Home Artikel PAS Melaka

Rafiq umum pembentukan Jawatankuasa PN Negeri Melaka

539
SHARE

 

Oleh : Abu Anas

HANG TUAH JAYA, 23 Jan : Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Melaka, YB Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen semalam mengumumkan pembentukan Jawatankuasa Perikatan Nasional peringkat Negeri Melaka yang disertai oleh PAS Melaka sebagai salah satu parti komponen PN.

Menurut Rafiq, selaras dengan tertubuhnya struktur organisasi PN di peringkat nasional, PN Melaka telah mengambil ketetapan untuk menubuhkan struktur organisasinya bagi memastikan usaha untuk menggerakkan program-program membela dan memperkasa rakyat Melaka dapat direalisasikan.

“Justeru itu, perbincangan telah diadakan antara saya selaku Pengerusi Perikatan Nasional Melaka dan juga Ketua Badan Pimpinan BERSATU Melaka bersama Pesuruhjaya PAS Melaka, Yang Berbahagia Datuk Ustaz Kamarudin Sidek bagi membentuk Jawatankuasa Perikatan Nasional Melaka.” ujar Rafiq.

Rafiq di dalam sidang media itu turut mengumumkan senarai jawatankuasa tersebut seperti berikut:

 

Selain mengumumkan pembentukan jawatankuasa tadi beliau turut mengumumkan program bantuan Food Bank Prihatin Melaka (FBPM) yang merupakan inisiatif PN Melaka bagi membantu rakyat Melaka yang terjejas teruk dan kehilangan kerja atau punca pendapatan sepenuhnya ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0.

“FBPM akan mengumpulkan sumbangan daripada pelbagai pihak termasuk pihak swasta dan orang ramai yang ingin menyumbang kepada program ini dalam bentuk barangan keperluan makanan asas.

“Proses kelulusan permohonan akan dijalankan secara berperingkat berdasarkan kemampuan dan jumlah sumbangan yang diterima Perikatan Nasional Melaka,” ujar beliau dalam kenyataan itu.

Menurut Rafiq, mekanisme permohonan akan diuar-uarkan melalui laman Facebook Rasmi Perikatan Nasional Negeri Melaka.

Tambah beliau lagi, untuk permulaan, PN Melaka akan mengedarkan 1,000 kit makanan bernilai RM50,000 kepada Rakyat Melaka yang kehilangan kerja atau punca pendapatan sepenuhnya.

“Perikatan Nasional Melaka juga menjunjung kasih titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong yang telah memberi perkenan pengisytiharan proklamasi darurat untuk dilaksanakan di seluruh negara.

“Perikatan Nasional Melaka berharap agar semua pihak tidak mempertikaikan dan dapat menghormati kebijaksanaan serta keputusan yang telah dibuat oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong demi kesejahteraan rakyat dan negara Malaysia tercinta.

Selain itu, menurut Rafiq, PN Melaka juga menyambut baik inisiatif Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (PERMAI) bernilai RM 15 Bilion yang diumumkan oleh YAB Tan Sri Datuk Seri Utama Haji Muhyiddin Yassin, Perdana Menteri Malaysia yang juga Pengerusi PN Pusat.

“PERMAI diyakini dapat membantu memerangi wabak Covid-19, memelihara kesejahteraan rakyat dan merangsang ekonomi negeri Melaka dan negara yang terjejas ketika ini,” ujar beliau di dalam kenyataannya itu.

Rafiq yang juga merupakan Exco Kerajaan Negeri Melaka berkata demikian dalam satu sidang media di Hotel MITC Ayer Keroh, di sini, semalam, yang turut dihadiri oleh Pesuruhjaya PAS Melaka, Datuk Ustaz Kamarudin Sidek.