Home Berita PAS Kedah

Projek LRA : Kedah amalkan tender terbuka

396
SHARE

ALOR SETAR – Semua projek loji rawatan air (LRA) adalah dibuat secara tander terbuka menerusi Jabatan Kerja Raya (JKR) tanpa campur tangan oleh pihak kerajaan negeri.

Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor menyangkal pertikaian mengenai pemberian projek naik taraf LRA Bukit Selambau bernilai RM129.4 juta kepada Widad Builders Sdn Bhd (WBSB).

Isu ini dibangkitkan Ketua Pembangkang DUN Kedah, Datuk Ir Phahrolrazi Mohd Zawawi yang sebelum ini turut pernah membangkitkan isu seumpama terhadap projek pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP).

“Masa BN (Barisan Nasional) dulu iklan tander dah keluar, datang PH (Pakatan Harapan) depa batal kononnya nak buat kajian harga. Setahun lebih baru selesai kajian harga, keputusannya sama macam harga sebelumnya.

“Kemudian dibuka semula tander dan banyak syarikat masuk tander dikendalikan sepenuhnya oleh JKR sebagai pemilik projek. Ada dua jawatankuasa yang mengendalikan proses tander iaitu Jawatankuasa Penilaian dan Jawatankuasa Tander.

“Dua jawatankuasa ini dilantik oleh JKR mengikut tatacara perolehan dan tander kerajaan. Tiada org politik atau wakil rakyat dalam kedua-dua jawatankuasa itu. Sewaktu berlaku peralihan kuasa (dari PH kepada Perikatan Nasional), semua proses berkaitan dalam Jawatankuasa Penilaian dan Tender telah hampir selesai.

“Kerajaan baru hanya memohon supaya dipercepatkan prosesnya supaya ke semua pembinaan LRA dapat disegerakan. Tidak lebih dari itu. Kerajaan tidak pernah ambil tahu syarikat mana yang layak dan syarikat mana yang layak. Siapa yang masuk tander pun kita tidak ambil tahu. Bukan urusan kita.

“Bila keputusan keluar, dapatlah siapa yang dapat dan tak dapat, kita tak campurtangan selari dengan dasar kerajaan yang telus dan tiada campur tangan dalam urusan jabatan-jabatan yang berjalan mengikut ketetapan peraturan dan undang-undang yang berkuatkuasa,” jelas Sanusi.

Katanya, untuk keterangan lanjut pihak yang mempertikaikan boleh memperolehi penjelasan daripada Pengarah JKR Negeri atau agensi-agensi yang terbabit.

“Orang yang bangkitkan isu ni ada masuk tender ka tidak? Ataupun proksi mereka tidak menang tander? Itu masalah mereka, bukan masalah kerajaan negeri. Kalau tak puas hati, boleh lapor kepada SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) atau mana-mana agensi berkaitan.

“SADA (Syarikat Air Darul Aman) bukan pemilik projek LRA ini sebaliknya PH sewaktu berkuasa telah meletakkan JKR sebagai agensi penguasa atau pemilik projek. SADA tiada peranan atau kaitan dengan projek-projek ini walaupun end user kepada LRA ini ialah SADA.

“Inilah sebahagian kecelaruan keputusan PH sewaktu berkuasa di negeri ini. SADA ada memohon dilibatkan sebagai wakil penguasa dalam peringkat pembinaan kerana dalam JKR tak ada lagi pakar-pakar bahagian bekalan air apabila JKR Air dalam JKR telah dijumudkan apabila bekalan air di negeri-negeri dikorporatkan selari dengan kehendak Akta WSIA2006

Detail kena rujuk JKR yg menguruskan tander… saya tak terbabit,” tegas Sanusi. –