Home Kenyataan Media PAS Pulau Pinang

Projek tambak laut dibatalkan

213
SHARE

TAHNIAH ATAS KEJAYAAN PEMBATALAN KELULUSAN PENILAIAN IMPAK ALAM SEKITAR (EIA) BAGI PROJEK TAMBAKAN LAUT SELATAN PULAU PINANG (PSR)

Parti Islam Se-Malaysia (PAS) negeri Pulau Pinang mengucapkan tahniah dan syabas kepada semua komuniti nelayan atas kejayaan pembatalan kelulusan Projek Tambakan Laut Selatan Pulau Pinang (PSR) melalui rayuan yang difailkan oleh Ketua Unit Nelayan Sungai Batu Haji Zakaria bin Ismail pada 29 Julai 2019 di bawah seksyen 35 (1) (e) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (EQA 1974) di Jabatan Alam Sekitar (JAS).

Keputusan Lembaga Rayuan Alam Sekitar menyatakan bahawa kelulusan EIA bagi projek berkaitan pada 25 Jun 2019 adalah terbatal dan tidak sah, seterusnya, keputusan tersebut memberikan kemenangan serta kegembiraan besar kepada komuniti nelayan dan masyarakat Pulau Pinang yang mahukan pembangunan mampan.

Pembatalan EIA projek ini membuktikan bahawa keadilan dan kebenaran dapat ditegakkan tanpa campur tangan politik, malahan Lembaga Rayuan bebas membuat keputusan yang telus, matang dan adil.

Persoalannya, adakah wujud campur tangan politik semasa zaman pemerintahan Pakatan Harapan (PH), iaitu Menteri DAP YB Yeo Bee Yin seolah-olah membiarkan EIA ini mendapat kelulusan sebelum Rancangan Struktur Negeri Pulau Pinang 2030 (RSNPP2030) diperkenankan oleh Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua (YDP) Negeri Pulau Pinang pada ketika itu ?

Adakah kerajaan negeri Pulau Pinang yang dipimpin oleh DAP selepas ini hanya pandang sebelah mata dan pekakkan telinga atas nasihat undang-undang berkaitan isu-isu yang dipertimbangkan oleh Lembaga Rayuan ?

Oleh itu, PAS Pulau Pinang menggesa Kerajaan Negeri Pulau Pinang segera membatalkan terus projek ini demi kelestarian eko-sistem dan sumber rezeki nelayan dan kami akan sentiasa menyokong penuh komuniti nelayan serta masyarakat mampan Pulau Pinang untuk membantah projek ini sekiranya ia tetap mahu diteruskan oleh kerajaan negeri selepas ini.

“Islam Memperkukuh Perpaduan”

“Rakyat Pulau Pinang Tolak PSR”

Ustaz Muhammad Fauzi Bin Yusoff
Pesuruhjaya PAS
Negeri Pulau Pinang