Home Artikel Dewan Pemuda PAS Malaysia

Pengorbanan Anak Muda Malaysia Demi Islam

37 views
SHARE

Pengorbanan Anak Muda Malaysia Demi Islam

Perutusan Idul Adha


Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarokatuh

Tidak berapa lama lagi, umat Islam di seluruh dunia akan meraikan Hari Raya Idul Adha. Hari berlakunya kemuncak ibadah haji apabila para dhuyufurrahman berwukuf di Arafah dan pada masa yang sama umat Islam yang lain di seluruh dunia akan menyempurnakan Ibadah korban.

Saban tahun ketika sambutan Idul Adha, kita diperingatkan dengan peristiwa bersejarah Nabi Ibrahim yang mendapat perintah daripada Allah untuk menyembelih anak kesayangannya Nabi Ismail yang masih di usia kecil ketika itu. Namun begitu, hasil didikan Nabi Ibrahim, tanpa ragu-ragu anak muda ini memberikan komitmen sepenuhnya untuk menunaikan perintah Allah.

Di samping kisah tersebut, terdapat banyak lagi peristiwa yang termaktub dalam sejarah mengisahkan pengorbanan mereka terdahulu khususnya anak muda dalam menyahut seruan dan perintah Allah.

Episod pengorbanan ini tidak akan berkesudahan dan menjadi lumrah yang perlu dilalui oleh setiap pejuang. Cuma yang membezakan setiap daripada episod perjuangan ini adalah tujuan dan matlamat pengorbanan tersebut. Inilah mesej yang hendak disampaikan oleh Islam melalui falsafah ibadah korban yang bermatlamatkan mendekatkan diri dengan Allah.

Suasana semasa yang kian mencabar dan tidak menentu khususnya nasib Islam di bumi Malaysia, memerlukan anak muda Islam untuk bangkit dan bersatu untuk mempertahankan Islam. Sudah tentu seruan kebangkitan ini menuntut kepada pengorbanan yang tidak berbelah bahagi daripada anak muda Islam demi memartabatkan Islam dan membina Malaysia Sejahtera.

Dalam kesempatan ini, Dewan Pemuda PAS Malaysia ingin mengucapkan Selamat Menyambut Hari Raya Idul Adha. Semoga kita terus istiqomah dalam melakukan pengorbanan #DemiIslam.

#DemiIslam

Ketua Pemuda
Dewan Pemuda PAS Malaysia