Home Tazkirah Ramadhan DMPM

Tazkirah Ramadhan Siri 25/1438H

545
SHARE

Tazkirah Ramadhan Siri 25/1438H

Tadabbur Al Quran Juzuk 25: Surah Asy Syura: Ayat 7 -10

Terjemahannya:

Dan sebagaimana Kami tetapkan engkau hanya penyampai, Kami wahyukan kepadamu Al-Quran dalam bahasa Arab, supaya engkau memberi peringatan dan amaran kepada (penduduk) “Ummul-Qura” dan sekalian penduduk dunia di sekelilingnya, serta memberi peringatan dan amaran mengenai hari perhimpunan (hari kiamat) – yang tidak ada syak tentang masa datangnya; (pada hari itu) sekumpulan masuk Syurga dan sekumpulan lagi masuk neraka. (ayat7)

Dan jika Allah menghendaki, tentulah Ia menjadikan mereka satu umat (yang bersatu dalam ugama Allah yang satu); akan tetapi Allah (tidak merancang yang demikian bahkan Ia akan) memasukkan sesiapa yang dikehendakiNya ke dalam rahmatNya (menurut peraturan yang telah ditetapkan); dan orang-orang yang zalim tidak ada baginya sesiapapun yang dapat memberikan perlindungan dan pertolongan. (ayat8)

Tidaklah patut mereka menjadikan sesuatu yang lain dari Allah sebagai pelindung-pelindung (yang disembah dan dipuja) kerana Allah jualah Pelindung yang sebenar-benarnya, dan Dia lah yang menghidupkan makhluk-makhluk yang mati. Dan (ingatlah), Ia Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu. (ayat9)

Dan (katakanlah wahai Muhammad kepada pengikut-pengikutmu): “Apa jua perkara ugama yang kamu berselisihan padanya maka hukum pemutusnya terserah kepada Allah; Hakim yang demikian kekuasaanNya ialah Allah Tuhanku; kepadaNyalah aku berserah diri dan kepadaNyalah aku rujuk kembali (dalam segala keadaan)”. (ayat10)

Tafsir ringkas:

1) Dalam ayat 7 ini Allah SWT menerangkan bahawa wahyu yang diturunkan oleh Allah SWT kepada Nabi Muhammad SAW adalah dalam bahasa Arab, sesuai dengan bahasa penduduk tanah Mekah dan sekitarnya pada waktu itu.

Tujuannya adalah :

i. Untuk memudahkan mereka mengerti dakwah dan seruan serta peringatan yang dibawa oleh Nabi Muhammad kepada mereka. Walaupun disebut hanya penduduk Mekah dan sekitarnya ia tidak bermaksud yang Nabi Muhammad s.a.w itu diutus terbatas hanya kpd kaum Arab shj. Hakikatnya, Nabi Muhammad SAW adalah Rasul bg sekalian manusia.

ii) Untuk memberi peringatan tentang Hari Kiamat, di mana pada hari itu segenap makhluk Allah dikumpulkan untuk mempertanggungjawabkan perbuatan mereka di dunia dan mendapat ganjaran sesuai dengan perbuatan mereka.

2. Dalam ayat 8, Allah SWT menerangkan bahawa andaikata Dia menghendaki, maka semua manusia itu akan beriman dan merupakan umat yang satu, tetapi kebijaksanaan yang diambil-Nya menyerahkan urusan iman dan kafir kepada peribadi masing-masing setelah di utuskan kepada mereka seorang nabi bersama kitabNya sebagai penunjuk jalan kehidupan. 

3. Namun walaupun dihadirkan kepada umat ini seorang rasul terdapat juga segolongannya yang musyrik dengan mengambil pelindung selain Allah untuk menolong mereka dalam hal-hal yang memerlukan pertolongan. Mereka telah sesat. Mereka mengambil pelindung makhluk yang tak dapat mendatangkan manfaat bagi dirinya apalagi bagi yang lain dan menolak bencana daripadanya.

4. Oleh yang demikian pada ayat ini 10, Allah SWT menyarankan agar apa saja yang diperselisihkan mengenai urusan agama, keputusannya hendaklah dikembalikan kepada Allah SWT.

 

Pengajaran:

1. Sebagai pejuang Agama Allah, kita hendaklah menjadikan Al-Quran sebagai panduan utama. Kita juga disarankan utk berusaha memahami bahasa Arab dengan mempelajarinya.

2. Meskipun Al-Quran diturunkan dalam Bahasa Arab, ia tidak menafikan penurunannya untuk seluruh umat manusia di dunia ini. Risalah Islam tidak terhad hanya untuk bangsa Arab walaupun Al-Quran diturunkan dalam Bahasa Arab. Cintailah al-Quran dan mesrai dia dengan apa carapun: tilawah, tadabbur,  tazakkur, tadarus, taklim, tafsir,  tahfiz,    taranum,  tatbiq (laksanakan)  dan sebagainya. 

3. Hari Kiamat adalah satu hari yg pasti dan tiada lagi keraguan. Sebagai hamba Allah kita haruslah bertanggungjawab di atas setiap kelakuan kita. Sentiasa ‘set’kan dalam hati sebelum dan ketika beramal bahawa ia akan dihitung dan akan ditentukan sama ada syurga atau neraka.

4. Kita mestilah menjauhi perkara-perkara syirik. Periksa dan tajdid iman selalu. Allah adalah sebaik-baik pelindung dan Maha Kuasa.

5. Apabila kita mengalami keraguan atau perselisihan pendapat, kita mestilah kembali kepada al-Quran dan hadith dengan merujuk kepada ulama yang beramal serta pakarnya. 

6. Sentiasa cintakan ilmu dan hadiri apa sahaja majlisnya kerana di situlah kita akan memahami isi dan kehendak kedua-dua rujukan ini. 

 

Rujukan: Sahih Tafsir Ibnu Kathir

Disusun oleh:
Lajnah Dakwah DMPM dengan kerjasama Ameerah dan Lajnah Penerangan & IT DMPK Gombak.
25 Ramadhan 1438 /20 Jun 2017