Home Berita PAS Melaka

Dari kaca mata PRO : Media dan Persepsi

1850
SHARE

Oleh : Zill Qayyim

APABILA berbicara mengenai media, sering kali terdetik di benak pemikiran kita mengenai perlunya kehadiran mereka dalam sesebuah penganjuran program atau majlis bagi memberi hebahan atau menyampaikan maklumat tersebut kepada orang ramai. Tetapi adakah anda tahu bahawa media sebenarnya telah membentuk persepsi anda selama ini?

Sesebuah agensi media tersebut juga mempunyai pelbagai latar belakang iaitu ada antara agensi ini lebih menjurus kepada portal berita di alam maya dan tidak kurang juga konvensional media seperti surat khabar dan stesen televisyen yang mana peranan mereka ini pula mengambilkan pendekatan one way communication baik dalam aspek pembangunan, politik, ekonomi dan sebagainya.

Walau apapun latar belakang dan peranan yang mereka mainkan, kita perlu tahu bahawa media merupakan pihak yang mampu membentuk persepsi seseorang malah merupakan saluran paling berkesan dalam menyampaikan maklumat SAHIH kepada masyarakat.

Oleh yang demikian, program yang dapat mengeratkan silaturahim antara pihak media serta pihak berkepentingan seperti agensi kerajaan, jabatan, badan-badan berkanun malah pihak Badan Bukan Kerajaan (NGO) wajar diadakan bagi mewujudkan jalinan erat dan kukuh dengan pihak media. Pada saat ini jugalah kemahiran seorang pengamal perhubungan awam amat diperlukan!

Kembali semula mengenai soal pembentukan persepsi, sudah pasti media merupakan entiti yang bertanggungjawab dalam memastikan keutamaan maklumat mana yang perlu dititik berat untuk disampaikan kepada masyarakat.
Berdasarkan penemuan Maxwell McCombs dan Donald Shaw pada tahun 1968 melalui pilihan raya presiden Amerika Syarikat menunjukkan bahawa perkara yang diangkat oleh media sebagai _most critical issues_ merupakan perkara utama ada pada pemikiran rakyat Amerika ketika itu sekali gus melahirkan Agenda Setting Theory.

Perkara ini amat boleh dibuktikan melalui senario yang berlaku di Malaysia seperti isu-isu semasa (seperti isu pencemaran air bersih di Selangor) yang diangkat oleh pihak media telah mewarnai banyak ciapan di laman sosial oleh masyarakat Malaysia meskipun ada antaranya tidak terkena tempias gangguan air ini atau yang berada di luar Negeri Selangor.

Menyelami aspek pembentukan persepsi ini, media arus perdana dewasa ini nampak kurang berkesan dalam pembentukan persepsi jika dibandingkan dengan media-media baharu seperti MalaysiaKini, Harakah Daily dan pelbagai lagi. Ingin tahu lebih lanjut? Kita sambung pada entri yang akan datang!

Penulis merupakan Pengamal Perhubungan Awam


Wartawan Rakyat Melaka (WARM)