Home Berita PAS Johor

Pintu penyatuan sentiasa terbuka

177
SHARE

Oleh : M RAZIF JAMAL

JOHOR BAHRU, 5 Jun : PAS terus komited untuk memastikan agenda penyatuan ummah terlaksana melalui kerjasama semua pihak di negara ini.

“Tiada alasan untuk tidak bersatu, kita sentiasa membuka pintu untuk rakan politik daripada mana pun, asalkan faham dan boleh terima prinsip PAS.”

Demikian menurut ucapan Naib Presiden PAS, YB Senator Datuk Ustaz Idris Ahmad yang disampaikan dalam satu program Liqa Fikri di Pejabat PAS Negeri Johor, di sini, semalam.

“Alhamdulillah, masyarakat sudah mula memahami asas penyatuan yang kita gagaskan ini, walau pelbagai kecaman dan naratif terpaksa kita hadapi.

“Sudah terbukti melalui Pilihan Raya Kecil (PRK) dan Pilihan Raya Negeri (PRN) sebelum ini, tiada kemenangan jika tidak bersatu.

“Kita akan menyaksikan perpecahan jika berlaku lagi tiga penjuru pada PRU akan datang, kita perlu memikirkan masa depan agama,” tambah beliau lagi.

Beliau memberi respon berkenaan ketika menjawab persoalan daripada peserta program berkenaan di hadapan kira-kira enam puluh orang pimpinan utama PAS kawasan dan negeri Johor yang turut hadir.

Dalam masa yang sama, Ustaz Idris turut menekankan setiap ahli dan pimpinan PAS di semua peringkat untuk sentiasa menghadirkan diri dalam usrah yang dijadualkan.

“Bagaimana boleh faham akan prinsip perjuangan kita kalau usrah sebagai asas tarbiah pun tak nak datang?

“Masa inilah fikrah dan aqidah perjuangan kita diterap, info ‘firsthand‘ kita dengar terus dari pimpinan, baru kita faham isu dan menjawab persoalan yang ada.

“Jangan kita ambil kutip maklumat jalanan, pastikan info yang disampaikan tepat dan berkesan kepada ahli, ” tegas beliau.

Beliau turut menyampaikan pengisian berkenaan kepentingan usrah dan menghuraikannya kepada hadirin yang hadir.

Turut hadir, Pesuruhjaya PAS Johor, Ustaz Abdullah Husin ; AJK PAS Pusat, Dr. Mazri Yahya ; Timb. Pesuruhjaya PAS Johor, Dr. Karim Deraman ; Ketua Dewan Muslimat PAS Johor, Zakiah Turin, serta AJK pimpinan utama negeri dan kawasan.