Home Berita PAS Melaka

Rencana | Politikus oportunis hilang taring kerana darurat

234
SHARE

Oleh IBNU JANIE

KITA sekali lagi melalui total lockdown seperti yang kita pernah lalui pada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 dahulu. Dan seperti yang kita semua tahu ia pasti melibatkan kesan ekonomi yang sangat besar kepada kerajaan dan rakyat.

Pada Isnin lepas Perdana Menteri Malaysia sudah pun mengumumkan pakej rangsangan PEMERKASA Tambahan untuk Perintah Kawalan Pergerakan 3.0 yang melibatkan nilai RM40 bilion dengan suntikan fiskal sebanyak RM5 bilion.

Oleh kerana jumlah perbelanjaan yang telah diperuntukan untuk mengatasi perkara ini semenjak awal penularan wabak Covid-19 ini adalah besar, sudah pasti ia haruslah benar-benar bersasar iaitu kepada yang benar-benar terjejas sahaja.

Jika kita imbas semula pada masa pembentangan Bajet 2021 hujung tahun lepas parti-parti politik sewenang-wenangnya mengugut kerajaan supaya menurut tuntutan mereka kononnya untuk membela rakyat. Namun banyak perkara dalam tuntutan mereka itu sebenarnya akan memberi kesan yang buruk dalam jangka panjang kepada negara dan rakyat sendiri.

Betapa gentingnya situasi pada masa itu apabila akhirnya Bajet 2021 berjaya diluluskan di Dewan Rakyat di peringkat dasar. Namun cabaran menanti pula pada kelulusan di peringkat jawatankuasa. Parti-parti pembangkang dirayu agar tidak berpolitik dalam saat genting itu.

Pembangkang berpolitik juga

Namun ketamakan mereka terhadap kuasa dan mahu jadi popular di mata rakyat menjadikan mereka hilang pertimbangan. Bukan sahaja pembangkang, malah ada juga dalam kalangan Ahli Parlimen kerajaan juga tumpang sekaki mengugut untuk mengundi tidak meluluskan Bajet 2021 di peringkat Jawatankuasa sekiranya tuntutan mereka tidak dipenuhi.

Antaranya ahli-ahli politik populis ini mengugut jika kerajaan tidak memansuhkan kriteria kelayakan memohon i-Sinar dan membenarkan semua orang mengeluarkannya maka mereka tidak mahu menyokong Bajet 2021. Mereka juga menuntut moratorium automatik tanpa syarat untuk semua orang.


Gambar hiasan (kredit foto : Google)

Pada masa itu yang mereka ratibkan ialah ‘semua rakyat tengah susah… semua rakyat tengah susah’. Iya, semua orang tahu rakyat tengah susah. Tapi adakah sebenarnya dalam berhadapan krisis Covid-19 ini ‘semua’ rakyat tengah susah? Hakikatnya tidak.

Realitinya kakitangan kerajaan sedikit pun pendapatan mereka tidak terjejas dengan Covid-19. Termasuklah kakitangan badan-badan berkanun dan agensi kerajaan. Sebahagian besar syarikat berkaitan kerajaan (GLC) juga tidak membuang pekerja akibat Covid-19.

Mereka yang bekerja di kilang-kilang berasaskan makanan seperti kilang roti tidak terjejas dengan Covid-19 malah mereka mendapat jualan dan keuntungan yang luar biasa. Itu belum lagi mereka yang bekerja di kilang-kilang atau syarikat-syarikat berkaitan kesihatan yang memang mendapat ‘rahmat besar’ daripada krisis kesihatan ini.

Jangan terkejut, pelabur-pelabur yang aktif bermain saham di bursa saham ramai yang membuat untung besar apabila banyak kaunter-kaunter berkaitan kesihatan yang membuat keuntungan luar biasa. Ada yang harga sahamnya meningkat sehingga 20 kali ganda!

Apa yang penulis cuba sampaikan ialah mereka yang sibuk berjuang agar semua rakyat harus dibantu kerana semua rakyat tengah susah adalah sesuatu yang tidak realistik dan hanya bersifat populis. Dan ia boleh merosakkan sistem ekonomi.

