Home Berita PAS Kelantan

Puas hati berkhidmat kepada petani, penternak, nelayan terlaksana – Dr Nik Zawawi

243
SHARE

PASIR PUTEH, 8 Dis: Ahli Parlimen Pasir Puteh, Dato’ Dr Nik Zawawi Nik Salleh berpuas hati sepanjang tempoh perkhidmatan sebagai Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) II kerana beliau telah memberi seratus peratus usaha dan komitmen untuk membantu para petani, penternak dan nelayan di seluruh negara.

Antara perkara yang dilaksanakannya sepanjang tempoh dua tahun berkhidmat di Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) ialah meningkatkan hasil pendapatan pesawah di seluruh negara dengan menggunakan pengurusan yang lebih sistematik dan teratur menerusi program Smart Sawah Berskala Besar atau dikenali sebagai Smart SBB.

“Inisiatif menggabungkan pesawah sebagai rakan kongsi dan syarikat peneraju sebagai pelabur melalui program Smart SBB telah meningkatkan tahap sara diri (SSL) padi daripada 68 peratus kepada 71 peratus dan saya percaya jika program ini dapat diteruskan oleh kepimpinan baharu yang ada sekarang, hasil pengeluaran padi dalam negara akan melonjak sehingga 80 peratus setelah padi kini dapat ditanam tiga kali dalam setahun” katanya ketika ditemui di pejabat parlimen Pasir Puteh, hari ini.

Tambahnya lagi, antara perkara lain yang dilaksanakan ialah mengadakan program modenisasi supaya petani dapat menggunakan teknologi semasa yang ada dalam dunia ini seperti penggunaan teknologi dron, alat pengesan PH air dan bioteknologi baja yang menggunakan lebih kepada baja organik berbanding baja kimia.

Selain itu katanya, MAFI juga turut melancarkan program penanaman kelapa di seluruh negara bagi tanah kosong terutamanya bagi kawasan pantai untuk mengurangkan kadar import kelapa dari negara jiran, turut dilakukan ialah mengadakan program motivasi kepada petani untuk menggalakkan lagi hasil pertanian mereka.

Sementara itu bagi nelayan pula, beliau memaklumkan, kerajaan melalui Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) telah mengadakan Program Pemodenan Vesel dan Mekanisasi Peralatan untuk nelayan di empat zon utama. Di samping itu, Pasar Tamu diperkenalkan bagi menggalakkan sistem pemasaran. Pasar tersebut memberi peluang kepada nelayan, petani dan penternak menjual secara terus hasil mereka tanpa melibatkan orang tengah.

“Selain menyediakan tabung bencana kepada petani, penternak dan nelayan, Smart Card turut diperkenalkan bagi memudahkan mereka mendapat maklumat, memohon bantuan atau membuat laporan menerusi atas talian,” ujarnya.