Terang Rembulan (99)
Rebut Ganjaran Jaga PAS
PAS adalah sebuah jamaah Islam. Ia didaftarkan sebagai sebuah parti politik dalam negara. Justeru ia sah dari sudut agama dan undang-undang negara. Ia bebas berperanan memajukan agama Islam dalam negara.
Ia sah dari sudut agama kerana nas-nas agama amat jelas di dalam menyuruh umat Islam hidup berjamaah. Oleh kerana jamaah Islam yang utama iaitu pemegang kerajaan khilafah Islamiyah telah tiada akibat keruntuhannya sejak 100 tahun lampau, maka wujudnya satu jamaah Islam yang menyeru dan bekerja bagi menggantikan kerajaan khilafah Islamiyah yang runtuh tersebut adalah satu keperluan agama.
Tetapi adalah hampir mustahil untuk menyatukan umat di atas satu jamaah. Umat Islam tidak bersatu di dalam menentukan siapakah ketua mereka dan bagaimanakah jalan yang harus dilalui ke arah mencapai matlamat agama yang agung itu.
Maka kehadiran jamaah-jamaah Islam haruslah diterima oleh semua asalkan ia membawa misi yang benar dan syar’ie. Para ulamak yang muktabar menerimanya sebagai satu hakikat ujian ke atas umat pada zaman kemunduran ini. Jamaah mana yang menyeleweng daripada panduan agama akan ditentukan pula oleh kesepakatan para ulamak di dalam menentukan benar atau salahnya jamaah tersebut.
Justeru terdapat dua kumpulan jamaah. Pertama, jamaah-jamaah yang berjalan di atas jalan yang benar. Kedua pula adalah jamaah-jamaah yang menyeleweng daripada panduan agama. Adalah wajib bersama jamaah mana yang benar dan haram menyertai jamaah mana yang menyeleweng.
Kewajiban berjamaah adalah kerana kewajiban kesatuan umat. Allah menyuruh para hamba-Nya bersatu padu di jalan ibadah kepada-Nya. Tanpa kesatuan, ibadah akan terencat dan gagal. Ibadah adalah melaksanakan arahan agung Allah agar ditegakkan agama di atas muka bumi. Firman-Nya, “Hendaklah kamu menegakkan agama dan jangan sesekali kamu berpecah belah padanya (agama itu).” – al Quran.
Bagaimana mampu ditegakkan agama jika umat tidak bersatu? Bagaimana mampu bersatu jika tiada ketaatan kepada satu arahan atau ketua? Bagaimana wujud ketua tanpa binaan jamaah? Justeru amatlah nyata kewajiban berjamaah demi menegakkan agama. Muslim tanpa jamaah adalah hidup hanyut tanpa kejayaan membina ibadah yang benar kepada-Nya.
Justeru PAS menepati panduan nas-nas agama tersebut. Ia ditubuhkan oleh para ulamak yang mengepalai umat Islam dalam negara untuk mencapai cita-cita dan matlamat agama. Ia telah berjaya menyatukan ramai umat Islam agar berjalan dan berjuang mengejar cita-cita yang sama.
PAS juga turut bekerjasama dengan jamaah-jamaah Islam yang lain yang mempunyai matlamat yang sama, cuma berbeza di dalam memilih ketua dan cara di dalam menuju matlamat. Itu perselisihan yang perlu diraikan dan dihormati demi umat Islam yang lebih bersatu dan saling berkerja sama (at ta’awun alal birri wat taqwa).
PAS menolak kerjasama dengan jamaah-jamaah yang menyeleweng atau menentang agama Islam. Ia adalah kerjasama yang pastinya ditolak oleh agama (La ta’awuna alal ithmi wal udwan). Dalam menerima dan menolak sesuatu kerjasama, PAS pastinya akan berpandukan hukum-hukum dalam siyasah syar’ieyah.
Itulah keabsahan PAS dari sudut nas dan hukum agama. Legitimasinya adalah jelas di sisi agama.
Adapun dari sudut undang-undang negara, PAS adalah sebuah pertubuhan politik yang berdaftar dan sah. Ia menerima dan terikat dengan peraturan-peraturan yang dibuat oleh negara. Ia tidaklah sukar kerana sememangnya agama Islam adalah sebuah agama yang mudah. Sebagaimana negara mahukan pertubuhan-pertubuhan yang wujud di dalamnya bekerja untuk saling membangunkan negara ke arah lebih baik dan makmur, begitulah juga agama Islam. Ia mewajibkan jamaah dan umatnya agar turut membangunkan negara dengan sebaik-baik isi, cara dan perancangan.
Oleh kerana agama negara yang menjadi tunjang pembinaannya adalah Islam, maka kesungguhan PAS untuk menegakkan pemerintahan yang berlandaskan panduan dan nilai-nilai agama Islam adalah menjadi amat penting dan didambakan oleh negara. Negara mestilah, jika mahukan kejayaan yang hakiki, hidup bersatu padu di bawah lembayung pemerintahan Islam yang sejahtera dan syumul.