Dan akhirnya pengeluaran i-Sinar dibenarkan tanpa syarat. Maka sesiapa sahaja boleh mengeluarkannya berdasarkan syarat baki minima yang ditetapkan KWSP. Dan pengeluaran besar-besaran ini memberi kesan bukan sahaja kepada negara malah kepada masa depan pencarum itu sendiri.

Setakat 14 Mac, 2021, pengeluaran i-Sinar sebanyak RM52.48 bilion telah diluluskan kepada 5.94 juta pemohon. Hampir 30 peratus daripada ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) telah mengeluarkan wang simpanan persaraan mereka di dalam Akaun 1 ketika pandemik Covid-19 melanda negara sejak Mac tahun lalu.

Apabila RM50 bilion wang KWSP dikeluarkan termasuk oleh mereka yang sebenarnya tidak terjejas akan menyebabkan kerajaan terpaksa menjual sesetengah pegangan pelaburan KWSP pada syarikat-syarikat strategik untuk mendapatkan tunai. Itu kesan pada KWSP.

Bagi yang memang terjejas, iya, mereka wajar mengeluarkannya. Tapi bagaimana dengan sesetengah mereka yang tidak terjejas tetapi mengeluarkannya juga? Mereka mungkin akhirnya membelanjakannya pada yang tidak perlu dan akhirnya tinggal sedikit sahaja simpanan yang tinggal untuk hari tua mereka.

Ahli politik bimbang dikecam

Di zaman media sosial ini memang tidak ramai ahli politik yang berani menyatakan sesuatu pahit tetapi memberi kebaikan jangka panjang kepada rakyat.

Mereka tidak akan berani mengambil risiko mempertahankan idea yang bersifat pahitnya ubat tetapi ia penawar kerana bimbang dikecam di media-media sosial.

Lihat sahaja apa berlaku pada Ahli Parlimen Pasir Mas, YB Ustaz Ahmad Fadhli Shaari yang mempertahankan moratorium bersasar semasa pembentangan Bajet 2021 hujung tahun lepas. Beliau dikecam teruk walau pun hakikatnya apa yang diperkatakan beliau adalah penuh tanggungjawab, praktikal dan realistik.

Sebenarnya tidak ada yang pelik dengan idea ‘bersasar’ ini. Konsepnya mudah, yang terjejas kita tolong, yang tidak terjejas tidak perlu. Apa yang zalimnya dengan konsep ini?

Adakah semua wakil rakyat perlu memberi setiap bulan dua kampit beras kepada keluarga seorang penarik beca yang miskin dan juga kepada keluarga seorang pengarah sebuah jabatan kerajaan yang duduk di banglo dan ada kereta rasmi Proton Perdana? Eh, pakai otaklah!

Kerajaan pada masa ini yang diperintah melalui Ordinan Darurat perlu menggunakan peluang yang ada untuk bertindak dengan wajar dan mengambil kira masa depan rakyat dan negara.

Pada masa ini kerajaan nampaknya lebih selesa membuat keputusan yang benar-benar bertanggungjawab tanpa diugut atau didesak oleh politikus oportunis ini kerana adanya Ordinan Darurat ini.

Biar keputusan itu pahit tetapi akhirnya menjadi ubat yang mujarab. Berbanding politikus oportunis yang suka memberi gula-gula yang akhirnya menjadi racun kepada rakyat dan negara.

Jadi kerajaan ini umpama jadi ibu dan bapa. Mungkin anak kita mahukan motosikal kerana mahu merempit. Jika kita mahu menggembirakan mereka dan memberi sahaja apa yang mereka mahu maka kita mungkin lihat mereka menderita hilang anggota badan atau mati kemalangan.

Seorang ibu bapa kena berfikir lebih jauh daripada cara anak-anak mereka berfikir. Ada perkara yang mungkin tidak menggembirakan mereka namun ia baik untuk masa depan mereka walau pun mereka tidak tahu dan marah dengan tindakan kita sekarang.

Penulis adalah Ketua Editor CPP Berita PAS, Jabatan Penerangan PAS Pusat dan Editor CPP Berita PAS Melaka

Rencana ini juga disiarkan di Harakah cetak pada 4 Jun 2021.