Home Berita PAS Kedah

300 Khidmat Sukarela Daerah Sik terima sumbangan

132
SHARE

SIK – Menteri Besar Kedah, YAB Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor hadir bagi Majlis Berbuka Puasa dan Penyampaian Sumbangan kepada guru Al-Quran sukarela, bidan kampung, juru mandi jenazah, bomoh patah dan penggali kubur peringkat daerah Sik, di Masjid Al Irfan, Gajah Puteh di sini.

Seramai 300 orang tenaga penting dalam masyarakat diraikan petang tadi yang dipelopori sejak 2009 diteruskan sehingga kini.

Menurut Muhammad Sanusi, mereka yang diraikan adalah watak-watak yang sangat penting dalam kehidupan sejak sekian lama.

“Seawal kelahiran, kita disambut ke muka dunia oleh bidan. Walaupun sekarang sudah ada bidan kerajaan beruniform putih, namun ada perbezaan antara seorang bidan profesional dengan bidan kampung yang berkhidmat secara sukarela dalam masyarakat kita.

“Apabila mencapai tahap usia tertentu, setiap orang kena masuk jawi. Di sini, peranan mudim dalam masyarakat tradisional adalah sangat penting.

“Kita belajar mengenal al-Quran yang kemudian menentukan tahap bagaimana kita beragama dalam meniti kehidupan dunia sebagai jambatan ke akhirat,” katanya.

Tambah beliau, khidmat yang mereka lakukan adalah secara sukarela dan bukannya mengejar wang ringgit semata-mata.

“Kita kagum dengan kesanggupan mereka untuk membantu masyarakat tanpa mengira waktu. Mereka sanggup datang pada bila-bila masa dipanggil.

“Walaupun usaha yang mereka lakukan bukanlah pekerjaan yang bergaji namun di sisi Allah, mereka adalah sangat mulia dan di sisi masyarakat, jasa serta pengorbanan mereka adalah sangat bermakna,” ujar Sanusi.