Home Berita PAS Johor

Coretan : Suka duka bersama PAS

233
SHARE

Oleh : BASRI DIN KAMAR

“Sensei, universiti mana yang dekat dengan gunung Fuji atau Tokyo Disneyland?” tanya saya

“Kalau begitu, kamu boleh pilih Shizuoka Dai atau Tsukuba Dai” jawab Haraguchi Sensei.

Begitulah lebih kurang perbualan saya dengan Haraguchi Sensei pada sekitar hujung tahun 1998.

Hari itu, saya perlu isi borang universiti pilihan di Jepun setelah menyertai Rancangan Persediaan Khas ke Jepun (RPKJ) selama dua tahun sebelum berangkat ke Jepun. Bayangkan, kerajaan habiskan duit rakyat beratus ribu ringgit untuk taja saya ke Jepun, tiba-tiba saya sekadar nak panjat Gunung Fuji dan pergi Tokyo Disneyland!

Sebenarnya waktu itu saya sedang kehilangan sesuatu …. yang saya istilahkan sebagai… ‘keterujaan hidup’.

‘Keterujaan hidup’ yang saya maksudkan adalah sesuatu yang amat bermakna bagi kita, sehingga kita sanggup lakukan hampir apa sahaja untuknya dan menyebabkan hidup kita rasa terisi dan bermakna. Ia menyebabkan kita sanggup tidur lewat malam, dan bersemangat bangun awal pagi untuknya.

‘Keterujaan hidup’ ini mirip kepada ‘ikigai’ dalam istilah Jepun. Stephen R. Covey pula namakan ” Find Your Voice” dalam bukunya The 8th Habit.

Masa zaman kanak-kanak, ‘keterujaan hidup’ saya adalah pada bermain atau berseronok. Saya ke sekolah, ambil periksa UPSR sehingga lulus cemerlang dapat 4A, semua itu adalah seperti ‘permainan yang menyeronokkan’ bagi saya.

Masa zaman remaja, ‘keterujaan hidup’ saya lebih kepada mahu dihargai (mungkin) atau tidak mahu dipandang rendah. Saya belajar sungguh-sungguh kerana tidak mahu masuk kelas tercorot. Hasilnya saya cemerlang dalam SPM dengan 7 aggregate.

Di samping itu, di zaman remaja ‘keterujaan hidup’ saya pada bermain gitar. Sampai hari ini saya masih tidak faham apa yang mengujakan sangat di sebalik papan fret bertali enam itu. Mungkin kerana mahu dilihat ‘cool’, entahlah…

Apapun, saya memang teruja sungguh mendengar lagu Metallica lebih-lebih lagi gorengan Kirk Hammet, disamping lagu-lagu dari Cromok seperti I don’t belong here dan Another You, termasuk juga lagu-lagu dari kumpulan XPDC seperti lagu Semangat Yang Hilang, Senapang Patah dan banyak lagi.

Saya boleh stay up tak tidur malam sampai pagi semata-mata hendak praktis main gitar lagu-lagu kegemaran saya. Walaupun saya berlatih gitar bukan untuk buat ‘show’, dan tak harap dipuji (mungkin ada harap sikit), tapi semuanya saya lakukan dengan ‘keikhlasan’ (tidak harap apa-apa balasan) dan penuh ‘keterujaan’.

Apabila melangkah ke alam dewasa, ketika berada di universiti, keterujaan itu semua beransur-ansur hilang.

Memang waktu di universiti saya berminat untuk menjadi jurutera seperti yang dimahukan kerajaan yang menaja saya ke Jepun, lagipun waktu itu kerjaya jurutera terasa macam ‘cool’, tapi ia tidak sampai ke tahap ‘keterujaan hidup’.

Memang saya suka jika saya ada duit banyak dengan buat ‘arubaito’ (kerja part time) , atau miliki kereta Nissan Skyline GT-R untuk dibawa pulang ke Malaysia seperti yang dilakukan para senpai dan rakan-rakan, tapi itu semua juga bagi saya tidak sampai kepada ‘keterujaan hidup’.

Hidup saya mula terasa sunyi, kosong dan hambar…

Walaupun saya berjaya mendaki gunung Fuji dan pergi Tokyo Disneyland seawal cuti musim panas tahun pertama di Jepun, ia tidak dapat lagi mengembalikan ‘keterujaan hidup’ yang hilang.

