KOTA BHARU, 8 Feb: Rakyat Kelantan diseru mempertingkatkan kesedaran terhadap Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi mengelakkan kes di negeri ini meningkat. Sehingga semalam, sebanyak 666 kes dilaporkan dan menjadikan situasi terkini COVID-19 di Malaysia bertambah kepada 11,034 kes baharu.
Menteri Besar Kelantan, YAB Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob berkata, sikap ketidakpatuhan SOP bukan sahaja berlaku di Kelantan, malah melibatkan seluruh negeri.
“Saya akui kes harian COVID-19 di Kelantan meningkat, punca utama adalah sikap kita yang tidak patuh pada SOP. Meskipun sudah mengambil dos penggalak tetapi kepatuhan pada SOP perlu diutamakan.
Saya menyeru agar semua rakyat mematuhi SOP yang telah ditetapkan, kerana itu sahaja cara yang boleh kita mengawal wabak ini dari terus menular dalam komuniti serta berhadapan dengan peningkatan kes lagi,” ulasnya pada sidang media selepas Majlis Perasmian Kala Sentral di Dataran Muhammadi di sini, baru baru ini.
Terdahulu, mengikut laporan dari Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) sehingga 7 Februari 2022 sebanyak 666 dicatatkan adalah kes baharu, dan kes aktif 14 hari mencatatakan jumlah sebanyak 5723 kes. Manakala bagi kes tamat 14 hari adalah sebanyak 175919 kes menjadikan kes kumulatif adalah 181642 kes.