Home Kenyataan Media PAS Negeri Sembilan

PRU14 : Pesanan Buat Petugas dan Penyokong PAS

877
SHARE

PESANAN BUAT PETUGAS DAN PENYOKONG PAS

Allah SWT berfirman dalam Surah at-Taubah ayat ke 41:

انْفِرُوا خِفَافًا وَثِقَالا وَجَاهِدُوا بِأَمْوَالِكُمْ وَأَنْفُسِكُمْ فِي سَبِيلِ اللَّهِ ذَلِكُمْ خَيْرٌ لَكُمْ إِنْ كُنْتُمْ تَعْلَمُونَ

“Berangkatlah kalian, baik dalam keadaan merasa ringan ataupun merasa berat, dan berjihadlah dengan harta dan diri kalian di jalan Allah. Yang demikian itu adalah lebih baik bagi kalian jika kalian mengetahui”

Ayat ini turun ketika Perang Tabuk, apabila Rasulullah menerima perkhabaran tentang pasukan Rom dan sekutunya yang sedang merancang untuk melakukan pre-emptive strike ketika dakwah Islam mula sampai ke perbatasan empayar Rom. Tujuannya untuk memadamkan terus kekuatan Islam yang semakin membesar dan menjadi ancaman kepada kekuatan Rom.

Perang Tabuk ini menjadi medan penentu survival dakwah Islam di semenanjung Arab dan seluruh Timur Tengah. Ia berlaku selepas Perang Mu’tah yang menyaksikan gugurnya 3 orang panglima Islam sebelum panji-panji disambut oleh Pedang Allah, Saidina Khalid al-Walid untuk mengkoordinasi semula pasukan Islam yang berkecamuk, bertahan sehingga pasukan Rom & Islam masing-masing berpatah ke kubu.

Terdapat sebahagian daripada muslimin merasa lemah untuk turun berjihad kerana berbagai kesukaran. Sumber makanan yang agak terbatas kerana kemarau dan panas terik mengganggu kesihatan serta kecergasan sebahagian muslim. Selebihnya org tua, kanak-kanak dan wanita yang tidak berdaya.

Semboyan dilaungkan, panggilan jihad dikobarkan. Yang kuat dan lemah turut sama ke medan perang. Hasilnya, 70,000 kekuatan umat Islam berjaya dikumpulkan, manifestasi kekuatan aqidah dan ketaatan muslimin atas perintah Allah dan Rasul. Ketika pasukan Islam sampai ke medan Tabuk, Allah mencampakkan rasa gerun di hati musuh dan telah berundur ke kubu. Pihak Islam mencapai kemenangan moral tanpa setitik darah ditumpahkan!

Pengajarannya, para petugas dan penyokong PAS harus mengorak usaha apabila seruan perjuangan dilaungkan. Rahmat Allah hadir selepas ikhtiar yang kita curahkan.

Baki satu hari yang masih tinggal ini saya menyeru para petugas dan penyokong PAS untuk bermunajat memohon pertolongan Allah. Allah yang membolak balik hati manusia, dia yang mampu menghadirkan rasa sayang dan hormat kepada calon PAS. Kita juga wajib bermujahadah untuk mengekang nafsu dari berkata-kata buruk tentang lawan dan menjaga batas pergaulan mengikut adab Islam. Usaha walau sekecil zarah akan dinilai, keburukan sekecil zarah juga mampu menghijab rahmat Allah.

Buat petugas yang masih ada kekangan saya mohon keluarlah walau seketika untuk memenuhi pondok panas PAS. Basahkan lidah dengan zikrullah sambil bendera PAS dikibarkan untuk merayu undi. Senyuman lebar itu sedekah. Jauhkan dari memprovokasi lawan. Moga ukhuwah sesama Muslim & persahabatan dengan non-muslim berkekalan.

Bagi yang bertugas sebagai PACA pastikan amanah ditunaikan sebaiknya. Ikhtiar terakhir kita di bahu saudara saudari. Andalah penembak tepat yang diharapkan. Jangan tinggalkan Bukit Uhud kita!

Buat para pengundi, saya merayu diberikan peluang untuk PAS menawarkan solusi Islam. Betulkan kami jika tersilap, bantulah kami demi kebenaran. Moga impian kita menbina “بلدة طيبة و رب غفور” (negara berkebajikan dan mendapat keampunan Tuhan) dapat direalisasikan. Kami menawarkan calon berwibawa dan bebas rasuah sebagai pilihan anda.

Terima kasih kerana terlibat dalam misi Membina Negara Sejahtera. Hanya Allah yang mampu membalas budi saudara saudari.

Ya Allah! Damaikanlah negara kami, satukan hati rakyatnya dalam membina negara yang kami cintai.

Ustaz Mohd Khairil Anuar Mohd Wafa
Calon P130 Rasah & N20 Labu
Timbalan Pesuruhjaya 2 PAS Negeri Sembilan