Antara ciri negara kita adalah demokrasi beraja dan raja berpelembagaan. Demokrasi yang diselaraskan dengan kehendak agama adalah sah. Kuasa rakyat tidak boleh mengatasi kuasa Allah tuhan sekelian alam. Justeru PAS menyeru kepada sistem demokrasi Islami yang lebih baik daripada sistem demokrasi cedokan dari barat yang syirik dan mengagungkan ketuanan manusia di atas Allah dan agamanya.
Begitu juga PAS menerima kewujudan sistem beraja dalam sistem pemerintahan negara. Malah PAS melihatnya sebagai satu imbangan kuasa yang baik bagi menyelamatkan negara daripada kemungkinan kezaliman dan keterlampauan parti-parti politik yang gagal disekat oleh rakyat. PAS juga menyeru kepada sistem kesultanan yang tunduk dan mengikat diri dengan ikatan agama yang kental.
Oleh kerana wujud tarik tali di antara parti-parti politik di dalam menafsirkan perlembagaan negara mengikut acuan dan kehendak masing-masing, maka PAS begitu konsisten menyeru dan berjuang agar perlembagaan negara mestilah difahami mengikut kefahaman agama Islam yang syumul, sesuai dengan kedudukannya sebagai agama persekutuan Malaysia. Ia adalah jalan paling selamat dan terbaik.
Dengan kukuhnya PAS dari sudut pandang agama dan undang-undang negara, PAS telah bergerak begitu gagah dan maju bersama denyut nadi kehidupan rakyat. Ia sinonim dengan Islam. Sebut PAS, nampaklah Islam. Sebut perjuangan Islam, nampaklah PAS. Malah tidak dapat lagi dinafikan bahawa perkembangan Islam dalam negara banyak dibantu oleh kesungguhan PAS memperjuangkannya.
PAS kini keahliannya mencecah sejuta orang dari seluruh negara. Manakala rakyat yang menyokong, mengundi serta menerima politik PAS di dalam negara adalah dianggar sehingga 20 peratus. Ia adalah isyarat yang nyata bahawa PAS telah berjaya menyatukan sokongan rakyat yang agak ramai ke arah mencapai matlamat besar menegakkan agama Islam dalam negara. Ia juga menggambarkan kekuatan PAS yang tidak mungkin boleh dipandang ringan lagi.
Kekuatan PAS hakikatnya bermula daripada dasar Islamnya yang nyata. PAS adalah tunduk kepada sebuah perjuangan yang paling benar di atas muka bumi. Ia adalah perjuangan menegakkan agama Allah. Ia adalah perjuangan yang diwarisi daripada para nabi yang diutuskan oleh Allah di muka bumi. Selama mana PAS berpaksi dan berpandukan Islam, selama itulah PAS akan kekal gagah dan berjaya.
Kemudian, adalah nyata bahawa PAS terpaksa melalui jalan penuh ranjau dan tribulasi di sepanjang perjuangannya. PAS diuji dengan kesusahan dan kesempitan akibat terjahan jahat para penentang agama Allah. PAS juga diuji dengan fitnah sesama umat Islam yang munafik dan dengki. Malah PAS juga diuji dengan ujian dalaman akibat fitnah, hilang sabar, gelojoh dan hilang pertimbangan sesama ahli dan penyokongnya sendiri.
Tetapi PAS keluar daripada setiap ujian dengan jayanya. Berbekalkan kalimat keramat ‘ISTIQAMAH’ yang disemat dan tersemat di jiwa setiap pejuangnya, PAS semakin gagah untuk diruntuhkan oleh perjuangan sia-sia penentangnya.
Istiqamah adalah kalimat yang mencapai maksud iman, ikhlas, amal, taat, setia, iltizam dan jihad. Begitulah ahli dan penyokong PAS bertahan menghadapi amukan serangan musuh semenjak lama. Semakin ia diasak, semakin PAS maju menghadiahkan untuk rakyat dengan kebaikan, kebajikan dan kesejahteraan.
Tiada kerugian lagi, malah keuntungan yang berganda-ganda bagi mereka yang membantu dan menyokong PAS dan perjuangannya. PAS menyeru agar rakyat Malaysia terus mengukuhkan PAS dengan sokongan dan dukungan tidak berbelah bagi. Dengan sokongan yang ramai dan kuat, PAS mampu memberi yang lebih baik untuk negara insya Allah.
Mari bersama mengaut pahala demi pahala daripada Allah dengan mengukuhkan perjuangan menegakkan agama-Nya. PAS adalah untuk semua umat yang mengimpikan Islam tertegak dengan benar dan menyeluruh di bumi Malaysia. Semoga Allah menunjuki kita semua ke jalan yang benar.