Home Berita PAS Kelantan

Projek pembangunan terkini di DUN Limbongan

127
SHARE

KOTA BHARU, 18 Jul: Pasir Puteh antara jajahan yang menerima pembangunan yang rancak kerana selain menerima pembangunan di Tok Bali dan pembinaan Stadium di Bukit Merbau, terdapat juga beberapa projek yang melibatkan kawasan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Limbongan.

Antara projek tersebut ialah cadangan pembesaran Pasar Siti Hajar yang berkeluasan 3.37 ekar yang dijangka siap pembinaannya hujung tahun ini.

Demikian ucapan Timbalan Menteri Besar YB Dato’ Mohd Amar Abdullah ketika menjawab persoalan yang diajukan oleh Ahli Dewan Undangan (ADUN) Limbongan, YB Mohd Nazlan Mohamed Hasbullah pada hari pertama Persidangan Kali Yang Kedua Bagi Tempoh Penggal Ke-5 Dewan Negeri Kelantan Ke-14 Tahun 2022, hari ini.

Dato’ Mohd Amar yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pentadbiran Awam, Pembangunan Wilayah, Kesejahteraan Rakyat Dan Integriti berkata, antara pembangunan lain yang dijangka siap pada hujung tahun ini juga ialah Taman Awam Bukit Gedombak yang berkeluasan 23 ekar yang dilengkapi dengan kompenan landskap kejur dan landskap lembut. “Taman awam ini akan menjadi satu-satunya taman bandar di jajahan Pasir Puteh,” katanya.

Seterusnya projek yang terbesar juga ialah pembinaan stesen dan jajaran ECRL di Mukim Padang Pak Amat dan Mukim Jeram yang bakal membawa penumpang dan kargo.

“Secara tidak langsung projek-projek sebegini bakal memberi impak besar dari aspek ekonomi, sosial dan fizikal di dalam DUN Limbongan,” ujarnya.