Home Melaka

Rencana | Apabila wala’ kita diuji…

261
SHARE

Oleh IBNU JANIE

TANGGUNGJAWAB kita sebagai ahli PAS adalah untuk wala’ terhadap keputusan-keputusan yang dibuat pimpinan parti selagi mereka tidak menyuruh kita melanggar hukum Islam.

Semasa berlaku peristiwa hitam perpecahan dalam PAS sekitar tahun 2015 dahulu kerana keputusan pucuk pimpinan meninggalkan Pakatan Rakyat (PR) sehingga lahirnya PAN, prinsip wala’ menjadi ejekan terhadap golongan yang istiqamah dengan PAS pada ketika itu.

Perkara ini berlaku kerana terdapat segolongan pemimpin dan ahli PAS pada ketika itu yang bukan sahaja tidak wala’ kepada pimpinan parti sendiri, malah wala’ mereka adalah pada pemimpin parti lain yang menjadi rakan politik PAS pada masa itu iaitu PKR dan DAP.

Lalu mereka menggelar golongan istiqamah yang wala’ ini sebagai ‘walaun’. Namun sebagai ahli PAS yang bangga dengan konsep wala’, kita senyum sahaja digelar ‘walaun’, kerana tahu bahawa wala’ itulah kekuatan PAS dan menjadi pegangan gerakan Islam dan agama Islam itu sendiri.

Namun harus diingat setiap yang kita pegang itu pasti akan diuji oleh Allah SWT. Sepertimana yang dinyatakan dalam Al Quran apabila Allah SWT menempelak segolongan manusia yang mendakwa mereka sudah beriman sedangkan mereka belum diuji.

Kita yang sekian lama bangga mengaku sebagai wala’ pasti akan diuji. Wala’ ini pula bukan hanya pada perkara yang memang kita suka, yang kita setuju atau yang menepati tekak kita sahaja. Jika wala’ yang begini adalah perkara biasa.

Semua yang berada di dalam PAS sebelum tahun 2015 dan pada hari ini masih di dalam PAS adalah mereka yang telah diuji dengan wala’. Jika pada tahun 2015 dahulu kita termasuk di dalam kumpulan yang wala’ kerana kita memang bersetuju dengan keputusan pucuk pimpinan PAS ketika itu meninggalkan Pakatan Rakyat, itu biasa.


Rencana ini juga disiarkan di Harakah cetak bertarikh 8 Ogos 2022

 

Jika terdapat sekumpulan daripada kita pada masa itu yang menentang keputusan ini, kemudian meninggalkan PAS, itu juga biasa. Yang luar biasa ialah mereka yang pada masa itu tidak setuju dengan keputusan pucuk pimpinan PAS tersebut tetapi tetap akur dan masih kekal taat pada PAS sehingga ke hari ini, itulah wala’ sejati.

Jadi, kehebatan wala’ itu bukan diuji semata-mata atas kemampuan kita mentaati pimpinan sahaja, tetapi lebih jauh lagi, apabila kita perlu taat pada keputusan yang tidak menepati cita rasa dan kehendak kita. Barulah wala’ kita benar-benar teruji.

Baru-baru ini Tun Daim Zainuddin ada membuat ramalan bahawa kemungkinan besar PAS akan dapat menambah lebih banyak kerusi pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke 15 yang akan datang.

Ramalan ini sangat menarik. Bukan kerana ramalan itu, tetapi kerana ramalan itu dibuat oleh Tun Daim. Tun Daim menjadi sangat popular apabila ramalannya pada PRU 2008 bahawa BN akan tumbang di lima negeri menjadi kenyataan. Semenjak itu ramalan beliau mula menjadi perhatian semua pihak.

Ramalan Tun Daim terhadap PAS ini sepatutnya menjadi semangat buat ahli-ahli PAS untuk bekerja keras bagi memastikan ia benar-benar menjadi kenyataan. Ia memerlukan satu kesepaduan di dalam PAS bagi mendepani PRU-15 ini.

Semua ahli PAS perlu bersatu hati terhadap keputusan dengan siapa PAS bekerjasama; lambang apa yang PAS akan gunakan dan di kerusi mana PAS akan bertanding.

Kita tidak mahu terjadi seperti yang telah berlaku di Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor yang menyebabkan PAS gagal mendapat banyak kerusi kerana ada pengkhianatan daripada segelintir ahli yang tidak berpuas hati dengan keputusan parti.

Sebagai contoh, ada yang tidak bersetuju dengan keputusan berkaitan calon sanggup bertanding sebagai calon bebas. Kemudian PAS gagal mempertahankan kerusi yang sebelum ini dimenangi akibat pecah undi.

Barangkali individu ini bangga berjaya menyebabkan PAS kalah akibat tidak mengikuti kehendaknya dan kumpulannya. Mungkin dia cuba memberi amaran agar pimpinan harus ikut telunjuk orang-orang sepertinya selepas ini.

Jika pada tahun 2015 dahulu kita ‘mati-mati berperang’ mempertahankan wala’ pada pimpinan sehingga kita dilabel ‘walaun’ oleh para pembenci, maka sia-sialah jika pada masa ini kita pula yang bertindak sama seperti mereka dahulu. Jadi PAN 2.0. Nauzubillah!

Penulis adalah Ketua Editor Pusat dan Ketua Editor Negeri Melaka bagi Portal Berita PAS.

 

Para penyumbang yang budiman. Keseluruhan projek ini iaitu membina sebuah dewan terbuka beserta dua tingkat pejabat; sebuah bangunan tandas dan membaik pulih bangunan asal sedia ada semuanya bernilai RM900 ribu.

Buat masa ini sedang disiapkan ialah dewan terbuka beserta dua tingkat pejabat yang bernilai RM450 ribu daripada jumlah keseluruhan RM900 ribu.

Pada masa ini pihak kami sangat memerlukan sebanyak RM180 RIBU bagi meneruskan pembinaan dewan terbuka ini untuk MEMBELI STRUKTUR BESI SEBERAPA CEPAT YANG BOLEH untuk menyiapkan dewan terbuka ini. Kami memohon dan merayu sumbangan tuan-tuan dan puan-puan untuk tujuan ini.

Para dermawan yang sudi untuk menghulurkan sumbangan boleh menyumbang kepada akaun Bank Rakyat – PAS Kawasan Masjid Tanah di nombor akaun 1101 6481 22.

Sebarang informasi, para penderma boleh berhubung dengan Ustaz Imran sendiri di talian 019-680 6707 atau Pengerusi Jawatankuasa Pembinaan Kompleks, Jamarudin Ahmad di talian 012-697 2328 atau Bendahari Jawatankuasa Pembinaan, Ustaz Azmi Sambul di talian 013-378 4729.

JAWATANKUASA PEMBINAAN KOMPLEKS PAS KAWASAN MASJID TANAH