Home Catatan Ramadhan

Ramadan: Bulan Kemenangan Umat Islam

1819
SHARE

Ramadan: Bulan Kemenangan Umat Islam 

RAMADAN mencatatkan kisah kejayaan para pejuang Islam yang sujud menyucikan diri kepada Allah S.W.T sehingga mengalirnya kekuatan peribadi yang mampu menerobos tembok kekufuran. Walaupun para pejuang Islam tersebut telah mati dimamah bumi, akan tetapi ruh perjuangannya masih diwarisi generasi kemenangan hari ini:

مِّنَ ٱلْمُؤْمِنِينَ رِجَالٌ صَدَقُوا۟ مَا عَٰهَدُوا۟ ٱللَّهَ عَلَيْهِ ۖ فَمِنْهُم مَّن قَضَىٰ نَحْبَهُۥ وَمِنْهُم مَّن يَنتَظِرُ ۖ وَمَا بَدَّلُوا۟ تَبْدِيلًا

“Di antara orang-orang Mukmin itu ada orang-orang yang menepati apa yang telah mereka janjikan kepada Allah; maka di antara mereka ada yang gugur. Dan di antara mereka ada (pula) yang menunggu-nunggu dan mereka tidak merubah (janjinya).”

[al-Ahzab: 23 ]

Nabi S.A.W pernah menceritakan perihal kelompok yang benar ini melalui Hadis Baginda:

“لَا تَزَالُ طَائِفَةٌ مِنْ أُمَّتِي ظَاهِرِينَ عَلَى الْحَقِّ، لَعَدُوِّهِمْ قَاهِرِينَ, لَا يَضُرُّهُمْ مَنْ خَذلَهُمْ، حَتَّى يَأْتِيَهُمْ أَمْرُ اللَّهِ وَهُمْ كَذَلِكَ”…..

“Akan sentiasa wujud daripada umatku, sekumpulan yang terus menegakkan kebenaran dan tegas mendepani musuh. Tidak memudaratkan perjuangan mereka walaupun dipinggir dan dirintangi kesusahan, sehinggalah datang ketentuan Allah, mereka akan tetap sedemikian.”

[Hadis Riwayat Imam Muslim, Imam Tirmizi dan Imam Ahmad]

Antara catatan emas kejayaan para pejuang Islam dalam siri peperangan pada bulan Ramadan ialah:

◼️ Badar al-Kubra: Kemenangan pertama Islam

Peperangan Badar berlaku pada 17 Ramadan tahun ke-2 Hijrah. Pertembungan ini pada mulanya hanya bertujuan menghalang rombongan Quraisy yang bergerak dari Syam ke Makkah. Ianya bertitik tolak daripada kabilah pimpinan Abu Sufyan yang telah memonopoli harta kaum Muslimin di Madinah.

Pemintasan kaum Muslimin terhadap kumpulan Quraisy Abu Sufyan ini akhirnya mencetuskan pertempuran dek kerana kabilah ini memohon bantuan ketenteraan yang besar serta lengkap bersenjata dari Makkah untuk mendepani kaum Muslimin. Pada hemat Rasulullah S.A.W, jika berundur, kaum Muslimin akan memberikan laluan mudah kepada Quraisy untuk menguasai pemikiran serta geopolitik rantau Arab. Ia juga memungkinkan berlakunya perluasan ketenteraan dan ekonomi yang kukuh oleh kafir Quraisy di Semenanjung Arab.

Maka, tidak dapat tidak, tentera Islam yang didukung seramai 313 orang perlu mengekang kemaraan kaum Musyrikin yang berjumlah 1,000 orang ramainya.

Berkat kesabaran yang tinggi juga keyakinan akan jalan perjuangan, kaum Muslimin berjaya menumpaskan tentangan Quraisy di medan Badar. Ini membuktikan kuantiti tidak membawa apa-apa erti jika tidak disulami dengan kualiti fizikal dan spiritual.

