BUKIT BERANGAN – Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) perlu supaya stigma-stigma negatif dilemparkan terhadap mangsa dan keluarga dapat diperbetulkan.
Yang Dipertua Pas Jeli, Mohd Apandi Mohamed berkata, walaupun peristiwa itu berlaku lebih 30 tahun lalu, namun RCI perlu disegerakan demi memberi keadilan kepada keluarga mangsa terlibat.
“Siasatan melalui RCI ini lebih tepat dan terperinci, saya bersama Presiden (Datuk Seri Abdul Hadi Awang) menyokong penubuhan suruhanjaya ini kerana peristiwa itu menjadi sejarah hitam tanah air.
“Walaupun pendedahan sudah dibuat oleh kerajaan tapi kita lihat masih ada yang cuba diselindungkan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Cakna Rakyat Dun Kuala Balah, di sini.
Mengulas lanjut, Mohd Apandi berkata, pendedahan dibuat bekas pemimpin ketika itu cukup memeranjatkan dan membuka episod baharu mengenai sejarah hitam berkenaan.
Peristiwa Memali pada 19 November 1985 mengorbankan 14 nyawa dan puluhan lain cedera serta ratusan ditahan.
Dalam serangan polis terhadap orang kampung ketika itu, Ibrahim Mahmud atau lebih dikenali sebagai Ibrahim Libya, terbunuh.- SINAR HARIAN