Home Berita PAS Johor

Politik Malaysia stabil jika UMNO kurang majoriti – MB Kedah

665
SHARE

Oleh Nazirul Munir

Tebrau : Formula untuk melihat kestabilan politik di Malaysia dan negeri-negeri seluruh negara adalah bila kerusi UMNO kurang.

Demikian dinyatakan oleh Menteri Besar Kedah, YAB Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor dalam majlis pelancaran jentera pemuda Perikatan Nasional (PN) sempena PRN Johor di Taman Sri Wangsa, Parit Besar, Sri Gading, malam tadi.

“Kami PAS,Bersatu,Barisan Nasional buat kerajaan daripada hari pertama membentuk kerajaan pada 17 Mei 2020 sampai ke harini kerajaan Kedah adalah kerajaan paling stabil di Malaysia.

“Di Melaka, UMNO kerusi banyak, akhirnya dia khianat kawan di sendiri, tumbang Melaka. Kerusi dia di sini (Johor) pun banyak juga, tumbang kerajaan ni dia sendiri yang tumbangkan,” ujar beliau.

Tambah Sanusi yang juga merupakan pengarah pilihan raya PAS pusat, pilihan raya negeri dibuat di saat rakyat dalam kesusahan.

“Pakatan Harapan (PH) lagi bahaya, 22 bulan sahaja dengan panasnya antara kaum cina, melayu, india. Tebalnya cauvanisma dikalangan pemimpin DAP dengan mempertikaikan dasar ekonomi baru, mempertikaikan hak keistimewaan orang melayu.

“Kita (rakyat) kena hantar signal yang betul kepada Malaysia dalam PRN Johor ini. Signal yang perlu kita hantar ialah kleptokrasi, korupsi dan janji palsu ditolak di Johor,” tambah beliau.

Majlis pelancaran yang dirasmikan oleh Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, YB Ahmad Fadhli Shaari turut dihadiri Timbalan-timbalan Ketua Ketua Pemuda PN, Senator Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, Wong Chia Zhen dan Afnan Hamimk Dato’ Taib Azamudden, Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Johor, Ahmad Nawfal Mahfodz, serta pimpinan pemuda PAS, ARMADA dan Gerakan.

Sementara itu Pengerusi SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh ketika sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas SPR Berkaitan PRN Johor ke-15 di sini pada Rabu mengumumkan bahawa penamaan calon ditetapkan pada 26 Februari, mengundi awal pada 8 Mac sementara pembuangan undi adalah pada 12 Mac.

DUN Johor dibubarkan secara rasmi pada 22 Januari lepas dengan perkenan daripada Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar selepas baginda menerima mengadap Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad berkaitan perkara itu di Istana Bukit Serene, Johor Bahru pada hari yang sama.