Ia sebagaimana yang diungkapkan oleh tentera Talut di dalam al-Quran;

قَالَ الَّذِينَ يَظُنُّونَ أَنَّهُمْ مُلَاقُو اللَّهِ كَمْ مِنْ فِئَةٍ قَلِيلَةٍ غَلَبَتْ فِئَةً كَثِيرَةً بِإِذْنِ اللَّهِ ۗ وَاللَّهُ مَعَ الصَّابِرِينَ

“Berkata pula orang-orang yang yakin bahawa mereka akan menemui Allah: “Berapa banyak (yang pernah terjadi), golongan yang sedikit berjaya menewaskan golongan yang banyak dengan izin Allah; dan Allah (sentiasa) bersama-sama orang-orang yang sabar”.”

[al-Baqarah: 249]

Di dalam ayat lain, Allah menjanjikan kemenangan buat pejuang Islam yang sabar;

يَا أَيُّهَا النَّبِيُّ حَرِّضِ الْمُؤْمِنِينَ عَلَى الْقِتَالِ ۚ إِنْ يَكُنْ مِنْكُمْ عِشْرُونَ صَابِرُونَ يَغْلِبُوا مِائَتَيْنِ ۚ

وَإِنْ يَكُنْ مِنْكُمْ مِائَةٌ يَغْلِبُوا أَلْفًا مِنَ الَّذِينَ كَفَرُوا بِأَنَّهُمْ قَوْمٌ لَا يَفْقَهُونَ

“Wahai Nabi, perangsangkanlah orang-orang yang beriman itu untuk berperang. Jika ada di antara kamu dua puluh yang sabar, nescaya mereka dapat menewaskan dua ratus orang (dari pihak musuh yang kafir itu); dan jika ada di antara kamu seratus orang, nescaya mereka dapat menewaskan seribu orang dari golongan yang kafir, disebabkan mereka (yang kafir itu) orang-orang yang tidak mengerti.”

[al-Anfal: 65]

Kejayaan ini menguatkan lagi hegemoni dan pengaruh Islam di Madinah serta menambahkan keyakinan bahawa Islam adalah agama yang benar. Kaum Muslimin mula disegani dan ditakuti oleh kabilah-kabilah Arab, Yahudi dan puak munafik Madinah.

◼️ Pembukaan Kota Makkah: Islam mula mendominasi Jazirah Arab

Pembukaan Kota Makkah atau dikenali sebagai ‘Fathu Makkah’ merupakan mercu tanda kejayaan Islam. Ianya tercetus atas faktor kafir Quraisy dan sekutunya, Bani Bakar yang telah mengkhianati Perjanjian Hudaibiah. Pengkhianatan yang didorong oleh permusuhan zaman lampau di antara Bani Bakar dan Bani Khuza’ah.

Peristiwa yang berlaku pada bulan Ramadan tahun ke-8 Hijrah itu menyaksikan 10,000 pendukung Islam pimpinan Rasulullah S.A.W yang terdiri daripada penduduk Madinah bergerak menuju ke Makkah bagi tujuan pembebasan ‘Makkah al-Mukaramah’.

Rasulullah S.A.W mengarahkan umat Islam bertindak balas dengan bergerak menuju ke Madinah untuk membuka semula Makkah seterusnya menyatukan penduduk di dua tanah suci ini. Kelemahan pertahanan mengakibatkan penguasa Makkah ketika itu menyerah diri dan berdamai tanpa sebarang pertembungan.

Lantas, Rasulullah S.A.W membacakan firman Allah S.W.T:

وَقُلْ جَاءَ الْحَقُّ وَزَهَقَ الْبَاطِلُ ۚ إِنَّ الْبَاطِلَ كَانَ زَهُوقًا

“Dan katakanlah:” Telah datang kebenaran (Islam), dan hilang lenyaplah perkara yang salah (kufur dan syirik); sesungguhnya yang salah itu sememangnya satu perkara yang tetap lenyap.”

[al-Isra’: 81]

Memetik sabdaan Baginda S.A.W:

“Wahai orang-orang Quraisy, sesungguhnya Allah telah menghilangkan kesombongan jahiliah dan pengagungan terhadap nenek moyang. Manusia itu daripada Adam dan Adam dari tanah.”

“Wahai orang Quraisy, apa yang kalian bayangkan mengenai tindakan yang akan aku lakukan terhadap kalian?”

