Home Berita PAS Johor

Produk Muslim : Mencari Yang Halal Merupakan Satu Kewajipan

2961
SHARE

Pena Tebrau

Tebrau, 21 Feb – Kempen “Beli/Sokong Produk Muslim” telah dijalankan dan masih diteruskan demi mengukuhkan ekonomi umat Islam umumnya di Malaysia selain menyediakan produk makanan dan minuman yang Halalan Toyibah seperti yang digariskan oleh syara’.

Allah SWT menjelaskan perkara tersebut di dalam Surah Al-Baqarah, ayat 168 yang bermaksud “Wahai sekalian manusia! makanlah dari apa yang ada dibumi yang halal lagi baik; dan janganlah kamu ikut jejak langkah syaitan kerana sesungguhnya syaitan itu ialah musuh yang terang nyata bagi kamu.”.

Perkara berkaitan makanan dan minuman sering dibahas oleh para asatizah mahupun pakar makanan/minuman kerana ia penting bagi penghasilan tenaga dan demi kesihatan tubuh badan dalam menjalani kehidupan seharian. Namun, Islam amat menitik beratkan soal mencari yang halal, kerana ia berkait rapat dengan hati.

“Sesungguhnya yang halal itu terang (jelas), dan yang haram itu terang, dan di antara keduanya pula terdapat perkara-perkara yang syubhah (yang tidak terang halal atau haramnya) yang tidak diketahui oleh manusia. Orang yang memelihara dirinya daripada perkara syubhah itu adalah seperti orang yang melindungi agama dan kehormatannya dirinya. Orang yang tergelincir ke dalam perkara syubhah akan masuk ia ke dalam perkara yang haram laksana seorang pengembala dipinggir sebuah tempat larangan, yang akhirnya lalai dan masuk ia ke dalam tempat larangan itu. Adapun bagi setiap raja ada sebuah kawasan larangan dan tempat larang Allah itu adalah segala yang diharamkan. Ketahuilah pada setiap jasad itu seketul daging jika ia baik, baiklah seluruh jasad itu dan sekiranya ia rosak maka rosaklah seluruh jasad itu. Itulah hati.” (HR Bukhari & Muslim)

Menyambut baik saranan dan kempen ini, PAS Kawasan Tebrau melalui Lujnah Pembangunan Ekonomi & Pengurusan Harta PAS (LPE) telah menjenamakan semula perniagaan kecil-kecilan produk Muslim/Bumiputera dan sedang mengembangkannya atas nama Sinar Dhuha Tebrau Mart (SDTM). Gerak-kerja dan aktiviti pembekalan, pengedaran dan penjualan produk ini dilaksanakan oleh satu (1) pengurusan yang dikenali sebagai “Tebrau Entrepreneur” yang diketuai oleh Encik Mohd Yasin Bin Taib.

Bervisikan “Membuka rangkaian kedai runcit di bawah LPE di kawasan Tebrau, Johor”, pasukan ini akan menyempurnakan Misi “Membekalkan produk-produk muslim/bumiputera bagi memenuhi permintaan pengguna.”. Demi merealisasikan Misi dan Visi, pasukan ini meletakkan dua (2) objektif utama iaitu; (1) Mempelbagaikan produk dari jenama keluaran syarikat muslim/bumiputera; (2) Membekalkan kuantiti stok yang banyak bagi menampung permintaan pasaran dan pelanggan. Bagi memudahkan urusan perniagaan, pasukan ini memecahkan kepada 4 zon utama dan melantik ajen bagi setiap zon.

“Di dalam memperkasakan jemaah Islam, kita perlu memperkukuhkan ekonomi kerana kemajuan dari sudut politik berkait rapat dengan sumber ekonomi. Alhamdulillah kita mempunyai jumlah ahli yang ramai, disamping jumlah ummat Islam yg besar yang boleh membantu kita dalam meningkatkan ekonomi.”

“Saya yakin sebagaimana mereka boleh menerima PASTI dan SRITI, jika sekira kena dengan caranya mereka akan membeli produk kita dan menyokong usaha kita dengan tidak berbelah bagi”. Demikian respon yang diberikan oleh Yang Berbahagia, Pesuruhjaya PAS Negeri Johor, Al-Fadhil Ustaz Abdullah Husin.

“Tahniah kita ucapkan diatas kesungguhan LPE mewujudkan perniagaan 100% halal, malahan bukan sahaja halal tetapi melepaskan satu kefarduan bagi umat. Maka sokongan dan dokongan dari semua pihak amat diperlukan bagi menjana dan memperkukuhkan ekonomi ummah”, ulas YDP PAS Kawasan Tebrau, Al-Fadhil Ustaz Khirul Muntanazar Ismail.

Kegiatan yang diusahakan oleh LPE ini sejajar dengan anjuran Rasulullah SAW dalam sabdanya yang bermaksud: “Mencari yang halal itu adalah wajib bagi setiap orang Islam”. (HR Ibnu Abdil-Barr) kerana Rasulullah SAW berpesan dalam sabdanya yang bermaksud: “Semua daging yang tumbuh dari harta yang haram, maka api neraka adalah lebih utama menyiksanya”. (HR At-Tirmidzi)