KUALA KRAI, 1 Jan: Ahli Parlimen Kuala Krai, YB Abdul Latif Abdul Rahman bersyukur menerima rezeki pembuka tahun 2022 dengan pembangunan beberapa projek di Kuala Krai yang beliau kemukakan kepada YAB Perdana Menteri sewaktu sidang parlimen Disember 2021.
Beliau juga berterima kasih kepada YAB Perdana Menteri yang menghantar wakilnya, Timbalan Pengarah Jabatan Pembangunan Negeri Kelantan (JPNK) ICU-JPM Khas ICU-JPM, Amri Ahmad melawat tapak projek yang akan dilaksanakan secepat mungkin. Projek bernilai lebih RM1 juta itu membabitkan semua DUN di Kuala Krai yang dapat menyelesaikan beberapa masalah penduduk terlibat.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Guchil, YB Hilmi Abdullah pula mengambil kesempatan mengucapkan terima kasih dan Selamat Tahun Baharu 2022 kepada YB Abdul Latif serta seluruh penduduk di Kuala Krai amnya dan DUN Guchil khasnya.
“Terima kasih kepada YB Kuala Krai dan kakitangan Pusat Khidmat Adun Guchil dan semua pihak yang telah membantu kami dalam menjaga kebajikan rakyat sepanjang tempoh PKP COVID-19 lalu. Semoga lembaran baharu tahun 2022 ini dapat memberikan kita hidup yang lebih ceria dan bahagia dalam bersama merealisasikan hasrat sebuah Keluarga Malaysia”, katanya.
Beliau turut mengundang para pelancong domestik dan antarabangsa berkunjung ke Kuala Krai – destinasi eco-pelancongan menarik yang baharu dinaiktaraf, amat sesuai dan berbaloi dinikmati bersama keluarga serta bersama-sama menjayakan kempen “Kelantanku Bersih”.