Oleh NIK AZMAN NIK MUSTAFA
TUMPAT, 15 Jun: Penguatkuasaan prosedur operasi standard (SOP) sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) tidak menjejaskan aktiviti dan pendapatan pekebun kecil di sini.
Razali Awang, 57, pekebun sayur yang tinggal di Kampung Talak memberitahu, kerjanya sebagai pekebun berjalan seperti biasa kerana tidak banyak berurusan dengan orang ramai dalam tempoh ini tersebut. Cuma kebebasan untuk bergerak seperti biasa agak terhad.
“Kerja sendiri seperti ini lebih selamat daripada risiko jangkitan virus COVID-19 kerana kita berada jauh daripada aktiviti orang ramai.
“Pagi dan petang saya berada di kebun, cuma berurusan dengan pemborong yang datang pada sebelah petang mengambil sayur. Bagi mendapatkan barangan keperluan dapur pula, saya membeli di kedai-kedai berhampiran di sekitar kampung ini,” katanya yang mengusahakan penanaman sayur di tanah miliknya sendiri.
Berhubung dengan pasaran barangan, beliau yang sudah lama berpengalaman dalam bidang pertanian dan penternakan berkata, hal pasaran tiada masalah kerana sayurnya tetap dibeli pemborong.