Hidup saya tetap terasa kosong, sunyi dan hambar…

Sekitar waktu begitulah, secara beransur saya ‘berkenalan’ dengan Islam. Walaupun saya dilahirkan sebagai orang Islam, diajar solat sejak kecil, belajar pendidikan Islam semasa di sekolah, tapi semasa hidup dalam kekosongan di usia awal 20-an itulah saya rasa itu kali pertama berkenalan dengan Islam!

Waktu itu, entah macam mana, saya mula tertarik dengan Islam. Dari buku-buku agama, ceramah agama, program-program dakwah, semuanya saya teruja untuk libatkan diri.

Jika masa remaja dulu saya seboleh mungkin cari jalan ponteng kuliah subuh dan maghrib walupun berisiko didenda warden asrama, tapi semasa di Jepun berlaku sebaliknya. Saya pula yang tercari-cari program agama.

Ada kenalan karkun ajak saya keluar ‘di jalan Allah’ 3 hari, saya ikut. Kalau tidak kerana perlu ikuti pengajian di Universiti, tentu saya ikut orang yang mengajak keluar 40 hari.

Saya mula teruja untuk mengetahui makna atau isi kandungan Al-Quran. Saya mula membaca terjemahan Al-Quran bahasa Melayu. Tarikannya luar biasa sekali. Saya baca ayat-ayat Al-Quran beserta terjemahan satu persatu, helai demi helai, dari satu surah ke satu surah yang lain. Kadang-kadang bacaan saya terhenti bukan kerana bosan, tapi saya mengambil masa berjam-jam merenung kembali sebaris terjemahan ayat Al-Quran yang saya baca.

 

Ada masanya sampai waktu mandi, makan, kuliah, fikiran saya ‘terganggu’ memikirkan terjemahan ayat Al-Quran yang saya baru baca pada hari tersebut. Memikirkan sebahagian ayat-ayat Quran menyebabkan saya umpama orang yàng tidur tak lena, makan tak kenyang, mandi tak basah.

Namun semuanya rasa nikmat sekali. Ia jauh lebih nikmat dari dapat meniru gorengan gitar lagu Master of Puppet oleh Kirk Hammet selepas praktis semalaman!

Memang nikmat!

Saya tidak pasti, barangkali ini agaknya yang dinamakan hidayah? Apapun, saya menemui semula ‘keterujaan hidup’!

Waktu berkenalan dengan Islam itulah saya sedar terlalu banyak ajaran Islam yang tidak cukup dilakukan secara individu. Lebih-lebih lagi dalam urusan dakwah, amar maaruf dan nahi mungkar yang menjadi ‘essence’ atau intipati ajaran Islam. Semua Nabi dari Nabi Adam a.s hingga Nabi Muhammad s.a.w melakukan kerja ini. Tidak mungkin saya yang mengaku Islam tiba-tiba mahu mengabaikannya.

Dakwah dan amar maaruf nahi mungkar ini pula perlu dilakukan secara berorganisai yang tersusun umpama batu-bata yang tersusun rapi. Sedangkan Nabi yang mulia dan dikurniakan mukjizat itu pun membentuk pasukan dalam membawa Islam…

Dari situlah PAS muncul dalam hidup saya.

PAS adalah sebahagian dari ‘ikigai’ dan ‘voice’ saya.

PAS adalah sebahagian dari ‘keterujaan hidup’ saya untuk membawa Islam, agama suci untuk ‘dipeluk’ dengan erat, bukan sekadar dijinjing.

Dari situlah bermulanya kisah suka duka saya bersama PAS.

Dalam usia 40-an ini, saya amat bimbang ‘keterujaan hidup’ pada Islam ini semakin luntur dan padam….

Bagi pembaca yang berjaya sampai ke perenggan ini, saya minta tolong aminkan doa berikut untuk saya;

Wahai yang membolak-balikkan hati, tetapkan hati kami atas agamaMu”.

Jika ada satu ‘amin’ yang dimakbulkan Tuhan, itu sudah jauh lebih baik dari dunia dan seisinya.

Terima kasih.

Penulis merupakan Guru Besar SRITI Al-fatih, Segamat Johor