Home Berita PAS Kelantan

PSSS perintis dibina di Kelantan

3
SHARE

Oleh NORZANA RAZALY

RANTAU PANJANG, 26 Sept: Pusat Sokongan Sosial Setempat (PSSS) perintis bakal dibangunkan di Kelantan sebagai pusat rujukan khusus kepada kumpulan sasar Kementerian Pembangunan Wanita dan Keluarga Malaysia (KPWKM) seperti wanita, kanak-kanak, keluarga, warga emas dan Orang Kelainan Upaya (OKU) untuk mendapatkan perkhidmatan sosial kementerian yang holistik.

Menterinya, YB Datuk Seri Rina Harun berkata, Kelantan menjadi perintis kerana lokasinya dikenal pasti lebih awal atas inisiatif Ahli Parlimen Rantau Panjang, YB Dato’ Siti Zailah Mohd Yusoff yang mendapat sokongan Kerajaan Negeri Kelantan dan kerjasama Jabatan Kastam Diraja Malaysia Negeri Kelantan (JKDM), disusuli Selangor dan Johor sejurus lokasinya dikenal pasti nanti.

Menurutnya lagi, PSSS diwujudkan untuk memastikan capaian meluas perkhidmatan KPWKM kepada orang awam dan mengenal pasti isu-isu di lapangan bagi membolehkan penggubalan polisi dan pelaksanaan program yang lebih bersasar ke arah menghentikan kitaran ganas masalah sosial yang berkaitan kumpulan sasar KPWKM.

“Pengoperasian PSSS dijangkakan pada tahun depan berdasarkan konsep pemerluasan Talian Kasih secara fizikal di kawasan terpilih bertunjangkan perkhidmatan bidang kerja sosial dan kaunseling yang berperanan sebagai tempat rujukan setempat untuk mengemukakan aduan dan pertanyaan, memperoleh maklumat dan nasihat serta transit sementara berbentuk pemulihan segera kepada kumpulan sasar yang berhadapan dengan isu sosial di bawah bidang kuasa KPWKM”, katanya selepas majlis penyerahan kunci kuarters lama Kompleks Perumahan Kastam daripada JKDM kepada KPWKM, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Menteri KPWKM, YB Dato’ Siti Zailah Mohd Yusoff, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gual Periuk, YB Dato’ Mohamad Awang dan Pengarah JKDM, Mohd Rakbi Mat Saud.

#KemakmuranKemajuanKelantan