Home Melaka

Rencana | Akhirnya jadi wartawan

169
SHARE

Oleh IBNU JANIE

MINAT untuk menulis dalam diri penulis bermula selepas penulis membaca cerpen bersiri ‘Aku Hidup Dalam Blues’ di dalam majalah Ujang yang popular sekitar tahun 90an. Kisah seorang anak muda lulusan luar negara yang sedang bergelut mencari pekerjaan dalam masa yang sama bercita-cita untuk menjadi penulis rencana.

Semasa penulis menjadi pensyarah di Kolej Profesional MARA Melaka beberapa tahun selepas menamatkan pengajian, penulis mula berjinak-jinak menghantar rencana ke akhbar-akhbar tempatan seperti Berita Harian, Harian Metro dan Utusan Malaysia.

Tugas penulis sebagai pensyarah pengurusan perniagaan dan keusahawanan ketika itu memberi penulis kelebihan untuk menulis berkaitan pendidikan, ekonomi dan perniagaan. Sementara pengalaman penulis sebagai pimpinan pelajar semasa di kampus membolehkan penulis menulis tentang kesiswaan, kepimpinan, selain isu-isu sosial.

Memang prinsip penulis bahawa penulis akan menulis perkara-perkara yang penulis mempunyai kepakaran dalam bidang itu. Penulis tidak mahu menulis perkara-perkara yang bukan dalam pengetahuan penulis sekadar untuk menunjukkan seolah-olah kita serba tahu. Ia tidak baik.

Idola penulis dalam bidang penulisan rencana ini tidak lain dan tidak bukan ialah Pak Subky Latif yang pernah berkhidmat dengan Harakah.


Almarhum Pak Subky Latif (Kredit foto : Google)

Penulisan rencana dan penulisan berita ini seperti tangan kanan dan tangan kiri. Kerana meminati bidang penulisan dan kewartawanan (walau pun pada masa itu penulis belum lagi menjadi wartawan) menjadikan penulis banyak mendalami dunia ini terutama melalui pembacaan.

Banyak sejarah-sejarah penting tentang dunia penulisan dan kewartawanan yang penulis baca yang akhirnya mengujakan penulis untuk terus berada di dalam dunia penulisan ini.

Dunia penulisan dan kewartawanan ini sebenarnya pernah menjadi medium penting dalam meningkatkan kesedaran orang ramai di negara ini untuk menuntut kemerdekaan suatu masa dahulu. Besarnya peranan penulis dan wartawan dalam garis masa pembentukan negara kita.


Almarhum Abdul Rahim Kajai (Kredit foto : Google)

Antara yang penulis paling gemar untuk baca ialah berkaitan dengan kisah-kisah wartawan-wartawan awal yang menjadi pengasas kepada akhbar-akhbar di Tanah Melayu dan Singapura seperti Abdul Rahim Kajai, Tan Sri A Samad Ismail, Ibrahim Yaakob dan Ishak Haji Muhammad (Pak Sako).

Kemudian kisah ‘Mogok Utusan’ pada tahun 1961 yang berakhir dengan penguasaan parti politik pemerintah di dalam syarikat-syarikat akhbar dengan tokoh-tokoh seperti Said Zahari antara yang menarik minat penulis untuk membacanya


Almarhum Said Zahari (Kredit foto : Google)
Almarhum Said Zahari (Kredit Foto : Google)
Mogok Utusan

Selepas kerap rencana penulis tersiar di akhbar-akhbar dan semakin mendalami dunia penulisan, penulis mula merasakan bahawa ini memang dunia yang penulis minati selain daripada menjadi pendidik.

Selepas berhenti daripada jawatan pensyarah pada tahun 2008 untuk menjadi usahawan, sehinggalah penulis menjalani pembedahan pintasan jantung dan berhenti berniaga pada tahun 2018 penulis tidak lagi aktif menulis rencana di akhbar. 10 tahun tidak menghasilkan apa-apa rencana.

Selepas Muktamar PAS di Pahang pada tahun 2019 penulis mula menulis rencana semula yang disiarkan di Harakah cetak.

Penulis benar-benar terlibat dalam penulisan kewartawanan pula ialah pada penghujung tahun 2019 selepas mengikuti kursus kewartawanan asas di bawah bimbingan ‘sifu’ Wan Nordin Wan Yaacob yang ketika itu Ketua Pengarang Kumpulan Harakah.

Kursus itu adalah untuk membentuk kumpulan ‘Wartawan Rakyat Melaka’ (WARM) yang merupakan wartawan sukarela bagi portal Berita PAS Negeri Melaka. Selepas itu penulis dilantik sebagai Ketua Editor WARM Melaka.

Dalam masa yang sama WARM turut membekalkan berita untuk Harakah. Selain itu penulis sendiri secara peribadi masih menyumbangkan rencana-rencana untuk Harakah di setiap keluaran.

Sekitar tahun 2020 pula penulis ditawarkan untuk menjadi penyunting di Harakah. Di situ bermula kerjaya penulis sebagai wartawan sepenuh masa selepas lebih setahun menjadi ketua editor negeri dan wartawan secara sukarela tanpa bayaran.

Dengan menjadi wartawan, penulis seolah-olah melengkapkan tangan kiri dan tangan kanan dunia penulisan bagi diri penulis. Namun penulisan berita ini sebenarnya jauh lebih susah daripada penulisan rencana kerana bentuknya yang ‘rigid’ dan perlu mematuhi kaedah-kaedah tertentu.

Jika wartawan veteran Khaidir Ahmad menggelarkan dirinya sebagai ‘wartawan tua’, mungkin penulis pula boleh dikatakan ‘dah tua baru nak jadi wartawan’. Namun penulis sangat gembira dengan kerjaya penulis sekarang ini. Selamat Hari Wartawan buat semua rakan-rakan wartawan.

Penulis adalah Penyunting Harakah, Ketua Editor Pusat bagi Portal Berita PAS dan Ketua Unit Berita Jabatan Penerangan PAS Melaka

Rencana ini disiarkan di ruangan Komen Editor, Harakah cetak 3 Jun 2022 sempena Sambutan Hari Wartawan