Home Berita Dewan Pemuda PAS Malaysia

PROTON-GEELY | Bentuk Jawatankuasa Kaji Kepentingan Negara

678
SHARE

[Minda Anak Muda]

PROTON-GEELY:
BENTUK JAWATANKUASA KAJI KEPENTINGAN NEGARA

Oleh:
IR KHAIRIL NIZAM KHIRUDIN
Timbalan Ketua Pemuda
Dewan Pemuda PAS Malaysia

Penjualan saham Proton Holdings Berhad (Proton) sebanyak 49.9 peratus kepada Zhejiang Geely Holding Group Co. Ltd (Geely) sebuah firma automatif terbesar di China telah diumumkan pada 23 Mei 2017 yang lalu. Perjanjian kerjasama strategik ini dijangka akan dimeteraikan secara rasmi pada bulan Julai 2017 ini. Namun, pengumuman penjualan tersebut menimbulkan pelbagai persoalan dalam kalangan pakar industri automatif, ahli ekonomi dan tidak kurang juga daripada ahli politik serta rakyat.

Jenama Proton tidak asing di Malaysia. Proton adalah jenama negara dan ia sesuatu yang sangat membanggakan kepada seluruh rakyat Malaysia satu ketika dahulu. Kewujudan Proton adalah ekoran daripada pengenalan dasar industri berat yang bertujuan untuk mempelbagaikan sumber ekonomi negara selain bergantung kepada sektor pertanian dan komoditi. Maka, industri automotif diperkenalkan sejajar dengan aspirasi Tun Dr Mahathir Mohamad ketika di fasa awal pelantikannya sebagai Perdana Menteri Keempat.

Perusahaan Otomobil Nasional (Proton) ditubuhkan pada 7 Mei 1983 setelah idea kewujudan kereta nasional bermula pada tahun 1979 dan mendapat kelulusan kabinet pada pada tahun 1982. Ia milik penuh kerajaan dan menjalinkan kerjasama strategik bersama Mitsubishi Motors yang berkonsepkan ‘re-badge’ dengan menjenamakannya sebagai identiti negara iaitu Proton Saga. Walaupun ‘re-badge’ tetapi ia satu permulaan yang sangat baik sebelum Proton mengoperasikan sepenuhnya ‘non-badge’ produknya pada tahun 2000.

Proton telah melalui sejarah perjalanannya yang panjang sebagai sebuah kereta beridentitikan negara sejak tahun 1980-an sehinggalah menjadi pemilikan swasta sepenuhnya dan kini di ambang penjualannya kepada entiti asing. Ia sangat dekat di hati rakyat Malaysia dan nilai sentimentalnya sukar untuk diungkap. Kerajaan juga harus sedar jaminan-jaminan yang telah diberikan oleh kerajaan sewaktu pelupusan saham Khazanah Nasional dan pembelian DRB Hicom ke atas Proton pada tahun 2012. Antaranya adalah memastikan kelangsungan Proton sebagai produk nasional dan selaras dengan Dasar Automotif Negara.

Bagi Pemuda PAS Malaysia, terdapat beberapa perkara perlu dipertimbangkan seperti berikut:

1. Penerimaan Pelaburan Langsung Asing (FDI) adalah satu penjanaan ekonomi yang baik untuk ekonomi negara. Namun, portfolio-portfolio pelaburan perlu diteliti dengan adil berikutan beberapa FDI mega yang mengalir ke Malaysia banyak didominasi oleh negara China. Dibimbangi ia turut akan menggugat kedaulatan negara. Projek High Speed Railways, pengambilalihan EDRA, pembinaan projek Bandar Malaysia dan lain-lain lebih banyak tertumpu kepada penguasaan aset-aset strategik Negara.

2.         Geely mempunyai rekod perniagaan yang baik terutama dalam pengambil alihan syarikat Volvo bagi menembusi pasaran global. Ia terbukti dengan peningkatan jualan Volvo setelah 5 tahun pengambil alihannya iaitu hampir sekali ganda. Pembentukan kerjasama strategik antara Proton-Geely adalah untuk kepentingan perniagaan bagi pasaran rantau ASEAN dan umumnya pasaran automotif di rantau ini sangat kompetetif dan tiada jaminan ‘sustainablity’. Hal ini bermakna aset penting Proton seperti Lotus dan ‘Proton plant’ di Tanjung Malim turut menjadi taruhan kritikal kepada penguasaan asing khususnya China. Pemilikan DRB Hicom yang hanya 50.1 peratus adalah sangat tipis untuk dipertahankan.

3.         Kerjasama strategik yang hampir separuh dimiliki oleh entiti asing turut memperjudikan nasib ribuan pekerja Proton. Dibimbangi apa yang berlaku terhadap lebih 6000 pekerja MAS turut akan terjadi kepada pekerja tempatan setelah proses penstrukturan dijalankan. Hal ini akan memburukkan pasaran buruh di Malaysia terutama dalam kalangan pekerja mahir dan separuh mahir.

4.         Proton turut diminta untuk memberikan penjelasan berhubung pinjaman mudah yang telah disalurkan berjumlah RM 1.5 bilion oleh kerajaan pada tahun 2016. Apakah hasil yang diperolehi daripada suntikan pinjaman tersebut dan mengapa kerajaan terpaksa membayar semula RM 1.1 bilion untuk geran penyelidikan dan pembangunan Proton.

Hakikatnya, semua terma dan syarat dalam perjanjian penjualan saham itu tidak dinyatakan dengan jelas serta terperinci melainkan rancangan pemilikan peratusan saham yang sangat besar. Adakah transaksi ini menguntungkan negara atau menjadi ‘double losses’? Apatah lagi, rakyat tidak mahu isu Proton-Geely turut dipengaruhi oleh sentimen politik antara Najib dan Tun Mahathir sehingga terpaksa menggadaikan kepentingan aset negara.

Justeru, Pemuda PAS Malaysia mendesak supaya penjualan saham ini ditangguhkan terlebih dahulu sehingga satu jawatankuasa kepentingan negara segera dibentuk yang turut dianggotai oleh pihak-pihak yang berkepentingan serta rentas parti. Segala butiran perjanjian hendaklah dibincangkan melalui jawatankuasa ini. Meskipun DRB-Hicom memiliki sepenuhnya kepentingan Proton tetapi ia turut melibatkan beberapa aset negara termasuk kelangsungan Dasar Automotif Negara.

2 Jun 2017 | 7 Ramadan 1438

{jathumbnail off}