Home Berita PAS Melaka

Rencana : Angin Perubahan Akar Umbi Penyokong Melayu PH.

1246
SHARE

Oleh : Ibnu Janie

Baru-baru ini semasa cuti Tahun Baru Cina penulis memenuhi satu jemputan kenduri tahlil di kampung penulis. Di situ penulis bertemu dengan seorang rakan sekampung yang agak sudah lama juga tidak bertemu.

Rakan penulis itu seorang kakitangan awam dan penyokong tegar Pakatan Harapan (PH). Dari kecil dia menyokong UMNO-BN, namun semasa PRU14 beliau sama-sama dalam arus menentang Najib dan menyokong Bersatu-PH.

Tidak lama selepas PRU14 dulu penulis ada bertemu dengannya. Pada waktu itu rakan penulis itu cukup gembira dengan kekalahan Najib dan BN. Besar harapan beliau bahawa kerajaan baru PH akan menjadi kerajaan paling baik pernah wujud di Malaysia.

Namun dalam pertemuan penulis dengan rakan penulis pada majlis tahlil di Tahun Baru Cina tadi nadanya agak berlainan. Beliau menyatakan kebimbangan beliau terhadap ‘bangsa DAP’ yang sedang menguasai kerajaan. Beliau juga berpendapat yang kuasa orang-orang Melayu makin merosot sejak PH memerintah.

Penulis tidaklah mahu memulang paku buah keras kepada rakan penulis itu. Ingat lagi semasa PRU14 dulu dia juga yang berkata bahawa selama ini orang Melayu ditakut-takutkan kononnya DAP anti Melayu, hakikatnya itu tidak benar, kata beliau pada masa itulah.

Ingat lagi pada masa awal-awal kemenangan PH membentuk kerajaan persekutuan, pada waktu itu siapa yang sebut tentang semangat Melayu akan dituduh rasis! Bangga betul mereka jadi Melayu PH yang kononnya tidak akan lagi bercakap soal bangsa. Tiada lagi Melayu-Cina-India, yang ada hanyalah bangsa Malaysia. Kononnya inilah politik baru Malaysia!

Pada masa itu DAP disanjung tinggi. Perlantikan Lim Guan Eng sebagai Menteri Kewangan dan perlantikan Tommy Thomas sebagai peguam negara dipertahankan. Bila PAS dan UMNO mempertikaikan mengapa jawatan penting negara itu diberi kepada orang bukan Islam, kami pula digelar rasis!

Demi untuk menunjukkan pada bangsa DAP yang mereka tidak rasis sehinggakan kempen ‘Buy Muslim First’ (BMF) pun mereka tentang dan sekat. Pada hal perkara ini biasa di kalangan sesetengah orang Islam yang sekian lama memilih untuk menyokong produk muslim demi untuk pengukuhan ekonomi umat Islam. Itu pun mereka tentang, kononnya kempen ini rasis!

Mereka juga memperolok-olokkan seruan agar orang Melayu dan Islam bersatu. Mereka kata ini seruan rasis! Kata mereka polemik Melayu dan Islam terancam hanya naratif politik!

Akhirnya sekarang ini akar-akar umbi Melayu PH seperti rakan penulis itu tadi pula yang mahu menerangkan kepada penulis mengapa bangsa DAP kini menjadi ancaman kepada orang Melayu.

Eh, tidak perlu terangkan kepada kami orang-orang PAS tentang perangai sebenar bangsa DAP. Kami terlebih dahulu sudah berkawan dengan mereka. Kami dah terkena dulu! Sebab itu kami sudah pesan dulu jangan percaya pada DAP, tapi kamu tak percaya. Sekarang baru nak percaya? Haha!

Selain isu ancaman dari bangsa DAP, dalam perbualan yang sama, rakan penulis itu juga sangat tidak setuju jika Anwar menjadi pengganti Tun Mahathir. Kata beliau kalau Anwar jadi PM maka Anwar hanya akan jadi kuda tunggangan DAP. Keadaan orang Melayu akan lebih teruk jika Anwar yang jadi PM.

Selain puak-puak Melayu dari parti Bersatu yang sudah mula muak dengan bangsa DAP jangan lupa bekas-bekas rakan kita yang menyertai PAN kerana taksub dengan DAP. Ramai yang penulis lihat dari kalangan akar umbi PAN juga sudah mula menjauhkan diri dari PH apabila melihat realiti yang berlaku sekarang.

Semasa PRU14 dulu selain dari mereka yang mengisytiharkan diri keluar PAS dan menyertai PAN, ada juga kumpulan dalam PAS yang menggelarkan diri sebagai ‘ahli PAS tetapi mengundi PH’. Mungkin pada masa itu mereka terpengaruh dengan fitnah RM90 juta tetapi masih sayang pada PAS dan tidak mahu meninggalkan PAS.

Bilangan mereka yang menggelarkan diri mereka sebagai ‘ahli PAS tapi mengundi PH’ ini ramai. Jika ditambah dengan bekas ahli PAN yang menyesal dan bakal menyertai PAS semula ini adalah gelombang yang bakal memberikan impak kepada undi PAS dalam PRU15 nanti.

Sebenarnya apa yang berlaku di peringkat akar umbi ini menggambarkan masa depan PH sebagai kerajaan. Kemenangan Muafakat Nasional dengan majoriti besar di dalam kebanyakan PRK akhir-akhir ini membuktikan bahawa akar umbi memang benar-benar beralih arah dari menyokong PH.

Dalam PRK Kimanis Sabah lepas membuktikan teori ini. BN asalnya mempunyai 10 ahli parlimen dan 29 Adun, tetapi kini hanya tinggal satu ahli parlimen dan satu Adun, iaitu lebih 90 peratus wakil rakyat BN berpindah kepada Warisan-PH. Namun BN tetap menang, malah dengan majoriti yang lebih besar. Ini membuktikan yang pergi hanya pemimpin namun gelombang akar umbi yang mahu menjatuhkan PH adalah benar, materi dan signifikan.

Orang-orang Melayu berada dalam situasi yang cukup yakin bahawa kedudukan dan masa depan mereka terancam di bawah PH. Ia bukan sekadar persepsi tapi segala realiti yang berlaku di depan mata menjadi saksi. Segala usaha PH untuk menepis tanggapan ini dari kotak pemikiran orang-orang Melayu gagal segagal-gagalnya.

Baik dari kalangan bekas-bekas ahli PAS atau UMNO yang telah menyokong PH dan kini ingin meninggalkan PH harus menerima Muafakat Nasional sebagai wadah baru kita. Lupakan segala kisah lama dan segala kesilapan masa lampau.

Gelombang yang wujud di kalangan akar umbi Melayu PH yang mula sudah menyedari bahawa PH selama ini merugikan orang Melayu ini sebenarnya adalah menifestasi keretakan yang melanda PH memang tidak dapat diselamatkan lagi.

Tidak ada cara untuk memulihkan hubungan antara parti komponen PH ini. Yang ada hanyalah jalan akhir menuju pintu keluar.

Penulis adalah Ketua Unit Berita Penerangan PAS Melaka merangkap Ketua Penerangan PAS Kawasan Masjid Tanah

(Rencana ini telah disiarkan dalam Harakah cetak keluaran 10 Februari 2020)