KOTA BHARU, 26 Jul: Sidang Assabiqun SeMalaysia Kelantan bakal mengadakan program kefahaman ilmu perancangan harta menurut perspektif Islam.
Pengerusinya, Dato’ Abdullah Ya’kub berkata, aktiviti dalam bentuk jelajah kepada 14 kawasan parlimen di negeri itu akan dibuat dalam masa terdekat.
Katanya, dalam tempoh tiga bulan semua pemimpin kawasan sudah diberikan pendedahan mengenai kepentingan berpandukan hukum syarak.
“Kita bergerak dengan mengambil langkah cuba menyelesaikan isu ini, jadi kita telah pun selesai mengadakan persiapan untuk jerayawara (roadshow) di negeri dan negara.
“Selepas ini urusan yang tidak dapat diselesaikan akan dapat dirungkai dalam masa sama boleh membantu kerajaan agar tidak terbeban dengannya,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Mesyuarat Sidang Assabiqun SeMalaysia di sini, pagi tadi.
Turut hadir, Timbalan Pengerusi Sidang Assabiqun Kelantan, Md Ashaari Mamat; Setiausahanya, Dr Wan Nik Wan Yussof dan Ketua Assabiqun Kawasan.
Taklimat penerangan itu diketuai Dato’ Fauzi Haron dan Dato’ Abdul Hadi Awang Kecil.
Selain itu usaha ini katanya turut dibantu oleh sebuah entiti yang berpengalaman dalam pengurusan harta pusaka iaitu Hans Legasi Resources.
Menurutnya, pada tahun 2016 dianggarkan terdapat lebih RM70 bilion harta beku yang tidak dapat dipindah milik disebabkan masalah harta pusaka.
“Masih ramai rakyat tidak tahu ke mana hendak pergi untuk menyelesaikan urusan harta pusaka mereka. Maka kita telah buka ruang ini untuk rakyat dengan menyalurkan maklumat.
Perkara ini, boleh cari kita. Assabiqun kawasan atau negeri diminta memaklumkan dan kita cuba selesaikan,” katanya.