“Mereka pun menjawab, “Saudara yang mulia, anak dari saudara yang mulia.” . “Nabi S.A.W bersabda, “Aku sampaikan kepada kalian sebagaimana perkataan Yusuf kepada saudaranya:”

“Pada hari ini tidak ada cercaan atas kalian. Allah mengampuni kalian. Dia Maha penyayang.” Pergilah kalian! Sesungguhnya kalian telah bebas!”.

Demikianlah fenomena terindah umat Islam ketika mana dapat kembali semula ke kampung halaman, ‘Makkah al-Mukaramah’ seterusnya mendengar laungan azan yang dikumandangkan oleh Saidina Bilal bin Rabah R.A. Peristiwa ini berjaya menyatupadukan umat Islam dengan jaringan politik di antara Makkah dan Madinah serta memperkukuhkan pengaruh Islam di seluruh rantau Arab.

Kejayaan Islam dalam pembebasan Kota Makkah merupakan ‘signal’ penting yang perlu kita amati hikmah dan pengajarannya. Bermula dengan termeterainya Perjanjian Hudaibiah yang menguji kepercayaan serta ketaatan para Sahabat R.A terhadap Nabi S.A.W. Dalam keadaan seolah-olah berat dan lemah bagi umat Islam, namun ada misi besar Islam yang ingin dicapai oleh Baginda S.A.W.

Ironinya, Allah titipkan ‘Fathu Makkah’ sebagai ganjaran kepada umat Islam yang berdisiplin dalam berjamaah. Dengan pendekatan ‘Muwajahah Silmiyah’ (perdamaian) gagasan Baginda S.A.W, Islam diterima di bentala Makkah seterusnya mendominasi politik di Jazirah Arab.

Allah merakamkan perihal tersebut di dalam al-Quran melalui surah an-Nasr:

إِذَا جَاءَ نَصْرُ اللَّهِ وَالْفَتْحُ. وَرَأَيْتَ النَّاسَ يَدْخُلُونَ فِي دِينِ اللَّهِ أَفْوَاجًا. فَسَبِّحْ بِحَمْدِ رَبِّكَ وَاسْتَغْفِرْهُ ۚ إِنَّهُ كَانَ تَوَّابًا

“Apabila datang pertolongan Allah dan kemenangan (semasa engkau wahai Muhammad berjaya menguasai negeri Makkah). Dan engkau melihat manusia masuk dalam agama Allah beramai-ramai. Maka ucapkanlah tasbih dengan memuji Tuhanmu dan mintalah ampun kepada-Nya, sesungguhnya Dia amat menerima taubat.”

◾ Pembukaan Andalusia: Islam menjengah Benua Eropah

Pembukaan Andalusia merupakan salah satu peristiwa penaklukan Islam yang luar biasa. Dikenali sebagai ‘Fathu al-Andalus’, kumpulan Islam ketika itu diketuai Tariq bin Ziyad telah mendarat di Semenanjung Iberia bagi menyelesaikan kemelut kezaliman Raja Roderick, pemerintah Kerajaan Visigoth ketika itu.

Tariq bin Ziyad yang mendapat julukan ‘legenda’ oleh sejarawan Sepanyol serta digelar ‘Taric el Tuerto’ pada asalnya telah diutuskan oleh Saidina Musa an-Nusair, Gabenor Afrika Utara di bawah Kerajaan Bani Umaiyah. Musa an-Nusair telah menerima permintaan daripada Gabenor Visigoth, Count Julian untuk menggulingkan pemerintah kudeta Raja Roderick yang bersifat aristokrat Kristian dalam arena pemerintahannya.

Perlawanan di antara kumpulan Islam dan pendukung Raja Roderick ini dikenali sebagai ‘Perang Guadalete’ yang tercetus pada bulan Ramadan di awal abad ke-8 Masihi. Pertembungan yang meletus selama seminggu itu menyaksikan kemenangan 12 ribu tentera Islam menentang musuh yang bilangannya enam kali ganda lebih ramai daripada tentera Muslim.

