Home Berita PAS Johor

PKPD Johor : STBC Pas Johor redah zon PKPD demi sampaikan bantuan

208
SHARE

 

Johor Bahru, 15 Jun : PAS Johor telah pun melaksanakan tugas untuk membantu rakyat negeri Johor yang terlibat dengan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) sejak Tabung Bencana Covid PAS dilancarkan pada 1 Jun 2021 yang lalu.

Setiausaha Sekretariat Tabung Bencana Covid (STBC) PAS Johor, Mohd Sanusi Mat Yah menyatakan STBC yang dianggotai oleh Khidmat Malaysia, Lajnah Kebajikan, Lajnah Kesihatan dan beberapa lajnah yang lain serta beberapa Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) telah berganding bahu dan tenaga bagi memastikan sumbangan dapat disampaikan kepada mereka yang terlibat dan terkesan dengan bencana ini.

Menurut beliau, di Johor sahaja setakat hari ini terdapat empat kawasan yang terlibat dengan PKPD iaitu Felda Kahang Timur dan Ladang Tereh Mill yang terletak di dalam Parlimen Semberong, Felda Redong di Parlimen Sekijang dan Felda Inas di Parlimen Kulai.

Selain dari Felda Kahang Timur yang telah bebas daripada PKPD, kawasan yang lain masih lagi berada di dalam kawalan pergerakan ini.

STBC Negeri Johor telah pun turun ke Felda Kahang Timur pada 10 Jun 2021 yang mana melibatkan kerjasama Khidmat Malaysia Kawasan Kluang, PAS kawasan Semberong dan NGO Permai Care.

Felda Redong telah berjaya disantuni pada 8, 10 dan 12 Jun 2021 dengan penglibatan dan kerjasama oleh Khidmat Malaysia Johor, PAS kawasan Sekijang dan NGO Muslim Care. Manakala di Felda Inas, Khidmat Malaysia Negeri Johor dan kawasan Kulai serta NGO Kulai Care telah menyampaikan sumbangan pada 13 Jun 2021.

Mohd Sanusi yang juga merupakan Setiausaha Khidmat Malaysia Negeri Johor menambah, STBC juga telah turun ke Ladang Tereh Mill untuk menghantar barang dapur kepada Pegawai Kebajikan Masyarakat Kluang, Mohd Shazuwan Husnan Che Hamid yang telah diserahkan oleh Pengerusi NGO Permai Care, Khairul Anuar bin Ahmad Kamil yang turut dihadiri rombongan dari Khidmat Malaysia Negeri Johor, Khidmat Malaysia Kluang dan NGO Permai Care.

Rombongan diketuai sendiri oleh Timbalan Pesuruhjaya PAS Johor, Khairul Faizi bin Ahmad Kamil yang mana beliau juga merupakan Pengerusi STBC Negeri Johor, diiringi Timbalan Pengerusi STBC Johor, Ab Aziz Abdullah dan Pengurus Operasi STBC Johor, Iqbal Ghani Ismail.

“Pengerusi STBC Johor mengucapkan syukur kerana usaha untuk menyantuni kesemua lokasi yang telah terlibat dengan PKPD telah tercapai.

“Beliau mengakui bahawa tanpa komitmen daripada para penyumbang di peringkat PAS Kawasan-kawasan, Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO), masyarakat awam dan badan kerajaan maka sudah tentulah usaha murni ini tidak dapat dilaksanakan” kata Mohd Sanusi.

“Khairul Faizi juga memaklumkan bahawa fokus seterusnya adalah untuk menyalurkan sumbangan kepada Petugas Barisan Hadapan atau Frontliner yang terdapat di Johor” menurut beliau mengakhiri kenyataannya.