KOTA BHARU, 11 Dis: Timbalan Menteri Besar, YB Dato’ Mohd Amar Abdullah yakin ada muka baharu bakal diketengahkan menjelang tiba proses Pilihan Raya Negeri (PRN) pada tahun hadapan sebelum tempoh penggal Dewan Undangan Negeri akan berakhir pada Mei 2023.
“Mengikut kebiasaan pengalaman sebelum ini, 30 peratus daripadanya akan ditampilkan muka baharu. Tetapi sehingga hari ini belum ada lagi keputusan yang dibuat termasuklah senarai nama calon yang akan bertanding nanti. Kita percaya dengan perkembangan politik semasa yang ada hari ini, pembubaran DUN akan berlaku lebih awal daripada Mei, sebelum DUN tersebut terbubar dengan sendiri,” katanya pada majlis kesyukuran DUN Panchor, semalam.
Sementara itu, sebanyak enam buah negeri yang masih belum mengadakan PRN iaitu Kelantan, Terengganu, Kedah, Selangor Negeri Sembilan dan Pulau Pinang kerana mengambil kira masalah kesukaran untuk keluar mengundi memandangkan sudah memasuki musim tengkujuh.
Dalam perkembangan yang sama tambahnya, dalam membuat sebarang keputusan untuk membubarkan DUN, hendaklah juga mengambil kira semua faktor termasuklah situasi Monsun Timur Laut (MTL) semasa yang dijangka akan berakhir pada Februari depan.
“Selain MTL yang sedang kita hadapi sekarang, faktor kos ulang alik pengundi yang tinggal di luar negeri juga diambil kira, kerana kita nak memastikan mereka dapat pulang dengan selamat untuk menunaikan tanggungjawab,” jelasnya.