25 Disember 2018
Oleh: Basith Abdul Samad
KINABATANGAN: PAS Kawasan Kinabatangan dengan kerjasama Dewan Pemuda dan Dewan Muslimat bersama masyarakat tempatan telah berjaya melaksanakan Program ‘Kembali Ke Sekolah’ atau juga dikenali sebagai ‘Back To School’ bertempat di Servay Jaya, Batu 8, Bukit Garam pada hari ini.
Ini merupakan satu program amal PAS Kawasan Kinabatangan bertujuan untuk membantu persediaan pelajar-pelajar yang kurang berkemampuan untuk kembali ke sekolah di samping mengeratkan hubungan silaturahim.
Program yang dihadiri oleh Yang Di-Pertua PAS Kawasan Kinabatangan, Sairin Muyang ini, memberi tumpuan kepada anak-anak yatim dan anak-anak golongan yang memerlukan di kawasan ini.
Turut hadir bagi memeriahkan program ini Penyelia Dun Kuamut, Jumaidin Lakalla yang bersama dengan para pelajar membeli dan menyerahkan sumbangan bernilai RM100 yang terdiri daripada barang kelengkapan persekolahan merangkumi uniform sekolah, kasut, stokin, beg sekolah dan juga alat tulis.
Hasil maklum balas daripada ibu bapa dan para pelajar, mereka sangat gembira dan berterima kasih atas usaha yang dilakukan bagi meringankan beban sebelum bermulanya sesi persekolahan tahun 2019.
PAS Kawasan Kinabatangan mengucapkan jutaan terima kasih dan setinggi-tinggi penghargaan di atas sumbangan para penaja, rakan kerjasama, para sukarelawan serta berbagai pihak yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung dalam menjayakan program ini.