Home Kenyataan Media PAS Perlis

Ramadan bulan pertahan akidah Umat Islam

140
SHARE

KENYATAAN MEDIA PAS PERLIS
RAMADAN BULAN PERTAHAN AKIDAH UMAT ISLAM

Firman Allah:

شَهْرُ رَمَضَانَ الَّذِي أُنزِلَ فِيهِ الْقُرْآنُ هُدًى لِّلنَّاسِ وَبَيِّنَاتٍ مِّنَ الْهُدَىٰ وَالْفُرْقَانِ فَمَن شَهِدَ مِنكُمُ الشَّهْرَ فَلْيَصُمْهُ وَمَن كَانَ مَرِيضًا أَوْ عَلَىٰ سَفَرٍ فَعِدَّةٌ مِّنْ أَيَّامٍ أُخَرَ يُرِيدُ اللَّهُ بِكُمُ الْيُسْرَ وَلَا يُرِيدُ بِكُمُ الْعُسْرَ وَلِتُكْمِلُوا الْعِدَّةَ وَلِتُكَبِّرُوا اللَّهَ عَلَىٰ مَا هَدَاكُمْ وَلَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ (185)

“(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran, (kitab suci) yang menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk itu dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah. Oleh itu, sesiapa dari kalangan kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadan (atau mengetahuinya), maka hendaklah ia berpuasa (di bulan ini); dan sesiapa yang sakit (keuzuran) atau dalam musafir (masyaqqah), maka (bolehlah ia berbuka, kemudian wajiblah ia berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain. (Sebenarnya) Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan Dia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran. Dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjukNya, dan supaya kamu bersyukur”. (Surah Al-Baqarah: 185)

Alhamdulillah, umat Islam di seluruh dunia menyambut kedatangan Ramadan dengan penuh kegembiraan. Ramadan al-Mubarak bukan sekadar menjadi bulan ibadah umat Islam, bahkan merupakan bulan keampunan Allah buat umat-Nya.

Ramadan juga bulan berlakunya Perang Badar yang menjadi simbol jihad dan pengorbanan umat Islam dalam mempertahankan kesucian agama.

Justeru, Ramadan pada hakikatnya merupakan bulan umat Islam memperteguh iman serta akidah mereka kepada Allah SWT. Umat Islam bukan sekadar berpuasa seperti yang diperintahkan, malah melipatgandakan amal-amal soleh di samping menghindarkan diri daripada sebarang perbuatan yang dimurkai Allah.

Maka, bersempena dengan bulan yang penuh kemuliaan ini, saya ingin mengajak umat Islam untuk sama-sama bersoladiriti mempertahan akidah anak-anak mualaf Loh Siew Hong yang cuba diganggu-gugat oleh pihak-pihak tertentu. Kebimbangan yang PAS suarakan selama ini menjadi nyata apabila sudah ada desakan agar kesemua kanak-kanak itu dimurtadkan setelah mereka berjaya ‘dikembalikan’ ke pangkuan ibunya.

Saya juga ingin menyeru kepada seluruh rakyat di negara ini agar menghormati kedudukan Islam sebagai agama persekutuan yang dijamin dalam perlembagaan negara serta mengelakkan daripada sebarang tindakan yang boleh merosakkan perpaduan antara agama dan kaum di negara ini. Keharmonian negara adalah tanggungjawab kita bersama demi kestabilan dan kemakmuran negara.

Pada kesempatan ini juga, saya menyeru seluruh umat Islam agar membentuk jati diri Muslim yang unggul serta beristiqamah dalam akidah Islam. Selamat menyambut Ramadan al Mubarak 1443H.
Sekian

ISLAM MENYATUKAN UMMAH

MOHD. SHUKRI RAMLI
Pesuruhjaya PAS Perlis
6 April 2022 | 5 Ramadan 1443H