Home Berita PAS Melaka

Covid-19 Melaka | 178 kes jangkitan dan 5 kematian

161
SHARE

Oleh IBNU JANIE

AYER KEROH, 12 Jun : Sebanyak 178 kes jangkitan dan lima kes kematian baharu direkodkan di Negeri Melaka hari ini.

Demikian dilaporkan Jabatan Kesihatan Negeri Melaka (JKNM) dalam satu hantaran di laman Facebook rasmi jabatan itu sebentar tadi.

Menurut laporan itu daripada 178 kes jangkitan baharu itu, 174 kes adalah daripada kategori tempatan sementara empat kes lagi adalah daripada kategori import.

JKNM turut melaporkan bahawa daripada keseluruhan kes baharu itu juga, 102 kes dikesan di Daerah Melaka Tengah, 27 kes di Daerah Jasin dan 49 kes lagi dikesan di Daerah Alor Gajah.

Jabatan itu juga berkata sebanyak 358 kes sembuh baharu direkodkan hari ini, sementara 1855 kes masih dirawat dengan 49 kes adalah daripada kes ICU dan 16 kes lagi daripada kategori bantuan alat pernafasan.

Laporan kes kematian

Sebanyak lima kematian baharu direkodkan hari melibat tiga lelaki dan dua wanita berumur antara 58 dan 80 tahun.

Tiga mangsa lelaki itu, dua daripada mereka berasal dari Daerah Alor Gajah di mana seorang berumur 66 daripada Mukim Klemak dan seorang lagi berumur 74 tahun daripada Mukim Durian Tunggal manakala seorang lagi berumur 80 tahun daripada Mukim Tanjung Kling, Daerah Melaka Tengah.

Dua mangsa wanita pula ialah seorang berumur 58 tahun daripada Mukim Kesang, Daerah Jasin sementara seorang lagi pula berumur 70 tahun daripada Mukim Balai Panjang, Daerah Melaka Tengah.

Laporan kluster

Terdapat 27 kluster yang masih aktif di negeri Melaka (kluster Melaka) dan satu kluster daripada luar Melaka.

Terdapat pertambahan kes bagi kluster sedia ada iaitu 44 kes daripada Kluster Industri Batu Berendam; lima kes Kluster Batu 16 Bemban; tiga kes daripada Kluster Industri Pengkalan Balak dan satu kes Kluster Jalan Kolej Yayasan.

Kes seluruh negara

Kementerian Kesihatan Malaysia pula melaporkan sebanyak 5793 jumlah keseluruhan kes baharu direkodkan di seluruh negara hari ini, lebih rendah daripada semalam.

Selangor pula kekal mencatatkan kes baharu harian tertinggi antara negeri namun lebih rendah daripada semalam iaitu sebanyak 1582 kes diikuti oleh Negeri Sembilan yang mencatatkan 618 kes.

Laporan itu juga menyatakan bahawa sebanyak 76 kes kematian baharu direkodkan hari ini sementara keseluruhan kes jangkitan terkumpul dicatatkan di Malaysia berjumlah 652,204 kes dengan semua negeri atau wilayah ada merekodkan kes baharu hari ini.