Home Melaka

Rencana | Dilema ‘food security’ dan pertanian yang terkesamping

313
SHARE

Oleh IBNU JANIE

ADA masanya kita melihat bagaimana sesebuah negara itu yang boleh mengeluarkan sesuatu produk tetapi mereka tidak mengeluarkannya, sebaliknya mengimport dari negara lain. Mengapa jadi begitu?

Ia sebenarnya adalah kerana ‘kelebihan mutlak’ (absalute advantage), iaitu kemampuan sesebuah negara itu untuk mengeluarkan sesuatu produk jauh lebih murah atau lebih cekap berbanding negara yang lain.

Sebagai contoh, katalah negara A dan negara B, kedua-duanya mampu mengeluarkan televisyen dan almari. Katalah negara A mengeluarkan televisyen dengan kos sebanyak RM1000 sebuah, tetapi negara B mengeluarkan televisyen yang sama dengan kos sebanyak RM1500 sebuah.

Negara A mengeluarkan almari dengan kos sebanyak RM500 sebuah, tetapi negara B mengeluarkannya dengan kos sebanyak RM300 sebuah. Jadi secara kasarnya Negara A lebih cekap mengeluarkan televisyen sementara Negara B lebih cekap mengeluarkan almari. Cekap di sini bermaksud dengan kos yang lebih rendah.

Jadi, mengikut prinsip ‘kelebihan mutlak’, lebih baik negara A menumpukan kepada pengeluaran televisyen dan membeli almari dari Negara B kerana lebih murah berbanding mengeluarkan sendiri. Negara B pula akan menumpukan kepada pengeluaran almari dan membeli televisyen dari Negara A yang harganya lebih murah berbanding mengeluarkan sendiri.

Sebenarnya inilah yang menyebabkan mengapa negara kita terpaksa mengimport sesetengah barang makanan daripada negara lain. Sebagai contoh kita boleh lihat bagaimana harga daging lembu sejuk beku yang diimport jauh lebih murah berbanding dengan harga daging lembu segar yang dijual di negara kita.

Namun, seperti yang sedang kita hadapi kini, pergantungan bekalan makanan kepada negara asing telah menyebabkan kita menerima kesan apabila berlaku krisis makanan di negara pembekal.

Selain itu perubahan ‘minat’ negara kepada sektor pertanian juga menyumbang kepada masalah ‘food security‘. Pada era 80an dan 90an dahulu, Malaysia dalam proses transformasi daripada negara pertanian kepada negara industri.

Dalam masa itu sedikit demi sedikit sektor pertanian ‘dilupakan’. Sekali pun permodenan turut berlaku dalam bidang pertanian namun sektor pertanian itu sendiri dilihat semakin terkesamping secara tidak rasmi.


Sawit – foto hiasan (Kredit foto : Google)

Memang tidak dapat dinafikan bahawa sektor pertanian ini adalah sektor yang mempunyai banyak kekangan. Lihat apa yang berlaku pada industri sawit. Walau pun kenaikan harga sawit berterusan telah menggembirakan para petani dan peladang sawit namun ia menjadi bencana pula pada pengguna secara umum.

Kenaikan harga buah sawit sudah pasti akan meningkatkan harga minyak sawit mentah dan seterusnya harga minyak masak sawit itu sendiri. Ia mewujudkan dilema besar pada industri ini.

Begitu juga dengan pesawah padi. Kita tentu tidak dapat mewujudkan satu keadaan di mana harga padi meningkat setiap tahun yang dapat menggembirakan para pesawah, tetapi dalam masa yang sama harga runcit beras sebagai makanan ruji rakyat Malaysia kekal rendah.


Sawah padi – foto hiasan (Kredit foto: Google)

Ia mewujudkan satu paradoks atau suasana yang serba tidak kena. Jadi untuk menggembirakan petani dan pengguna maka perlunya elemen subsidi dalam industri pertanian ini. Keperluan kepada subsidi menunjukkan sektor ini tidak mampu menanggung kos berbanding harga jualan.

Ini menjadikan sektor ini kurang menarik kepada pemodal-pemodal yang mahu menjalankan perniagaan yang mereka ada kebebasan dalam soal penentuan harga pasaran untuk mendapat keuntungan yang optimum.

Pada pendapat penulis, industri pertanian ini, walau pun berdepan dengan kekangan kos akibat kesan kelebihan mutlak, skala ekonomi dan harga pasaran yang dikawal, namun jika dilakukan kajian dan penyelidikan secara intensif kita mungkin dapat mengatasi kekangan-kekangan yang berlaku.

Kajian perlu dibuat untuk menghasilkan komoditi-komoditi ini pada harga yang lebih murah melalui kajian tentang baja, benih, hasil keluaran dan kaedah automasi yang dapat mengurangkan kos dan meningkatkan hasil.


MARDI yang bertanggungjawab dalam penyelidikan pertanian (Kredit foto : Google)

Dengan itu kita dapat menyemarakkan lagi industri pertanian. Apabila kita dapat menghasilkan makanan yang mencukupi maka kita dapat meningkatkan lagi tahap ‘food security‘ kita. Pada masa itu kita tidak akan lagi bergantung kepada import malah kita mungkin mampu mengeksport pula.

Usaha perlu dilakukan untuk meningkatkan kecekapan industri ini agar tidak bergantung pada subsidi. Jika tidak ia akan menjadi sesuatu yang membahayakan ekonomi secara makro dalam jangka panjang.

Penulis adalah Penyunting Harakah, Ketua Editor Pusat bagi Portal Berita PAS dan Ketua Unit Berita Jabatan Penerangan PAS Melaka

Rencana ini disiarkan di Harakah cetak 6 Jun 2022