Home Berita PAS Kelantan

Program ‘Teguh Bersama di Atas Satu Pentas’ cungkil bakat mahasiswa

78
SHARE

KOTA BHARU, 12 September: Dalam membangunkan dasar Merakyat Membangun Bersama Islam (MMBI), Kerajaan Negeri Kelantan berperanan menyalurkan hiburan kepada masyarakat mengikut syarat-syarat yang digaris berlandaskan syariat Islam.

“Program yang julung kali diadakan ini sangat bagus untuk menyerlahkan bakat-bakat seni warisan seperti dikir barat, puisi, pidato dan nasyid dalam kalangan mahasiswa di samping dapat meningkatkan keyakinan dalam diri mereka.”

Demikian menurut Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan Masyarakat, Kebudayaan, Warisan dan Pelancongan Negeri Kelantan YB Dato’ Mejar (B) Md Anizam Ab Rahman semasa merasmikan Program ‘Teguh Bersama di Atas Satu Pentas’ di Dewan Johor Kolej Universiti Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS), Nilam Puri, hari ini.

Sementara itu, Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) KIAS, Dr Linamalini Mat Nafi berkata, selain menjadi platform kepada penghayatan kemerdekaan, objektif penganjuran program tersebut juga ialah untuk mengembangkan bakat mahasiswa KIAS dan Institusi Pengajian Tinggi (IPT) jemputan sekitar Kota Bharu dalam bidang seni, bahasa, sastera dan budaya.

Program tersebut ialah anjuran Pusat Khidmat Akademik (PKA) dan HEPA,KIAS di bawah pengurusan Kelab Seni Sastera dan Budaya (KSSB) dan Kelab Pengucapan Umum (KPU) dengan kerjasama Kerajaan Negeri Kelantan, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Kelantan, Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Timur (DBPWT), dan Nusa Centre.

Acara pembukaan pentas seni itu turut diserikan dengan persembahan memukau daripada Kumpulan Kesenian JKKN Kelantan dan teater Tok Janggut daripada Kumpulan Jihad Putera Jeram Majlis Daerah Pasir Puteh (MDPP).