Home Kenyataan Media PAS Pulau Pinang

PSR: PAS Pulau Pinang tuntut kerajaan negeri batal segera!

62
SHARE

Parti Islam Se-Malaysia (PAS) Pulau Pinang menyokong penuh kenyataan daripada Timbalan Menteri Pertanian & Industri Makanan II (MAFI) YB Dato Haji Che Abdullah Bin Mat Nawi yang menyatakan bahawa penerusan projek tambakan laut selatan Pulau Pinang ‘Penang South Reclamation’ (PSR) menunjukkan sikap ego DAP yang mengancam sumber makanan laut dan alam sekitar.

PAS Pulau Pinang juga kekal membantah secara berterusan projek PSR yang dilihat gagal menjamin kelestarian alam sekitar, sumber makanan laut(food security) serta punca mata pencarian bagi nelayan pesisir pantai di negeri ini.

Terbaru Kerajaan Negeri cuba mengaburi rakyat negeri ini dengan menukar nama projek tambakan ini yang dikenali sebagai ‘Penang South Reclamation’ (PSR) kepada ‘Penang South Island’ (PSI) seolah menjenamakan semula ianya sebagai projek pembinaan pulau biasa dan bukannya penambakkan laut malah mendapat tentangan daripada pelbagai pihak termasuk daripada rakan sekutu DAPPH sendiri.

PAS Pulau Pinang juga berharap agar EXCO Agroteknologi & Keselamatan Makanan, Pembangunan Luar Bandar Dan Kesihatan Pulau Pinang, YB. Dr. Hajah Norlela Bt Ariffin yang telah menyatakan tentangan ketika perjumpaan bersama Timbalan Menteri II YB Dato Haji Che Abdullah Bin Mat Nawi agar lebih serius dan berani dalam memberikan tekanan kepada kerajaan negeri Pulau Pinang.

Pada masa yang sama kami juga turut merakamkan setinggi penghargaan kepada semua pihak termasuk daripada Ahli-ahli Parlimen, NGO-NGO, aktivis alam sekitar dan semua pihak yang telah turut memainkan peranan dalam membantah projek PSR ini sejak dari mula ia dicadangkan oleh kerajaan DAP Pulau Pinang.

PAS Pulau Pinang sekali lagi ingin menegaskan dengan setegasnya bahawa tidak akan berkompromi dengan hasrat kerajaan DAP Pulau Pinang dalam meneruskan projek PSR ini dan memohon agar semua pihak terus memainkan peranan dalam menghalang projek ini sehingga dibatalkan.

 

‘Islam Memperkukuh Perpaduan’

Ustaz Muhammad Fauzi bin Yusoff
Pesuruhjaya PAS Negeri Pulau Pinang