Home Artikel PAS Melaka

Perginya Seorang Pejuang. | Dedikasi buat Al-Marhum Abang Mat Hasim

1439
SHARE

PADA empat Syawal yang lepas, dengan izin Allah saya berkesempatan menziarahi abang Mat Hashim sekeluarga. Walaupun agak sukar untuk mendapatkan keizinan pihak polis bagi perjalanan rentas negeri berikutan PKPB tetapi saya nekad dan bertawakal kepada Allah SWT. Alhamdulillah dipermudahkan urusan untuk sampai ke teratak abang Mat dan cikgu Aidah sekeluarga.

Sayu, sedih, kagum dan begitu terharu sekali bila dapat bertemu beliau buat pertama kali di rumahnya. Kedudukan rumah beliau yang agak jauh daripada Markaz PAS Kawasan Masjid Tanah tidak menjadi halangan untuk beliau hadir program jemaah. Sungguh saya cemburu dengan semangat dan kekuatan yang Allah titipkan buat beliau dan isterinya.

Tak tahu kenapa sepanjang Ramadan pada tahun ini Allah hadirkan dalam diri ini keinginan yang kuat untuk menziarahi abang Mat. Rupanya itulah peluang terakhir yang Allah hadiahkan kepada saya untuk mengenali dengan lebih dekat insan hebat yang luar biasa. Walaupun diuji oleh Allah dengan sakit yang menyebabkan pergerakan beliau terpaksa bergantung dgn kerusi roda namun semangat perjuangan beliau tidak pernah luntur.

Istiqamah beliau dalam menghadiri program-program jemaah tidak dapat dinafikan. Dengan keterbatasan kudrat yang dimiliki, beliau berusaha melaksanakan amanah jemaah yg diberikan padanya. Sungguh beliau adalah lambang pejuang sebenar yang wajar dijadikan ikutan buat ahli-ahli jemaah untuk melihat Islam terus subur di tanah air yg tercinta ini.

Walaupun hari ini beliau telah meninggalkan kita tetapi semangat dan roh perjuangan yang mengalir dalam dirinya tetap segar dalam ingatan. Kembang kempis nadinya bersama jemaah ini sentiasa subur dalam jiwa setiap pejuang Islam.

Sungguh hidup ini hanya sebentar sahabat-sahabat. Tempat manusia diuji dengan pelbagai bentuk dan rupa. Bersyukurlah apabila Allah memilih kita untuk berjuang bersama insan-insan hebat yang berjaya menghadapi ujian dunia ini dengan penuh reda dan sabar.

Ya Allah, kami menjadi saksi atas kerja buatnya di dunia ini untuk menegakkan kalimahMu. Ampunilah segala dosa-dosanya. Gantikanlah kesukaran pergerakan beliau di dunia ini dengan kesenangan perjalanannya meniti titian siratMu. Hadiahkanlah syurga yang terindah buatnya lantaran kesabarannya menghadapi ujianMu di dunia ini. Damaikanlah kehidupan beliau di alam barzakh serta tempatkanlah beliau bersama para syuhada’ dan solihin.

Ustaz Mohd Nasir Othman
11 Jun 2020

Penulis adalah bekas calon PAS Parlimen Masjid Tanah PRU14