Oleh NIK AZMAN NIK MUSTAFA
PANCHOR, 4 Ogos: Teruskan berdoa dan saling memperbaiki amal ibadat supaya menjadi pelindung diri sendiri. Di samping terus membantu sesama sendiri dengan menyalurkan informasi masyarakat yang memerlukan bantuan kepada penghulu.
Timbalan Menteri Besar Kelantan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Panchor, YB Dato’ Mohd Amar Abdullah berkata demikian ketika dihubungi, hari ini.
Menurut beliau, sepanjnag tempoh pandemik COVID-19, DUN Panchor telah mengagihkan pelbagai bantuan dalam usaha meringankan bebanan yang terpaksa ditanggung oleh rakyat.
“Bantuan untuk peniaga kecil sudah melalui empat fasa, melibatkan 850 penerima. Manakala bakul makanan bermula Fasa 1.0 hingga 2.0 seramai 2,050 penerima sudah mendapat hak mereka.
Melalui program Jejak Amal COVID Komuniti (JACK) seliaan Urus Setia Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita (U-KeKWA) pula seramai 250 asnaf segera menerima bantuan yang diperlukan.
Bantuan bakul makanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) turut diagihkan membabitkan 778 penerima.
Di samping itu, 870 menerima bantuan daripada Pakej Perlindungan dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) di Parlimen Pengkalan Chepa”, jelasnya.
Beliau turut berpesan semua rakyat kekal mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) kendiri memandangkan kes di Kelantan mencatat empat angka (1,003)semula, hari ini.
Semoga berkat kita saling berkerjasama, Allah SWT menurunkan rahmat-Nya dengan mengangkat wabak ini jauh daripada kita”, katanya.