Kejayaan dalam Perang Guadalete membuktikan kekuatan umat Islam dalam menyebarkan penguasaan ke atas Sepanyol serta Benua Eropah umumnya. Kejayaan ini didorong oleh keampuhan nilai Islam yang dipamerkan oleh tentera Muslimin kepada tawanan di dalam setiap ekspedisi pembebasan wilayah-wilayah di Eropah. Tambahan pula, keyakinan akan janji Allah telah meneguhkan pasakan kaki-kaki mereka serta menghilangkan rasa takut sehingga mereka mampu berdepan dengan musuh walau dalam keadaan berpuasa.

Para sejarawan Islam menyatakan kejayaan Islam di rantau Eropah khususnya di Sepanyol banyak digelapkan oleh orientalis-orientalis Barat yang membenci Islam.

◼️ Pertembungan Ain Jalut: Umat Islam bangkit dari kekalahan

Pertempuran Ain Jalut merupakan penentangan tentera Islam terhadap Tatar yang tercetus pada 25 Ramadan tahun 658 Hijrah. Ianya merupakan respon tindak balas terhadap kekalahan Islam yang memilukan sehingga runtuhnya Kerajaan Islam, Khilafah Abbasiah yang bertapak di Baghdad.

Tatar yang merupakan salah satu kelompok terkuat dalam bangsa Mongol ketika itu sedang rancak menyerbu wilayah-wilayah Asia Tengah dan Parsi. Tidak terkecuali, negara Mesir di bawah kekuasaan Kerajaan Mamalik turut berdepan dengan pengaruh Tatar yang menjarah wilayah-wilayah naungan Islam. Namun, misi invasi tentera Mongol ini berjaya dipatahkan oleh tentera Islam di dalam pertempuran Ain Jalut. Menjadikan tentera Islam buat pertama kalinya berjaya merobekkan barisan ketenteraan Tatar.

Tentera Islam ketika itu dikepalai oleh Panglima Saifuddin Qutuz yang didukung dengan teguh oleh Syeikh Izzuddin Abdussalam. Permuafakatan antara umarak dan ulamak ini menghasilkan keikhlasan serta keyakinan dalam memimpin perjuangan sehingga bergema laungan slogan gagasan Saifuddin Qutuz ‘Wa Islamah’, ‘Demi Islam’ yang membuktikan kemurnian perjuangannya menentang kebobrokan tentera Tatar ketika itu.

Keunggulan serta kesungguhan Qutuz ditonjolkan melalui lontaran kata-kata beliau kepada Raja-raja Islam yang takut akan kehilangan jawatan dan kedudukan mereka;

“Biarkan aku yang mengepalai misi melawan Tatar, selepas kita mengalahkan Tatar, aku serahkan urusan pemerintahan kepada kalian.”

◼️ Kompilasi kemenangan Islam di bulan Ramadan

Antara episod kemenangan umat Islam yang lain adalah operasi persediaan perang Khandak (Perang Ahzab) yang mengukir kejayaan buat umat Islam di Madinah. Kita juga tidak seharusnya melupai peristiwa Perang Tabuk sebagai ekspedisi perang terakhir yang disertai oleh Baginda Nabi S.A.W.

Begitu juga misi perluasan kuasa Islam di Yaman. Rombongan yang dipimpin Ali bin Abi Talib R.A bagi menyebarkan dakwah Islam di Yaman juga berlaku di bulan Ramadan. Era keemasan Islam juga merakamkan kekalahan tentera Salib dalam penaklukan Baitul Maqdis oleh tentera Islam pimpinan Salahuddin al-Ayubi.

Semoga secarik nostalgia indah kehebatan dan keizzahan Islam di zaman lampau untuk membangkitkan ‘hamasah’ umat Islam untuk meneruskan perjuangan setelah sebulan berada dalam madrasah Ramadan yang diberkati. Kehadiran Syawal pastinya membawa semangat kemenangan baru untuk kita meneruskan perjuangan Islam.

FATIHAH AMRULLAH – HARAKAHDAILY 23/5/2020

Siri Bingkisan Artikel Ramadan

Lajnah ‘Alimat Dan Pembangunan Keluarga,

Dewan Ulamak PAS Pusat.