Home Berita PAS Kelantan

Pusat akuatik akan dibina di Bandar Baru Tunjong

256
SHARE

KOTA BHARU, 17 Jul: Kerajaan Negeri bersetuju membina pusat akuatik di kawasan seluas lima ekar di Bandar Baru Tunjong menjelang Sukan Malaysia (SUKMA) 2026.

Demikian menurut Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan NGO, YB Ustaz Wan Roslan Wan Hamat ketika merasmikan Majlis Pelancaran Akademik As-Sibahah Urus Setia Belia dan Sukan Negeri Kelantan Musim 2 di Kelantan Golf and Country Club (KGCC), semalam.

Katanya, sukan renang adalah antara sukan sunnah yang digalakkan oleh Rasulullah saw.
“Pemilihan Bandar Baru Tunjong adalah lebih strategik kerana sukan ini sesuai berada di kawasan bandar.Kedudukannya yang berdekatan dengan bandar Kota Bharu yang banyak kemudahan infrastruktur adalah suatu kelebihan untuk sukan ini,” katanya.

Tambahnya, walaupun di Kelantan masih kekurangan infrastruktur sukan, namun kita kena pastikan pembangunan sukan di negeri ini terus berkembang.

“Walaupun kerajaan negeri sentiasa menyokong penuh aktiviti sukan dan budaya, dalam usaha menyelamatkan akidah umat Islam kita tetap mewujudkan garis panduan untuk sebarang aktiviti,” katanya.

Katanya lagi, tender untuk projek pembinaan Kompleks Sukan di Bukit Merbau sebagai persiapan menjelang SUKMA 2026 akan dibuka pada akhir tahun ini dan pembinaannya dijangka siap pada 2025.

Berhubung dengan projek membaik pulih Padang Perdana untuk perlawanan bola sepak Piala Presiden dan Piala Belia beliau menyatakan, pihak Kementerian Sukan sudah meluluskan peruntukan sebanyak RM500 ribu.

Dalam majlis tersebut, seramai 20 peserta hadir yang terdiri daripada 15 orang peserta sekolah Yayasan Islam Kelantan (YIK) dan 5 orang peserta sekolah kementerian.

Turut hadir, Pengarah Belia, Sukan dan NGO (U-BeS), Nasruddin Mahmud Muhaidin, wakil Pengarah Majlis Sukan Negeri (MSN), Ketua Jurulatih As-Sibahah Musim 2, ibubapa dan guru-guru.