJK kawasan mengingatkan mereka agar segera menyerahkan sumbangan mereka seperti yang telah ditetapkan oleh mesyuarat. Pada masa itu ramai juga AJK yang mempunyai pendapatan dan pekerjaan yang baik pun ‘liat’ hendak menyumbang. Tapi abang Mat Hashim tidak pernah berkira apabila sebut tentang parti.

Abang Mat Hashim adalah orang yang sanggup berkampung di markaz apabila berlaku pilihanraya untuk memastikan markaz ada petugas 24 jam. Biasanya dia akan bawa isteri dan anak-anaknya sekali. Dia melupakan keselesaan tinggal di rumah demi untuk tugas parti. Tak ramai orang yang sanggup buat begitu.

Abang Mat Hashim juga bekas orang kuat Jabatan Amal Malaysia (JAM). Dari maklumat yang saya dapat sejak dari Shah Alam lagi abang Mat Hashim sudah aktif dengan JAM yang ketika itu dikenali sebagai Unit Amal.

Tidak tahulah berapa banyak pahala dia dapat selama ini atas kesungguhannya menyebar maklumat apa saja program PAS terutama program Kuliah Haraki mingguan yang diadakan di Markaz PAS Kawasan Masjid Tanah. Sekarang ini menghantar mesej memanglah percuma apabila menggunakan aplikasi whatsapp. Tapi pada era sebelum PRU13, pada masa itu sebahagian besar pemakluman adalah dengan sms yang berbayar.

Masa itu bukan ada grup whatsapp macam sekarang. Seingat saya pada masa itu caj satu sms adalah sepuluh sen. Tapi macam yang saya cakap sebelum ini, bila soal perjuangan abang Mat Hashim tak pernah berkira dan sanggup berhabis duit sendiri macam dia tu tauke balak!

Abang Mat Hashim tidak putus-putus menghantar peringatan melalui sms kepada semua orang yang nombor mereka ada tersimpan dalam telefon bimbitnya. Bahasanya juga sangat menyentuh hati memujuk orang ramai untuk hadir ke kuliah.

“Taman-taman syurga merindui kehadiran anda” dan “tanpa tarbiyah pasti rebah” adalah antara ungkapan ‘trademark’ abang Mat Hashim yang sering beliau gunakan setiap kali menghantar mesej atau hantaran di media sosial.

Abang Mat Hashim lama menjawat jawatan sebagai Penolong Setiausaha PAS Kawasan Masjid Tanah. Allahyarham seorang yang mahir menggunakan komputer. Memang biasanya segala laporan abang Mat Hashim yang buat. Laporannya juga mesti cantik dengan hiasan-hiasan grafik.

Yang menyayat hati, apabila keadaan Allahyarham semakin teruk sehingga jari-jarinya bengkak dan bengkok teruk, tidak boleh menekan papan kekunci komputer, beliau menekan papan kekunci menggunakan pen untuk menaip! Yang penting laporan mesti siap. Yang ini saya tidak melihat dengan mata kepala saya sendiri. Tapi peristiwa ini diberitahu oleh sahabat karib saya Setiausaha PAS Kawasan Masjid Tanah, Jamaruddin Ahmad.

Namun, kuasa Allah swt tidak ada siapa yang boleh menghalang. Pada jam 6.30 pagi, 11 Jun lepas segala perjuangannya yang penuh ranjau itu terhenti apabila beliau menghembuskan nafas terakhirnya di Hospital Alor Gajah, Melaka.

Lepas ini mungkin tiada lagi kami dapat menerima mesej dari abang Mat Hashim dengan frasa ‘trademark’nya “Taman-taman syurga merindui kehadiran anda” dan “tanpa tarbiyah pasti rebah”. Dan kami pasti akan merinduinya.

Hanya keluarga dan anak-anaknya yang hebat-hebat yang ditinggalkannya bakal menyambung perjuangan Allahyarham abang Mat Hashim. Insya-Allah.

Seperti yang saya tulis diawal tadi abang Mat Hashim mungkin tidak dikenali ramai di dunia ini. Tetapi saya berdoa, berharap dan percaya rohnya dikenali oleh seluruh penghuni langit. Insya-Allah. Amin ya rabbal alamin.

Penulis adalah Ketua Unit Berita Lajnah Penerangan PAS Melaka dan Ketua Penerangan PAS Kawasan Masjid Tanah

(Rencana ini juga tersiar dalam Harakah Cetak 15 Jun 2020 Edisi Isnin)