Home Berita PAS Kedah

Projek kapal LCS: Rakyat tuntut ketelusan sebenar

478
SHARE

Berkurang dari 6 kepada 5 unit, tetapi kos meningkat kepada RM11.2 bilion

SAYA mengambil maklum pengumuman terbaru dikeluarkan oleh syarikat Boustead Heavy Industrties Corporation Berhad (BHIC) di Bursa Malaysia yang menyatakan bahawa nilai keseluruhan kontrak pembinaan lima buah kapal Littoral Combat Ship (LCS) telah berubah kepada RM11.2 bilion berbanding RM9 bilion, iaitu penambahan sebanyak 24.4 peratus dari kos yang asal. Hal ini turut dipetik oleh pelbagai portal berita yang melaporkan bahawa Putrajaya menandatangani perjanjian baru dengan Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) yang akan menyambung semula projek kapal tempur pesisir (LCS) yang telah lama terhenti.

Kenaikan kos sebanyak RM2.2 bilion ini telah mencetuskan keprihatinan yang serius mengenai sumber dana tambahan yang digunakan, terutamanya apabila tidak ada peruntukan dalam Belanjawan 2023 dan tanpa kelulusan dari Parlimen. Jika kita mengambil perhatian kepada jumlah ini, ia tidak hanya mencerminkan jumlah kerugian yang ditanggung oleh kerajaan. Pada mulanya, perolehan kapal LCS direncanakan sebanyak 6 buah, tetapi kemudian dikurangkan menjadi 5 buah kapal mengikut pengesahan Panglima Tentera Laut pada Januari 2023.

Dengan itu, saya memperkirakan kerugian sebenar Kerajaan Malaysia melebihi RM3.7 bilion, sekiranya kos purata pembuatan sebuah kapal LCS pada permulaannya adalah sebanyak RM1.5 bilion. Jika kita membandingkan pernyataan tersebut dengan kos purata sebuah kapal LCS bagi Malaysia sebanyak RM2.24 bilion, terdapat perbezaan yang ketara. Jika dibandingkan, LCS milik Mesir serta UEA memakan belanja sekitar €375 juta (sekitar RM1.65 bilion pada kadar pertukaran semasa) bagi setiap kapal. Jadi, berdasarkan perbandingan tersebut, kos purata terkini bagi pembinaan sebuah kapal LCS bagi Malaysia sebanyak RM2.24 bilion (RM11.2 bilion bagi 5 buah kapal) adalah lebih tinggi daripada kos yang disebutkan dalam pernyataan. Sebagai rekod, perolehan tiga kapal Kapal Misi Pesisir (LMS) peringkat kedua pula dijangka memerlukan peruntukan sebanyak RM2.4 bilion seperti yang diumumkan oleh Menteri Pertahanan pada Februari 2023. Maka, adalah lebih baik peruntukan tambahan ini digunakan bagi pembelian LMS dengan kadar segera.

Hal ini menggambarkan satu keadaan yang sangat membingungkan dan mencetuskan tanda tanya mengenai tadbir urus kewangan negara. Adakah kerajaan mengambil kira implikasi kewangan jangka panjang dan kesan negatif yang timbul akibat peningkatan kos yang terlalu besar ini? Rakyat Malaysia berhak mengetahui dengan tepat bagaimana sumber kewangan negara digunakan dan mengapa keputusan yang membebankan ini diambil tanpa kebenaran Parlimen.

Kegagalan dalam menguruskan projek ini dengan telus dan bertanggungjawab hanya akan membawa kepada kehilangan dana yang seharusnya digunakan untuk keperluan yang lebih penting dan berkesan bagi rakyat.

Rakyat Malaysia masih menanti dengan gelisah tindakan susulan yang diambil oleh kerajaan berkenaan dengan kes pendakwaan sebelum ini, serta keberadaan dana hasil kutipan cukai yang telah ‘menghilang’ tanpa jejak. Rakyat secara keseluruhannya masih menanti jawapan mengenai siapa yang sebenarnya harus dihadapkan ke muka pengadilan dan bertanggungjawab atas perbuatan ‘pencurian’ dana negara dalam projek kapal tempur pesisir (LCS) yang telah berjalan sejak tahun 2013.

Pertanyaannya, adakah syarikat Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) akan terlepas dari akibat kegagalan mereka apabila gagal memenuhi tarikh akhir penyiapan dan penghantaran kapal LCS yang pertama pada tahun 2019, serta tidak menerima sebarang tindakan undang-undang sebagai akibat dari kegagalan tersebut. Keadaan ini menimbulkan keraguan mengenai integriti dan keadilan sistem perundangan negara, di mana pihak berkuasa nampaknya gagal untuk mengambil tindakan tegas terhadap pihak-pihak yang terlibat dalam penyelewengan dana negara.

Rakyat Malaysia berhak mendapatkan jawapan yang jelas dan kepastian bahawa keadilan akan ditegakkan tanpa pandang bulu, tanpa mengira kedudukan atau pihak yang terlibat dalam skandal yang melibatkan dana negara yang begitu besar.

Keputusan untuk meneruskan projek pembinaan kapal LCS, seperti yang diumumkan di Bursa Malaysia, menggambarkan keengganan dan kekurangan ketelusan pihak kerajaan dalam menguruskan sumber kewangan dengan penuh tanggungjawab.

Projek pembinaan kapal LCS yang dijangkakan menjadi projek paling mahal di dunia, sekiranya dilaksanakan, menjadi bukti kegagalan kerajaan dalam menetapkan keutamaan yang betul dan mengagihkan dana dengan bijak. Langkah ini hanya akan memperburuk krisis kewangan negara, menambah beban hutang rakyat, dan merugikan kepentingan jangka panjang negara. Keadaan ini menggambarkan kelemahan serius dalam pengurusan kewangan negara dan menimbulkan keraguan terhadap integriti kerajaan.

Kerajaan perlu segera mengubah perolehan kewangan kerajaan yang lebih telus dan jujur serta mengambil langkah-langkah drastik untuk mengelakkan kebocoran besar yang lebih teruk dalam dana kewangan negara.

YB AHMAD TARMIZI SULAIMAN

Ahli Parlimen Sik

Ahli PAC

Pengerusi Perhubungan PERIKATAN NASIONAL Parlimen Sik