Home Berita Dewan Pemuda PAS Malaysia

Terengganu Ungguli E-Alam Ria PASTI Malaysia

112
SHARE

Oleh MUHAMMAD NAZRI ABDULLAH

PUTRAJAYA, 15 Jan: PASTI Terengganu dinobatkan sebagai johan keseluruhan E-Alam Ria PASTI Malaysia 2021 yang berlangsung pada Oktober lalu.

Pengumuman dibuat pada Majlis Penghargaan PASTI Malaysia dan Penyampaian Hadiah Pemenang E-Alam Ria 2021 yang berlangsung di Kelab Tasik Putrajaya, di sini semalam.

PASTI Terengganu menjadi johan dalam tiga acara iaitu Bercerita (Lelaki), Bercerita (Perempuan) dan Pidato sementara peserta bagi acara Hafazan (Perempuan) pula meraih tempat kedua.

Pengarah PASTI Negeri Terengganu, Mohd Syamri Abd Razak berkata, kemenangan berkenaan menjadi pembakar semangat kepada para guru untuk mempertingkat kecemerlangan PASTI di negeri berkenaan.

“Kecerdasan murid-murid PASTI yang berani mengikuti pertandingan-pertandingan terbuka seperti ini membuktikan PASTI mempunyai sistem pendidikan dan pertarbiyahan untuk kanak-kanak prasekolah yang menitikberatkan ilmu dunia dan akhirat serta berani untuk mencuba,” katanya dalam satu hantaran yang dimuatkan di laman Facebook PASTI Terengganu semalam.

Berbeza dengan sebelum ini, E-Alam Ria PASTI 2021 berlangsung sepenuhnya secara maya sesuai dengan norma baharu susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Sementara itu, ketika berucap pada program malam tadi, Ketua Pengarah PASTI Malaysia, Damanhuri Dol berkata, E-Alam Ria menjadi platform untuk para guru mencungkil bakat serta kemahiran anak-anak PASTI seluruh negara.

“Program seperti E-Alam Ria yang mana di dalamnya mengandungi acara-acara seperti hafazan, bercerita, sajak, khutbah, azan serta pidato bukan sahaja mampu mencungkil bakat mereka, bahkan membentuk kemenjadian diri mereka,” katanya.

Perasmian penutup disempurnakan oleh Ketua Sektor Pendidikan Dewan Pemuda PAS Malaysia, Muhtar Suhaili.