Home Kenyataan Media PAS Perlis

PN, PAS Perlis rakam terima kasih kepada Muhyiddin, Kabinet PN

153
SHARE

KENYATAAN MEDIA
PERIKATAN NASIONAL PERLIS DAN PAS NEGERI PERLIS RAKAM UCAPAN TERIMA KASIH KEPADA YAB TAN SRI MUHYIDDIN MOHD YASIN DAN SELURUH JAMAAH MENTERI KABINET PERIKATAN NASIONAL

Segala puji bagi Allah, Rabb yang memelihara sekelian alam dan selawat keatas baginda Rasulullah SAW.

Bagi pihak Perikatan Nasional Negeri Perlis dan Badan Perhubungan PAS Negeri Perlis, saya merakamkan ucapan terima kasih kepada Mantan Perdana Menteri Malaysia Tan Sri Muhyiddin Mohd Yasin kerana telah berjaya mengemudi bahtera Perikatan Nasional dalam meneraju kepimpinan negara selama ini.

Meskipun perletakan jawatan YAB Tan Sri dan seluruh jemaah menteri agak mengejutkan seluruh rakyat Malaysia, kejayaan demi kejayaan dalam memulihkan negara daripada kerosakan yang ditinggalkan oleh kerajaan Pakatan Harapan terdahulu amatlah membanggakan meskipun hanya sempat menerajui kerajaan selama lebih kurang 18 bulan.

Ternyata, segenap lapisan rakyat masih berdukacita atas apa yang berlaku memandangkan Pelan Pemulihan Negara yang digagaskan oleh YAB Tan Sri sudah mula menampakkan sinarnya.

Kejayaan demi kejayaan yang dicatatkan, antaranya Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) semakin menunjukkan kejayaan dengan mencatatkan jumlah vaksinasi harian antara yang tertinggi di dunia di samping pakej-pakej rangsangan ekonomi yang dilaksanakan yang kembali merancakkan ekonomi negara, membuktikan bahawa apa yang dijanjikan oleh kerajaan pimpinan YAB Tan Sri bukanlah suatu retorik atau janji kosong yang bertujuan mengaburkan pandangan rakyat.

Kejujuran, kecekalan serta ketenangan YAB Tan Sri dalam menghadapi krisis pandemik, ekonomi dan tekanan politik membuktikan kualiti kepimpinan YAB Tan Sri amatlah tinggi.

Kami mendoakan agar YAB Tan Sri terus dikurniakan kesihatan dan kekuatan untuk terus berada di persada politik tanah air bagi menabur khidmat bakti kepada rakyat dan tanahair yang tercinta ini. Semoga YAB Tan Sri dikurniakan kekuatan, petunjuk dan rahmat dari Allah swt.

Kami juga mendoakan semoga segala khidmat bakti yang telah dicurahkan oleh YAB Tan Sri dan seluruh jemaah menteri kepada negara dan rakyat selama ini dikira sebagai amal soleh di sisi Allah SWT.

YB MOHD. SHUKRI RAMLI
Pengerusi Perikatan Nasional Negeri Perlis,
Pesuruhjaya PAS Negeri Perlis
17 Ogos 2021 | 8 Muharram 1443H