Home Berita PAS Sarawak

Ramadan akan pergi sebentar lagi………

546
SHARE

Sekarang Ramadan mahu akan beredar pergi. Perjalanan Ramadan akan berlepas daripada ku. Aku ingin bertanya kepada diri, “sudah apa sahaja yang aku sampai pada detik ini?”

“Bagaimana dengan ibadahku? Sudah berapa kali khatamkan al-Quran atau hanya dibaca beberapa juzuk sahaja?”

“Lalu ke manakah ungkapan cinta yang selama ini dibisikkan di hati? Di manakah sasaran yang dahulu dijanjikan?”

Aduhai diri, “bagaimanakah dengan solat hingga detik ini? Ingatkah, bahawa janji akan tahajud setiap malam?

Menangis, merintih mencari pertolongan Rabb Semesta Alam. Bersimpuh dengan taubat seluruh badan, jiwa dan hati untuk segera kembali. Tetapi, lihatlah diri sendiri. Ternyata malam-malam hidup dengan televisyen.

Daripada hiburan, sukan sehingga ke ceramah basi tokoh politik, detik berlalu pergi. Kesempatan terbuang bisu. Terbuang percuma dengan gelak ketawa dan canda tiada guna.

“Apakah pada bulan suci ini sedang bersedih sehingga harus ketawa setiap detik atau justeru tertawa yang berlebihan itu membuat hati jadi keras, sekeras pepejal bagai tidak mendapat hidayah Ar-Rahman?

Aduhai diri, “bagaimana dengan infak, sedekah serta kebaikan-kebaikannya? Apakah selama Ramadan ini sudah melakukan itu semua? Ataukah hanya menyimpan harta rapat-rapat di kunci di tempat yang aman? Ingin membawanya ikut mati bersama-sama?

Tak ada yang tahu kecuali hanya diriku dan Rabb. Betapa kerdilnya hati ini, betapa sempitnya keinginan ini. Harta itu tidak akan beranak, tidak pula berkembang biak.
“Kenapa tidak dilepaskan sebahagian harta itu, sehingga Allah, Rasul dan orang-orang beriman akan melihat amal-amal itu?”

Aduhai diri, belum terlambat untuk berubah. Masuklah dalam pelukan Allah dan nikmatilah sajian Ramadan! Masih ada beberapa hari yang tersisa. Penuhilah masjid-masjid dan surau-surau tempat bersujud, mencium hikmah dan rahmat Allah Taala.

Kobarkan semangat, gigihkan hati untuk melantunkan bait-bait kitab suci itu. Dekatkan hati dan mohonlah ampunan dengan segala pinta yang boleh dilakukan.

Aduhai diri, semoga Ramadan ini tidak lagi merugi seperti di tahun-tahun lalu. Kerana reda Allah yang ingin digapai, keampunan Allah yang ingin dituju dan kebahagiaan di dunia dan di akhirat yang dijanjikan untuk hamba-hamba Nya yang beriman dan beramal salih.

 

Cikgu Shokri Hj.Fauzi
18 Jun 2017
23 Ramadan 1438 H.

{jathumbnail off}